SEJARAH

SEJARAH

Saturday, February 10, 2024

SETAHUN PELAKSANAAN MALAYSIA MADANI : CABARAN DAN HARAPAN

Oleh Ismail Yusop
Timbalan Ketua Pengarah J-Kom

19 Januari 2023, setahun yang lalu,  Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu majlis di PICC, Putrajaya, telah meluncurkan buku Membangun Malaysia Madani, yang hari ini menjadi dasar pelaksanaan Agenda Malaysia MADANI, yang digerakkan dengan penuh iltizam oleh beliau sebagai Perdana Menteri ke 10, bersama Kerajaan Perpaduan yang dipimpinnya. 

MADANI, atau "SCRIPT" (judul asalnya),  adalah suatu gagasan idea dn cerminan citra Anwar yang bersumberkan garis masa pengalaman panjang beliau dalam politik, kepimpinan dn keprihatinan terhadap rakyat, sejak muda hinggalah diberi amanah hari ini, mengemudi negara sebgai Perdana Menteri. 

Kerana itu, Malaysia Madani bukan hanya suatu tema atau slogan dari seorang Perdana Menteri, tetapi ia  adalah suatu gagasan dan falsafah sosial membina negara bangsa bersama seluruh rakyat Malaysia. 

Dan pada tarikh keramat, 19 Januari 2023, setelah genap 3 bulan beliau diamanahkan tanggungjawab sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10, beliau telah mengagaskan Agenda Malaysia Madani, dengan mengangkat istilah "MADANI", dan enam teras atau kerangka utama, nilai MADANI: KeMampanan, KesejAhteraan, Daya Cipta, HormAt, KeyakiNan dan Ihsan, untuk diterapkan dalam segenap polisi, agenda bertindak dan proses reformasi yang menyeluruh dalam masyarakat. 

Kerangka Malaysia Madani sebenarnya adalah kesinambungan kerangka pemikiran Anwar Ibrahim membina masyarakat Malaysia sejak era 70an lagi. 

Pada 1979, telah terbit buku ucapan dasar beliau dalam Muktamar ABIM bertajuk, "Islam Penyelesaian kepada masyarakat Majmuk".  

Kemudian pada 1989, beliau telah memberikan ucaputama yang kemudian dibukukan bersama beberapa artikel lain dengan judul, "Mendepani Perubahan". 

Di tahun 1994, beliau menghasilkan "The Asian Renaissance", yang kemudiannya diterjemahkan sebagai "Gelombang Kebangkitan Asia". 

Setahun kemudian, beliau memberi ucaputama dalam satu forum  bertajuk, "Islam dn Pembentukan Masyarakat Madani". Dan pada 1996, beliau berbicara dalam satu konvensyen bertajuk, "Pembentukan Masyarakat Madani model Malaysia". 

Selepas itu pada 1998, beliau memimpin gerakan reformasi dengan mengangkat pemikiran agenda reformasi dalam masyarakat, yg dikenali sebagai "Deklarasi Permatang Pauh". 

Pada 2005, beliau berbicara mengenai "Membangun semula makna diri Malaysia". Dan pada 2007, beliau mengutarakan pandangan, "The evolution of a Muslim Democrats". 

Demikianlah sebahagian dari rantaian buah pemikiran dan lontaran idea beliau untuk membina negara bangsa Malaysia.

Dalam bahagian penghargaan, buku "Membangun Negara Madani", Anwar mengungkapkan dengan jelas susur galur terbitnya gagasan ini. 

Katanya; "Kerangka Madani merupakan kemuncak kepada pengalaman selama empat dekad dalam perkhidmatan awam dan belasan tahun yang dihabiskan bagi memikirkan tentang negara ini dan masa hadapannya. 

Sepanjang 18 tahun berkhidmat dalam kerajaan, mengepalai pelbagai kementerian, benih-benih pada segugus idea yg dilontarkan ini mula disemai menerusi "Gelombang Kebangkitan Asia". 

"Percubaan saya untuk mereformasikan sistem yang rasuah dari dalam telah mengakibatkan saya dipenjarakan, dengan separuh daripada dua dekad lamanya mendekam bersendirian. Tetapi pengalaman ini memberikan saya kelapangan masa untuk membaca dan mencatat nota -  suatu pengalaman berharga seperti juga ramai tokoh lain di sepanjang zaman dari timur dan barat," katanya lagi. 

"Susulan daripada keputusan Pilihan Raya Umum ke-14, yang bersejarah, dan pembebasan saya dari penjara, maka saya fikir sudah tiba masanya untuk saya mengumpul semula semua nota, diari dan catatan yang berserakan sebelum ini, serta merumuskan kesemuanya menjadi suatu gagasan ampuh untuk menjana perubahan buat Malaysia, seperti yang telah dihasratkan rakyat melalui peti undi pada tahun 2018.

"Saya merangkul para pemikir,   perancang strategi, pakar ekonomi, pakar undang-undang, sarjana sains politik, dan pemikir masa hadapan. Kami telah bertungkus-lumus bersama lebih setahun membangunkan kerangka MADANI, melalui siri bengkel dan pemukiman. 

"Meskipun berhadapan dengan pelbagai halangan, - langkah Sheraton,  pandemik Covid-19 serta kemelut yang lain, kami terus menelaah, mengulang dan memperhalusi setiap perincian, menyesuaikan kerangka ini dengan isu semasa dan perubahan yg berlak," ujar Anwar lagi. 

Hakikatnya, Malaysia Madani adalah kesinambungan dari mata rantai perjuangan sejak dari awal kemerdekaan, berteraskan sendi utuh yang termaktub dalam Perlembagaan, mengambil kira kearifan lokal dan budaya serta latar khazanah sejarah negara yang telah subur membumi sejak dahulu. 

Ia jelas terangkum, mengiktiraf polisi dan kecemerlangan negara yang menjadikan kita hari ini, kesan dari perjuangan kepimpinan terdahulu. 

Malaysia Madani adalah model kepada konsep pembinaan ketamadunan berdasarkan kepada prinsip kearifan lokal (local wisdom),   yang selalu diungkapkan oleh Almarhum Professor Datuk Dr Siddiq Fadzil, sahabat karib Anwar Ibrahim, sebagai "Fiqh atau Manhaj Maliziy".  

Sesungguhnya, pada tarikh 19 Januari 2023, majlis peluncuran buku "Membangun Negara Madani" di PICC, Putrajaya bukan sekadar meluncurkan kembali buku tersebut, tetapi ia adalah satu syarahan Perdana, amanat Perdana Menteri melancarkan "Agenda Malaysia Madani", untuk sekalian warga Malaysia. 

Malaysia Madani bukan sekadar suatu "branding", tema atau slogan buat Perdana Menteri Malaysia yang ke-10. 

Ia ada latar yang cukup panjang, memunculkan hasrat dan kehendak hati nurani rakyat yang dijelmakan dalam suatu gagasan untuk digerakkan bersama oleh rakyat. 

Buku Membangun Malaysia Madani, - "The Dream Nation", negara impian yang dinukilkan oleh Anwar Ibrahim, dan diperjuangkan secara konsisten, dengan melalui pelbagai tribulasi, adalah untuk membina sebuah tamaddun rakyat Malaysia yang inklusif, sesuai dengan semangat Perlembagaan dan Rukun Negara. 

Merumuskan catatan memperingati peluncuran "Malaysia Madani" pada tarikh 19 Januari 2023, maka wajar kita merenungkan naratif dan ungkapan Anwar Ibrahim di akhir penutup buku "Membangun Negara Madani" dengan saranan berikut: 

"Hasil usaha ini tentunya saya dedikasikan buat seluruh rakyat Malaysia. Saya tahu ada masa hadapan yang lebih baik mampu kita bina bersama. Saya berharap usaha ini dapat menjadi seruan kepada generasi penerus supaya mereka mampu lakukan lebih baik daripada apa yang kita telah lakukan dengan keterhadan masa yang ada. 

"Kenanglah kata-kata tokoh agung Melayu, Jose Rizal, seperti yang dinukilkan dalam novelnya, "Noli Me Tangere" : 

"Aku tidak menulis untuk generasi ini. Aku menulis untuk zaman yang lain. Jika generasi ini membaca, tentunya mereka akan membakar sekalian buku ku ini dan segala tulisan ku. Sebaliknya, generasi yang mampu menafsirkan tulisan ini, mereka akan menjadi generasi terpelajar, mereka akan memahami ku dan berkata, "Tidak semuanya nyenyak tidur di kepekatan malam pada zaman moyang kita". 

Menutup penulisan ini, diajukan tiga saranan berikut untuk difikirkan bersama sebagai tindakan: 

(i) Malaysia Madani sewajarnya tidak dilihat dari kaca mata politik yang sempit. Malaysia Madani adalah gagasan halatuju masa depan negara milik semua pihak dan rakyat, dengan penuh amanah dan iltizam untuk menjayakannya. 

(ii) Enam teras Malaysia Madani perlu difahami, dihayati dan dijelmakan sebagai budaya dalam kehidupan setiap warga Malaysia. 

(iii) Perlu wujud satu gerakan nasional melalui program pendidikan dan latihan kenegaraan untuk mendidik setiap warga Malaysia berkaitan konsep, penghayatan dan pelaksanaan merakyatkan agenda Malaysia Madani.  

Terima kasih YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kerana berkongsi idea besar ini, sebuah gagasan membina negara bangsa yang mampu mencapai ketamadunan yang tinggi, Insya-Allah. 


Thursday, January 5, 2023

PELAKSANAAN MA63 MARTABAT RAKYAT BORNEO

Perjanjian MA63 adalah perjanjian yang membawa kepada pembentukan Malaysia antara wilayah Sabah, Sarawak dan Malaya. Perjanjian ini sebagai syarat dan jaminan terhadap perkongsian kuasa yang dimaterai pada 16 Septembar 1963 yang memberi jaminan bahawa hak-hak rakyat Borneo terpelihara dalam kerajaan Persekutuan yang dipanggil juga sebagai kerajaan Malaysia. Bermakna Perjanjian MA63 merupakan asas penting persetujuan bersama yang mesti dihormati dan dilaksanakan demi kestabilan kerajaan yang dibentuk.


Tetatpi apa yang berlaku, sejak 60 tahun yang lalu perlaksanaan MA63 ini amat lembab dan rakyat Borneo mula mempertikaikan ketelusan kerajaan Persekutuan yang memandang remeh terhadap Perjanjian MA63 sebagai sesuatu yang tidak penting untuk diberi penekanan. Namun rakyat Borneo mendesak saban waktu terutama semasa pilihanraya yang dijadikan salah satu  manifesto untuk menuntut pelaksanaan sepenuhnya serta beberapa siri seminar dan wacana dianjurkan oleh parti-parti politik dan NGO bagi mendesak kerajaan Persekutuan agar melaksanakan perjanjian tersebut.


Pertukaran kerajaan selepas PRU15 yang lepas dan dengan perlantikan Perdana Menteri yang baharu, YAB Dato Seri Anwar Ibrahim yang mengetuai kerajaan Malaysia serta perlantikan Timbalan Perdana Menteri bagi Sabah dan Sarawak telah mengambil tindakan pantas terhadap Perjanjian MA63 adalah antara isu utama yang diberi perhatian dan dipertanggungjawabkan kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof  bagi menyelesaikan Perjanjian MA63 yang jadi tuntutan rakyat Sabah dan Sarawak.


Jabatan Pemahaman dan Pemantapan Agama (JPPA) PKR Sabah amat berterima kasih kepada YAB Dato Seri Anwar Ibrahim Perdana Menteri Malaysia kerana amat concern terhadap isu ini, dan rakyat Sabah dan Sarawak sudah lama menunggu pelaksanaan perjanjian ini yang tertangguh begitu lama. Keprihatinan YAB Perdana Menteri amat dihargai demi memacu pembangunan di Sabah dan Sarawak. JPPA PKR Sabah berharap kerajaan Negeri Sabah dapat melaksanakan pembangunan di negeri ini dengan lebih berkesan dan memastikan sampai ke sasaran utama secara telus dan berintegriti.


JPPA PKR Sabah yakin di bawah Pimpinan YAB Perdana Menteri, Sabah akan lebih maju dan membangun, apa lagi dengan tertubuhnya Agenda Tindakan Pelaksanaan Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 yang dipantau terus oleh Perdana Menteri. Tindakan ini akan memberi keyakinan tinggi kepada rakyat Sabah terhadap kesungguhan kerajaan Persekutuan, dengan pelaksanaan Perjanjian MA63 ini boleh merungkai kegusaran rakyat Sabah selama ini serta mengangkat martabat rakyat negeri ini dan mewujudkan perpaduan, keharmonian dan keamanan.


JPPA PKR Sabah mengucapkan Jazakallahu khairan kathira kepada YAB Perdana Menteri, semoga Allah SWT kurniakan kesihatan serta kekuatan kepada beliau untuk memimpin Malaysia menjadi negara yang penuh barakah.


MILUS HJ ABD WAHAB
EXCO JPPA PKR PUSAT (SABAH)


Monday, October 4, 2021

JAMAN EDAN

"Perjuangan pemberdayaan rakyat dan pelaksanaan misi pembebasan dan pencerahan adalah suatu perjuangan moral-intelektual yang getir. Di tengah semarak retorik demokrasi, hak asasi, masyarakat madani, era informasi dan entah apa lagi, kita sebenarnya sedang menyaksikan gejala berulangnya Jaman Edan (zaman gila), zaman rosaknya segala aturan dan tananan etika, moral dan susila. Dalam dunia yang segalanya sudah serba gila, tidak ada tempat untuk orang yang waras dan siuman, hanya mereka yang "gila" atau yang sanggup ikut jadi "gila" yang dapat  hidup. Demikianlah kira-kira suasana zaman yang terlukis dalam Serat Kalatidha, sebuah karya sastera Jawa era Surakarta (abad 19) yang merakamkan memori duka dan guratan luka pujangga terakhir Keraton Surakarta, R.N. Ronggowarsito. Kerana mempertahankan kehidupan berintegriti moral, beliau menjadi korban kegilaan Jaman Edan. Ronggowarsito dibekukan pada jawatan Pujangga yang sudah disandangnya sejak empat puluh tahun; walhal seharusnya beliau sudah diangkat menjadi Pangarsa, jawatan yang setingkat lebih tinggi daripada Pujangga. Beliau merakamkan rintihan batinnya, tentang pahitnya hidup berprinsip pada zaman gila: tidak ikut gila tak merasa, mahu ikut gila tak sampai hati. Tetapi biar bagaimanapun beliau memilih untuk tetap setia dengan prinsip dan amanah kepujanggaan atas keyakinan, "Betapa pun untungnya orang yang lupa (prinsip), masih lebih beruntung lagi orang yang ingat dan waspada." Demikianlah optimisme seorang pejuang berprinsip, tampil ke gelanggang melawan kuasa dan budaya edan dengan keyakinan akan menang. "...Seranglah mereka melalui pintu itu, kerana apabila kamu memasukinya maka sudah tentu kamulah orang-orang yang menang; dan kepada Allah jualah kamu harus berserah (setelah kamu bertindak menyerang), jika benar kamu orang-orang  yang beriman." (al-Ma'idah:23)

Siddiq Fadzil, 2012: Islam Dan Melayu: Martabat Umat Dan Daulat Rakyat, m.s. 56

Monday, April 5, 2021

SIAPA BERKUASA RAKYAT ATAU WAKIL RAKYAT?

Rakyat sering dikelirukan dengan istilah Yang Berhormat, di mana istilah ini sering dianggap lebih berkuasa atau ada karamah berbanding kuasa rakyat. Ketika wakil rakyat melawat kawasan, maka rakyat akan disibukkan dengan sambutan yang meriah, gilang-gemilang dengan pelbagai acara yang dipertontonkan semata-mata untuk menggembirakan wakil rakyat atau dipanggil Yang Berhormat (YB). Rakyat akan disibukkan kerana YB tersebut akan melawat kawasannya yang telah diamanahkan untuknya menjadi wakil rakyat. 

Apa sebenarnya makna 'Wakil Rakyat'? Wakil Rakyat cuma menjadi wakil kepada rakyat untuk mengambil tanggungjawab bagi menyuarakan masalah rakyat atau memudahkan urusan rakyat di kawasan yang dia menjadi wakil rakyat kerana dipilih semasa pilihan raya. Semasa pilihan raya, semua calon-calon yang bertanding akan merayu bersungguh-sungguh kepada rakyat untuk dia dipilih sebagai wakil rakyat. Segala janji, segala tawaran, segala sogokan akan dihamburkan kerana semata-mata mahu dipilih, mereka akan merayu, mereka akan memujuk, mereka akan bersumpah untuk berkhidmat dengan sesungguhnya kepada rakyat. Bahkan mereka akan berjanji juga untuk membawa permasalahan rakyat ke sidang Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri.

Mereka berkempen dari rumah ke rumah merayu dan memujuk kepada rakyat agar undi mereka, dan yang anehnya ada yang sanggup menangis depan rakyat mohon dipilih dengan alasan membela nasib rakyat yang terabai dan tidak dipedulikan. 

Hakikatnya memang pun dalam pertandingan setiap pilihan raya keutamaan adalah memilih wakil rakyat yang boleh membawa masalah rakyat kepada pemerintah yang mendapat mandat rakyat secara majoriti. Masalah rakyat sangat berkait dengan kehidupan mereka, dan antaranya prasarana yang diperlukan kerana berkaitan dengan kegiatan ekonomi serta keselesaan mereka. Selain itu, rakyat juga perlukan pembaharuan dalam kehidupan mereka. Oleh sebab itulah mereka memilih wakil rakyat yang boleh menyuarakan keperluan sebenar mereka.

Tetapi apa yang berlaku ramai wakil rakyat tidak sedar diri bahawa mereka sebenarnya mewikili rakyat yang mana rakyat adalah tuan mereka, boss mereka yang telah memilih mereka. Bukannya wakil rakyat itu yang menjadi boss kepada rakyat. Apabila sudah menang mereka boleh mengugut dan mengherdik rakyat sesuka hati mereka. Mereka menipu rakyat dengan pelbagai helah untuk memperlihatkan diri mereka adalah lebih besar daripada tuan sebenar mereka.

Bahkan ada ungkap sinis daripada wakil rakyat itu terhadap rakyatnya, contoh dialognya "YB, kami datang ini menuntut janji YB semasa pilihan raya, kenapa sehingga kini YB tidak menunaikannya?...jawab YB "bersyukurlah kamu sebab saya ada buat janji, tapi cuba kamu fikir berapa ramai lagi rakyat seperti kamu ini yang saya belum buat janji"...contoh kedua "YB, jalan raya kampung kami itu belum bertar lagi?"...jawab YB "kamu ingat kampung kamu sajakah yang ada masalah jalan, kampung lain pun ada masalah jalan"...itulah adalah contoh-contoh dialog sinis sahaja, kerana ketika menang situasinya sudah berubah, di mana wakil rakyat menjadi big boss, manakala rakyat menjadi hamba kembali.

Tuesday, March 9, 2021

RESOLUSI : Seminar Memperingati Tokoh II "Pandangan Hidup Islam dan Implikasinya Terhadap Semangat Patriotisme" .

Seminar Memperingati Tokoh dianjurkan atas kesedaran bahawa meletakkan seseorang pada kedudukannya yang tepat dan wajar adalah tuntutan keadilan dan tanggungjawab  insan beradab. Iqbal pernah berkata bahawa ‘bangsa yang berjiwa besar ialah bangsa yang tahu menghargai pemimpin dan perjuangannya.’ Menurut Syair Arab pula, bangsa yang tahu menilai sejarah punya usia berlipat kali ganda. Dalam menilai sumbangan seseorang tokoh, yang perlu dikenang dan diiktiraf ialah jasa dan sumbangannya yang bermakna, yang luhur lagi agung yang telah mencorakkan perjalanan sejarah, bukan pada cacat cela peribadi atau kelemahan tokoh.

 Atas semangat ini, Seminar Memperingati Tokoh 1 Tun Datu Mustapha dan Sumbangannya Dalam Perkembangan Dakwah  Islamiyyah diadakan pada13 September 2003. Tun Datu Mustapha adalah nama besar dalam sejarah Sabah dan Malaysia. Tun Datu Mustapha adalah tokoh pejuang kemerdekaan Sabah, peletak asas pembangunan negeri serta penentu hala tuju negeri Sabah. Sumbangannya amat besar bukan sahaja dalam pembangunan negeri Sabah, bahkan di peringkat antarabangsa. Visi dan misi perjuangannya jelas terpancar dalam semua program pembangunan spiritual, mental dan fizikal. Salah satu sumbangan Tun Datu Mustapha yang cukup menyerlah dan penting sekali ialah dalam gerakan dakwah. Gerakan dakwah yang berkembang begitu pesat dalam masa yang relatif singkat adalah manifestasi iltizam tinggi Tun Datu Mustapha terhadap perjuangan Islam.

Kini tiba giliran memperingati empat tokoh pejuang lain yang berjasa besar dengan menghubungkaitkan perjuangan mereka dengan pengaruh pandangan alam Islam. Mereka adalah penyambung mata rantai perjuangan Islam, sejak kedatangan Islam ke Sabah selewat-lewatnya pada tahun 1408M membawa kepada perjuangan ulama’ dan pendakwah seperti Tuanku Said Muhammad Shahbudin, Hj Yaakub Haji Ali. Imam Suhaili Haji Yaakub dan Haji Zaini Palembang, berlanjutan hingga ke Tun Datu Mustapha Datu Harun. Dalam konteks lebih luas, perjuangan tokoh-tokoh ini terangkai dalam gerakan dakwah dan perjuangan Islam di Alam Melayu dan Dunia Islam.

Adalah dengan penuh kesedaran bahawa Islam telah bertapak seawal tahun 1408 lagi iaitu sejak 600 tahun yang lalu. Kelangsungan Islam ini merupakan hempas pulas dan keringat perjuangan generasi dan tokoh-tokoh pejuang silam. Seminar ini dengan penuh kesederhanaan berusaha untuk meletakkan tokoh-tokoh ini pada kedudukannya yang tepat dan wajar agar tuntutan keadilan dan tanggungjawab insan beradab kita martabatkan.

Seminar ini berkeyakinan bahawa sumbangan yang bermakna, yang luhur lagi agung yang telah mencorakkan perjalanan sejarah berkenaan perlu dirakamkan secara adil dan bermakna.

Menyedari hakikat ini maka kami yang berkumpul di Dewan Bahasa dan Pustaka Negeri Sabah, Kota Kinabalu untuk Seminar Memperingati Tokoh pada 9 September 2006  yang terdiri dari pelbagai lapisan masyarakat dari seluruh pelusuk negeri Sabah mewakili pelbagai agensi dan pertubuhan seramai lebih kurang 500 peserta dengan ini bersetuju dengan resolusi berikut:

1.         Menggesa pihak kerajaan memasukkan komponen memperingati tokoh dalam setiap kali sambutan bulan kemerdekaan sama ada pada peringkat kebangsaan, negeri mahu pun pada peringkat daerah.

 2.        Menggesa Kerajaan Negeri Sabah memberi penekanan yang bersungguh-sungguh terhadap usaha-usaha penyelidikan tentang peranan dan sumbangan pelbagai tokoh supaya lebih sistematik dan bersepadu.

3.         Menggesa Kerajaan Negeri Sabah mewartakan lebih banyak lagi tapak bersejarah supaya menjadi tapak kajian kepada ahli akademik dan secara tidak langsung memberikan kesedaran kepada orang awam dan para pelancung.

4.         Menggesa pihak kerajaan bekerjasama dengan institusi-institusi yang berkaitan untuk membetulkan persepsi catatan sejarah yang berasaskan pandangan alam pihak penjajah kepada versi yang berasaskan pandangan alam Islam.

 5.        Meminta kerajaan menubuhkan Pusat Kajian Islam Sabah (seperti IKIM) agar satu        pengkajian yang sistematik untuk mengenalpasti tokoh dan sumbangannya di setiap  pelusuk negeri bagi melahirkan masyarakat yang celik sejarah dan menghargai  perjuangan dan sumbangan tokoh yang terdahulu.

 6.             Menyeru seluruh masyarakat Islam mengambil peluang, ruang dan kesempatan untuk terlibat secara bersungguh-sungguh untuk menyuburkan pandangan alam Islam yang benar seperti yang ditunjukkan oleh tokoh terdahulu.

7.        Menyeru seluruh masyarakat Islam perlu memberi perhatian penting kepada institusi keluarga masing-masing dengan menjadikan tokoh-tokoh terdahulu sebagai “role model” secara kolektif dan komprehensif serta berpaksikan aqidah yang benar agar generasi baru dapat dibangunkan. 

8.               Menggesa semua pihak yang terlibat dalam sektor pendidikan di semua peringkat pengajian agar berusaha untuk merubah paradigma dan menyuburkan pandangan alam Islam dalam menyampai dan mengolah pendidikan sejarah. Contohnya pengkajian tokoh setempat dalam subjek sejarah di Sekolah Menengah.  

9.         Mengangkat tokoh-tokoh pejuang yang dibincangkan dalam seminar memperingati tokoh II serta mengetengahkannya ke dalam kesedaran masyarakat umum.

  

Dipersetujui bersama oleh

En. Muddin Beting
Yang Dipertua ABIM Sabah


En. Zubaidi Abas
Pengarah
Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah


Tuan Haji Matusin Haji Awang Binting
Pegawai
Kementerian Belia dan Sukan Sabah


9 September 2006/16 Sya'ban 1427H

Monday, March 1, 2021

ANWAR IBRAHIM: Mengangkat Gagasan Ekonomi Manusiawi dalam Dunia Baharu

Secara terus terang tajuk ini ‘Ekonomi Manusiawi’ memang lunak dibicarakan tetapi sukar dilaksanakan. 

Saya memulakan dengan beberapa kenyataan bank-bank:-

Maybank mencatat keuntungan RM6.48 bilion pada tahun kewangan 2020. Public Bank pula mencatat keuntungan RM4.87 bilion manakala RHB pula untung RM2.03 bilion. Menteri Kewangan pula mengulas, “Bank rugi RM 6.4 bilion kerana langkah moratorium.” (Rugi ini bermaksud kekurangan kuntungan) Inilah yang terkait dengan ekonomi manusiawi yang harus dibincangkan bersama soal etika. Kita mulakan dengan akhlak dan ekonomi barulah ekonomi manusiawi. Kerana ada perbedaan.

Kitab lihat tadi kenyataan bank beruntung berbilion tetapi apabila sang penguasa, si menteri, berbicara dia merujuk kepada ‘kerugian’ bank disebabkan menolong rakyat yang meminjam melalui pelaksanaan moratorium. Ini kita perlu renung kerana kesukaran menembusi tembok penguasa yang lebih memihak kepada golongan yang kaya. Sebab itu Sayyidina Ali ibn Abi Talib r.a. dalam suatu warkah yang masyhur dan utama yang harus dibaca dan direnung generasi sekarang, generasi muda. Sayyidina Ali mengutus surat dan berpesan kepada Malik bin Ashtar, “Ingatlah bahawa kelompok kecil yang menikmati kemewahan itu tidak akan menolong kamu dalam krisis. Mereka akan cuba menghalang tertegaknya keadilan. Mereka akan meminta lebih daripada apa yang sepatutnya dan tidak akan menghargai bantuan yang diberikan.”

Maknanya isu kemiskinan, kesenjangan sebahagian daripada masalah ekonomi manusiawi. Itu sudah lama dibincangkan dan menjadi pembenturan idea dan perjuangan. Kita biasa mendengar tokoh-tokoh seperti Abu Dhar al Ghifari r.a. yang mewakili sosok paling keras menolak kemewahan, ketelanjuran dan pengabaian nasib masyarakat. Tetapi bicara ini pada sudut yang agak terbatas.

Kerana ekonomi manusiawi itu berakar kepada prinsip kepada karamah insaniah – kemuliaan insan

۞ وَلَقَدْ كَرَّمْنَا بَنِىٓ ءَادَمَ وَحَمَلْنَٰهُمْ فِى ٱلْبَرِّ وَٱلْبَحْرِ وَرَزَقْنَٰهُم مِّنَ ٱلطَّيِّبَٰتِ وَفَضَّلْنَٰهُمْ عَلَىٰ كَثِيرٍ مِّمَّنْ خَلَقْنَا تَفْضِيلًا

Dan sesungguhnya telah Kami muliakan anak-anak cucu Adam, Kami angkut mereka di daratan dan di lautan, Kami beri mereka rezeki dari yang baik-baik dan Kami lebihkan mereka dengan kelebihan yang sempurna atas kebanyakan makhluk yang telah Kami ciptakan.  (al Isra:70)

Ini bukan ‘juxtaposition of ideas’ atau ideologi tetapi suatu yang sebenar terikat dengan keyakinan kita bahawa hidup ini, manusia ini dan agama ini menuntut kita menegakkan keadilan mempertahankan semangat kemanusiaan. Kemanusiaan ini tidak terbatas kepada kepentingan keluarga atau kelompok atau kaum atau agama. Karamah insaniah itu bermaksud,  ‘Allah has exalted the Children of Adam’, Allah mengangkat darjat umat manusia.

Kemanusiaan itu bersandar kepada etika dan moral, sandaran kepada prinsip keadilan. Bagaimana kita boleh terima kenyataan sebuah negara dengan hasil mahsulnya melimpah ruah, boleh mengizinkan kelompok miskin samada di bandar, desa atau pendalaman? 

Dasar-dasar elit penguasa, ‘the ruling clique’ selalunya memihak kepada yang besar. Selain contoh bank tadi, kita ambil contoh beras, padi. Ini dimonopoli, untung syarikat yang menguasai monopoli ini ratusan juta. Yang bekerja sebagai petani, pesawah padi ini termasuk kategori miskin tegar. Bukankah itu tidak munasabah? Mengapa tidak perkenalkan kaedah dimana sebahagian besar pegangan saham untuk impot beras dapat diagihkan, didistribusi, seperti apa di sebut ‘distributive justice’, kepada kelompok bukan sahaja yang miskin tetapi kerana mereka mengerjakan sawah padi namun tidak dapat habuan setimpal.

Soedjatmoko pada karyanya Dimensi Manusia dalam Pembangunan membicarakan tentang aspek kemanusiaan dalam pembanguan, kesenjangan, keseimbangan, ‘limits to growth’ – had-had pertumbuhan ekonomi, impak persekitaran.

Saya bukan ahli akademik tetapi saya cuba mengasak pemikiran yang dominan dalam mana-mana pemerintahan yang memihak kepada suatu kelompok lalu meminggirkan golongan ramai rakyat. Kalau kita kembali kepada asas pemikiran Islam, Islam sentiasa mempertahankan keseimbangan ‘man and nature’ – manusia dan alam, ‘material and spiritual’ – kebendaan dan kerohanian, ‘principles of humanity at large’ – prinsip-prinsip kemanusiaan secara keseluruhannya.

وَكَذَٰلِكَ جَعَلْنَٰكُمْ أُمَّةً وَسَطًا لِّتَكُونُوا۟ شُهَدَآءَ عَلَى ٱلنَّاسِ وَيَكُونَ ٱلرَّسُولُ عَلَيْكُمْ شَهِيدًا ۗ

Dan demikian (pula) Kami telah menjadikan kamu (umat Islam), umat yang adil dan pilihan agar kamu menjadi saksi atas (perbuatan) manusia dan agar Rasul (Muhammad) menjadi saksi atas (perbuatan) kamu.  (al Baqarah: 143)

Masyarakat umat ‘equilibrium’ – seimbang itu memikir diri, keimanan, akhlak dan masyarakat serta persekitaran. Tidak boleh adakan kemusnahan, tidak boleh membiarkan penindasan, pengabaian hak. Pak Natsir berpesan, “Jangan sambil membangun kita merobohkan!” Yang kita bangunkan itu gedung dan industri, yang kita robohkan itu kemanusiaan. Kita tindas pekerja, kita ambil keuntungan berlebihan, syarikat untung ratusan juta, gaji pekerja sekadar mahu hidup, hidup pula dalam keadaan paling sesak, dalam keadaan seolah-olah perhambaan moden. Mesti ada asakan dalam masyarakat untuk merubah dan menyedarkan kita bersama.

Di Amerika, di Malaysia mahupun Indonesia kesenjangan itu melebar, jurang kaya miskin. Malah di masa wabak Covid ini, pandemik ini telah memberikan ruang untuk memperkayakan segelintir dan dianggap suatu hal yang biasa. Oleh kerana ia syarikat yang berkembang dan boleh beruntung berbilion ringgit. Padahal jika kita bincang soal etika yang merentas faham, ideologi dan kaum, itu tidak dibolehkan iaitu di kala ramai orang sengsara, para peniaga itu mengaut untung yang melonjak tinggi.

Kefahaman ekonomi manusiawi ini harus disampaikan kepada khalayak yang ramai kerana tidak mudah untuk memecah tembok penguasa yang mempunyai pendapat ekonomi yang berbeda. Mereka pun boleh saja mengungkapkan itu ini pun ‘manusiawi’ tetapi kita tidak percaya.

Bagi seorang Muslim, matlamat agama, matlamat shariah dan kehidupan itu di antaranya adalah hifz al mal, hak seseorang untuk mendapat nafkah kehidupan dan keselesaan yang minima. Dan tidaklah boleh segelintir meraih segala kekayaan dan dengannya akan menafikan hak orang yang lain. Bagaimana mungkin penguasa Islam dan yang memakai pakaian alim ulama tidak langsung mempunyai sentimen keadilan ini. 

Apabila al marhum Profesor Ungku Aziz menerima kunjungan Syaikh Yusuf al Qaradawi yang kita jemput suatu masa dulu, Syaikh Yusuf bertanya kepada Ungku Aziz tentang zakat. 

Ungku Aziz sebut, “Yang paling setia membayar zakat adalah golongan pesawah, penanam padi.”

Syaikh Yusuf bertanya, “Kelompok ini memiliki tanah dan kaya serta ada kemampuan?”

Ungku Aziz jawab, “Ini kelompok yang paling miskin di utara, di Kedah dan juga di Kelantan.”

Syaikh Yusuf bekata, “Kenapa mereka diminta membayar zakat?”

Ungku Aziz menjawab, “Itulah kefahaman agama yang ada.” 

Syaikh Qaradawi berkata bahawa dia perlu meneliti lagi perkara itu tetapi pada umumnya orang yang di bawah paras kemiskinan yang tidak cukup untuk nafkah hidupnya tidak seharusnya membayar zakat.

Ini suatu kejutan kepada pemikiran normatif dan kefahaman pada masa itu bahawa zakat padi sedemikian rupanya tetapi untuk memecah tembok golongan penguasa memerlukan suatu islah, suatu reform pemikiran masyarakat. 

Demikian sebagai pengantar kepada tajuk ini.

(Suntingan Transkripsi Ucapan Perasmian dan Ucaptama Dato’  Seri Anwar Ibrahim (Pengerusi  IIIT) Wacana Antarabangsa Ekonomi Manusiawi 27 Februari 2021)

 

I S L A H  M E D I A

 


Tuesday, February 16, 2021

JANGAN TERPERANGKAP DENGAN ISTILAH BARAT

Kita orang Islam ini kadang-kadang terperangkap dengan istilah-istilah yang datang daripada Barat. Jangan terperangkap. Semasa saya mengajar di Universiti Georgetown di Amerika, ucapan-ucapan saya bagitahu kepada orang Amerika ini, “Jangan kamu tentukan the language of discourse, bahasa wacana atau tajuk wacana, jangan kamu tentukan. Contohnya Islam ini tidak toleran, atau Islam ini Taliban. Itu pandangan kamu tetapi jangan kamu paksa ke atas kami.”

Itu kita serang dia. Tetapi kita pun terperangkap juga. Kita guna istilah ‘sekular’. Itu kadang-kadang kita tidak faham. Istilah sekular itu ada sejarahnya, extrimnya dinamakan laicite – yang terputus hubungan samasekali agama dan politik atau negara, dan ada sekular yang cuba mengimbangi, membahagikan bidang tugas. Itu kita boleh bahaskan lagi secara teliti.

Begitu juga istilah ‘liberal’ ini untuk sedia mendengar, sedia mengkritik, sedia menolak, sedia bertasamuh-bertoleransi, ada nilai demokratik, sedia berbeda pandangan, walaupun kita tidak bersetuju tetapi kita boleh menjawab dan berhujah. Tetapi bukan bermakna liberal beragama, bukan liberal seorang Muslim, soal aqidah mahu liberal macam mana? Solat 5 waktu saya tidak liberal. Puasa bulan Ramadan saya tidak liberal. Ataupun kita ambil sikap liberal sehingga semuanya mungkin, nak mungkar, nak maksiat apa pun boleh. Tentu sekali itulah extrim. Itu tak boleh diterima.

Begitu juga dengan istilah konservatif. Kita dalam Islam ini ada juga elemen-elemen konservatif. Umpamanya kita tertakluk kepada Al Qur’an, kepada Hadith, kepada Seerah. Ini boleh dikatakan konservatif values dan tidak ada salah. Ada nilai yang baik yang kita ambil daripada Nabi Adam a.s. diterima yang sebenarnya menjadi paksi bagi kehidupan manusia membedakannya dengan haiwan. Tetapi kalau konservatif itu bermakna kolot tidak mahu menerima pembaharuan, contohnya pada pemerintahan Uthmaniyah Turki yang gagah itu pernah seketika ada kecederungan sikap untuk menentang mesin cetak. Ini telah menghambat kemajuan. Itu konservatif yang tidak menguntungkan.
Jangan kita terperangkap. Oleh itu saya boleh dikatakan konservatif, saya juga liberal, saya juga demokratik tetapi bukanlah demokratik sehingga semuanya itu keputusan majoriti rakyat boleh menolak hukum, moral dan akhlak.

(Anwar Ibrahim)
I S L A H M E D I A

LinkWithin