SEJARAH

SEJARAH

Friday, May 8, 2020

SELAMAT PULANG ANWAR IBRAHIM:Bahagian 2


ISTIQAMAH DAN KESABARAN DALAM PERJUANGAN

Di sinilah dapat disaksikan istiqamah dan kesabaran Anwar Ibrahim dalam perjuangan. Apabila ditanya bagaimana mencari kekuatan dengan dugaan besar yang dihadapinya, dia merujuk kepada pesanan-pesanan tok guru dan alim ulama – al marhum Tok Guru Nik Aziz, Tuan Guru Hj Salleh, Shaykh Dr Wahbah al Zuhaili semuanya berpesan yang sama - supaya berpaut kepada ayat Innalladzina qalu rabbunallah (sesungguhnya orang-orang yang mengatakan, “Tuhan kami ialah Allah”) sebagai pengakuan atas ketuhanan-Nya dan keesaan-Nya - thummas taqamu (kemudian mereka meneguhkan pendirian mereka)” (Surah al Fushshilat: 30) 

Profesor Yusuf al Qaradawi berkali-kali mengutus surat dan datang sendiri bertemu pemimpin negara ini memohon agar Anwar dibebaskan. Al marhum Dr Wahbah telah menegaskan semasa kunjungan ke rumah Anwar, “Saya kenal Anwar Ibrahim begitu lama, dia seorang yang baik dan bersih. Sangat wajar dia mengadu terus ke hadrat Allah s.w.t..” Keyakinan dan dokongan para ulama luar dan dalam negeri menggembirakan kedukaannya serta mengukuhkan ketabahannya menempuh tribulasi. 

Anwar berkata, “Waktu saya terpenjara itu memang masa yang susah. Saya tidak pernah membayangkan bahawa sebagai seorang Timbalan Perdana Menteri sebuah negara demokratik, saya akan dipukul dan disumbat ke dalam penjara seperti mana penjenayah lain di negara ini. Saya dipisahkan daripada keluarga dan anak-anak yang  masih sedang membesar tanpa seorang bapa di sisi mereka.

Pada saat-saat kelam itu, iman yang sentiasa membekalkan sumber harapan dan pasrah bahawa segala kejadian yang berlaku adalah sebahagian daripada perancangan Allah swt, di mana kita sebagai manusia kerdil tidak akan mampu mengerti dan kepadaNya kita mesti berserah. Saya berasa tenang hati apabila menerima surat-surat mendoakan saya dari orang daripada pelbagai kepercayaan. Sehingga sekarang, saya masih terharu apabila berjumpa dengan orang-orang dan kumpulan-kumpulan yang menunjukkan belasan kasihan dan prihatin mereka ke atas diri saya dan keluarga.

Ada hikmah kelebihannya, walaupun saya tidaklah menyarankan kepada orang lain untuk ke penjara juga, hikmah membolehkan saya menumpukan masa yang panjang berdhikir mengingati Allah dan kebesaranNya, kepada bacaan dan hafalan al Qurรกn serta mengerjakan ibadat-ibadat sunat di dalam kamar kecil, berbanding jika berada di tampuk kerajaan. Saya lihat ada sinar harapan, kelebihan yang daripadanya saya mengambil kekuatan spiritual.” 

Tema perjuangan Anwar disingkap apabila dia ditanya kenapa dia masih sanggup menjejaki jalan ranjau penuh penderitaan ini dengan segala mehnah dan fitnah, Anwar sering merujuk kepada ungkapan Islah mastata'tu - surah Hud:88 - “Tidaklah kami mahu melainkan untuk melakukan islah sekuat daya kami.”” 

Rakyat tetap memerhati memendam rasa. Bukan rakyat tidak bangkit. Bukan sedikit turun berdemonstrasi. Bukan sedikit berdepan lantunan belantan keras, semburan gas pemedih dan pancutan cecair menyakitkan. Bukan sedikit menjadi OKT. Namun perubahan bermakna memerlukan masa dan kebangkitan yang tuntas. 

Anwar berazam bahawa perjuangan untuk demokrasi, untuk kebebasan, untuk keadilan bukan suatu lakaran teori. Anwar mempunyai ‘tabiat hati’, satu iltizam, ‘courage of conviction’ - keberanian moral berbekalkan keyakinan, dengan ketabahan, dengan niat yang luhur. Dia percaya bahawa ini prinsip yang tidak boleh dikompromi. Itulah sebabnya dia menolak tawaran agar menjadi suaka politik di luar negara seperti yang cuba dipujuk rayu oleh rakan-rakannya memandangkan usia dan kesihatan fizikalnya bagi menjalani penjara semula. Anwar berkata, “Saya harus pulang dan berada di sini. Disinilah gelanggang perjuangan saya. Saya akan hadapi apa pun termasuk penjara.”
 
Rakyat dapat melihat bahawa Anwar dikurniakan keluarga yang hebat. Dr Wan Azizah dan anak-anak bukan sahaja menyokong, mendokong penuh tetapi mereka semua komited sepenuhnya kepada idealisme perjuangan. Anwar juga terinspirasi dan terhutang budi kepada rakyat Malaysia, Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan dan  semua orang yang mempercayai perjuangannya, demi kebebasan, untuk demokrasi, demi kedaulatan undang-undang, untuk kebebasan hati nurani. Dan dia percaya jika semua ini memerlukan sedikit usaha dan pengorbanannya, ia mesti dilakukan. 

Anak lelaki Anwar, Ihsan mengungkapkan, “Papa mengutamakan negara dan rakyat daripada dirinya.” 

(Bersambung)

No comments:

Post a Comment

LinkWithin