SEJARAH

SEJARAH

Monday, September 13, 2010

Minda Iranun Kini

Apabila membicarakan soal perubahan dan anjakan paradigma, maka semua lapisan masyarakat akan turut terlibat. Globalisasi yang berlaku kini merupakan satu cabaran baru yang terpaksa diterima oleh semua golongan dan kumpulan.

Dalam hal ini, Iranun tidak terkecuali daripada arus perubahan ini dan mahu tidak mahu terpaksa bertarung dengan cabaran ini. Proses globalisasi ini memerlukan daya saing serta nilai upaya yang tinggi.

Orang Iranun kini perlu dan wajib keluar daripada gaya berfikir secara 'kampungan' atau 'makan asal hidup'. Istilah ini mestilah dilontar jauh-jauh ke sudut dunia fata morgana yang tidak wujud dalam realiti kini.

Melihat kepada persoalan ini, orang Iranun adalah masyarakat yang amat sensitif dalam pelbagai hal, apa lagi sekiranya isu yang diperdebatkan itu menyentuh sensitiviti masyarakat itu sendiri, maka ianya tidak akan selesai dalam jangka waktu yang singkat.

Antara perkara utama yang amat sensitif dalam pola pemikiran Iranun ialah;

1. Persoalan Bangsa.

Pada pandangan orang Iranun bangsa adalah perkara penting dalam menentukan jati diri Iranun itu sendiri. Persoalan ini juga turut dipertahankan oleh semua bangsa dalam dunia ini, namun orang Iranun amat kuat sifat kebangsaannya walaupun ada segelintir kini yang tidak lagi mempedulikan persoalan ini terutama apabila berlakunya migrasi dari desa ke kota, dan perkahwinan campur. Bagi yang terlibat dalam migrasi dari desa ke kota, ianya telah menerima 'shocke culture' atau kejutan budaya. Gejala ini sungguh merimaskan serta menggerunkan dan sehingga melesapkan nilai-nilai mulia yang dimiliki oleh orang tua-tua dahulu zaman berzaman.

Orang tua-tua dahulu meletakkan jati diri bangsa dihadapan sebagai wadah perjuangan dan perkara ini cuba dipertahankan. Namun dalam hal ini, orang Iranun perlu menerima hakikat bahawa masyarakat lain adalah penting dalam mencapai hasrat tersebut. Dunia kini sudah jauh berubah dan setiap etnik tidak boleh lagi berdiri sendiri tanpa kebersamaan etnik yang lain dan begitu juga etnik Iranun.

Oleh itu, etnik Iranun perlu menerima hakikat ini dan terus mengukuhkan hubungan dengan etnik-etnik yang terdapat dalam negara ini tanpa sikap prejudis. Hanya ini sahaja jalannya untuk Iranun kekal dan dapat mengangkat martabatnya seiring dengan bangsa lain.

2. Agama

Orang Iranun adalah antara penganut terawal Islam di nusantara. Pengislaman etnik Iranun di Selatan Filipina sekitar 1400-an oleh Syarif Awliya dan Syarif Miraja membuktikan bahawa Iranun telah menerima tarbiyah Islami seperti di Melaka, Ahceh dan Brunei.

Sentimen agama sudah berakar lama dalam masyarakat ini. Penentangan terhadap kolonial Barat juga adalah bersandarkan Islam selain kepentingan ekonomi. Antara faktor utama orang Iranun lambat menerima sistem pendidikan ala Barat ketika penjajahan ialah risau tentangan serangan 'aqidah' oleh Barat.

Pada masa kini orang Iranun sebahagiannya terus mempertahankan sikap beragama walaupun ada sudah yang berubah dalam menanggapi 'Islam is way of life'. Golongan yang mempertahankan 'Islam and civilization' ini cuba mengukuhkan kedudukannya dalam masyarakat Iranun.

Faktor ini banyak merubah dimensi pemikiran Iranun kini dan pertembungan telah berlaku antara 'Islam pragmatik dengan Islam Liberal' dalam masyarakat Iranun, dan tidak juga dinafikan tentang 'Islam Otodork' yang cuba mengekalkan faham yang mencampurkan antara khurafat dan Islam.

3. Faktor Ekonomi

Corak kehidupan etnik Iranun sejak dari dulu lagi banyak dipengaruhi oleh persekitaran laut. Ketika era keterlibatan Iranun dalam sektor ekonomi di Nusantara, mereka telah menjejaki beberapa pelabuhan tersohor di Nusantara dan melibatkan diri dalam perdagangan hamba.

Setelah Barat memulakan penjajahan, maka orang Iranun mula mengalihkan kegiatan mereka dengan menyerang pihak Barat sama ada mengambil upah (tentera upahan) daripada kerajaan-kerajaan Nusantara untuk menyerang Barat atau ketika berlaku pertembungan di laut.

Selepas itu, mereka mula bergiat di daratan dengan membuka penempatan baru sebagai petani dan nelayan. Namun sejak dari dahulu lagi belum ada orang Iranun yang berjaya dalam kedua-dua sektor ini. Sedangkan orang Iranun adalah antara etnik yang mahir di laut dan juga telah membuka kawasan-kawasan tanah yang sesuai untuk pertanian.

Melihat kepada senario ini dari dulu hingga kini, rupanya orang Iranun ada satu sikap yang disebut di atas 'makan asal hidup'. Tiga perkataan ini telah menjadikan orang Iranun kurang usaha, kurang daya saing, tidak kreatif dan tidak ada strategi.

Namun kini, orang Iranun mula mengorak langkah dan cuba keluar daripada kepompong pemikiran silam. Anjakan paradigma terus bergerak walaupun secara perlahan. Para peniaga Iranun cuba membawa satu gaya berfikir dengan menyertai pelbagai sektor dan termasuklah pengkorpratan, cuma mereka belum sampai kepada sistem konsortium.

Satu perkara penting juga yang perlu dilihat oleh peniaga-peniaga Iranun ialah mengaktifkan sistem ekonomi kampung dan di mana banyak tanah-tanah masyarakat yang terbiar tanpa diusahakan secara maksima. Para peniaga ini mesti memecahkan kebuntuan ini dan terus memikirkan strategi atau pelan pembangunan yang sifatnya lebih komprehensif. Apa kata para peniaga ini melakukan ledakan ekonomi secara integral di bawah satu organisasi iaitu 'Sabah Iranun Development Centre' atau SIDC?

4. Politik

Persoalan politik sering menjadi tumpuan besar dalam masyarakat Iranun, seolah-olah politik adalah segala-galanya. Apabila berbicara soal masyarakat, maka tidak sah sekiranya tidak ada politik. Adalah tidak dinafikan tentang peranan politik dalam pembangunan masyarakat, namun sistem berpolitik yang sifatnya kondusif adalah amat perlu.

Dewasa ini orang Iranun juga turut memainkan peranan dalam politik setempat, negeri atau negara.

Kekadang ada pemikiran yang terlalu mengecilkan ruang lingkup politik Iranun dalam konteks yang terlalu terpinggir. Sewajarnya corak politik Iranun mestilah bersifat global dengan mendasari arus perubahan yang berlaku sama ada dalam ruang lingkup pemerintah atau pihak pembangkang.

Politik kampungan hendaklah ditinggalkan, dan orang Iranun harus bersedia untuk berubah dan berkongsi kejayaan dengan etnik-etnik lain. Etnik Iranun tidak akan mencapai kejayaan secara sendirian sekiranya tidak mengwujudkan kerjasama dengan etnik lain. Politik 'win win situation' amat perlu dalam pemikiran politik Iranun.

Pada masa kini idea ini sedang dicanangkan oleh Tan Sri Pandikar Amin sebagai satu gagasan besar dalam era politik global. Beliau selaku pemikir perancang telah melihat aspek ini lebih dulu lagi. Walau pun dilihat ada beberapa tindakan beliau yang sukar dijangkau oleh pemikiran biasa dan selalu difikirkan telah membelakangkan dasar awal, namun sebenarnya beliau cuba membawa satu wajah baru dalam dimensi politik Iranun dengan menekankan 'win win situation'.

Kemunculan gagasan baru ini atau sebenarnya bukan baru, telah dipengaruhi oleh perubahan politik nasional terutama dalam politik pihak pembangkang. Ramai generasi kini melihat perubahan mestilah selari dengan perubahan nasional dan internasional.

5. Bidang Pendidkan

Dalam bidang pendidikan etnik Iranun tidak ketinggalan, dalam masyarakat Iranun ada lima buah sekolah rendah iaitu SK Rampayan Ulu, SK Keguran, SK Nanamun, Sk Tamau dan SK Peladok. Manakala sekolah menengah ada dua iaitu SMK Usukan dan SMK Taun Gusi walau pun bercampur.

Oleh itu, proses ini berlaku dengan lancar dan ramai anak-anak Iranun yang sudah berjaya dalam pendidikan dan ramai yang sudah menjadi graduan cuma belum ada data secara terperinci.

Dalam hal ini, hanya peranan ibubapa sahaja yang diperlukan agar anak-anak mendapat pendidikan yang sempurna. Sektor pendidikan ini banyak menyumbang kepada pembangunan etnik Iranun dan merubah pemikiran masyarakat. Oleh itu, bidang ini mestilah dimurnikan agar ianya berjalan dengan baik serta berterusan.

Kesimpulan

Oleh yang demikian, etnik Iranun dalam rumpun Melayu ini mesti sedar dan berubah serta menerima hakikat tentang realiti kini bahawa etnik ini bukan lagi bersaing dengan etnik minoriti di Sabah sahaja tetapi bersaing dengan masyarakat di seluruh dunia.

Gaya berfikir orang Iranun hendaklah sentiasa di-upgrade-kan agar etnik ini sentiasa melihat ke hadapan dan bersedia untuk menerima sebarang perubahan yang bersifat drastik. Sifat menyendiri mestilah dilontar jauh-jauh supaya Iranun sentiasa beroleh manfaat dari semuanya.

Sunday, September 5, 2010

Hari Raya: Peluang Bermaaf-Maafan


Tidak lama lagi umat Islam seluruh dunia akan menyambut ketibaan 1 Syawal iaitu hari semua umat Islam akan bergembira. Setelah satu bulan mengharungi cabaran Ramadhan dengan penuh istiqamah, maka sudah tiba masanya hari penuh bersejarah ini disambut dengan rasa gembira dan kesyukuran.

Hari yang berbahagia ini, menyediakan banyak peluang kepada umat Islam untuk menghulurkan tangan persaudaraan seIslam. Persaudaraan yang akan mengembalikan manusia kepada sifat bermaaf-maafan, melupakan segala sengketa, meluhurkan hati, melapangkan dada, dan menghiasi diri dengan penuh takwa.

Islam menyediakan peluang bermaaf-maafan sekiranya berlaku keterlanjuran kata antara sesama Islam, dengan harapan agar hubungan ukhuwah Islamiyah kekal selamanya. Allah SWT tidak pernah membezakan antara sesama Islam kerana perbezaan pendapat, warna kulit atau bangsa, dan yang akan menentukan status manusia itu ialah 'taqwa'.

Macam mana individu itu beroleh pelbagai kejayaan sekali pun dalam kehidupan duniawi ini, namun sekiranya dia gagal menjaga ketaqwaannya kepada Allah SWT, maka manusia itu masih lagi gagal mencapai kejayaan yang hakiki. Lihat bagaimana Allah SWT mengangkat Bilal bin Rabah' sebagai manusia yang mulia. Ketika ar-Rasul saw dibawa melawat Syurga semasa Israq Mikraj, ar-Rasul saw telah diperlihatkan tentang sebuah bangunan yang cantik, apabila baginda bertanya kepada Malaikat Jibril'siapa pemiliknya, Malaikat jibril memberitahu bahawa bangunan itu dimiliki oleh Bilal bin Rabah'.

Bilal bin Rabah' yang berbangsa Habsiy tetap diberi keistimewaan oleh Allah SWT kerana 'taqwa' yang dia miliki. Bagaimana pula kehidupan kita hari ini yang jauh berbeza dengan suasana Bilal bin Rabah'. Bukan bererti kita mesti berbuat seperti Bilal bin Rabah', tetapi memadailah kita meningkatkan taqwa kita kepada Allah SWT.

Oleh itu, Madrasah Ramadhan yang tidak lama lagi akan meninggalkan kita ini, wajar dijadikan sebagai titik tolak dalam melakukan perubahan terhadap diri. Jika selama ini, kerja kita mengata, mengumpat, mencaci, menghina atau apa sahaja sifat-sifat Mazmumah yang menjadi amalan kita, maka kita wajib tinggalkannya, dan mengambil sifat Mahmudah sebagai galang ganti kepada sifat Mazmumah.

Satu Syawal adalah dunia baru untuk menanamkan azam melakukan perubahan dengan mengukuhkan ikatan silaturrahim. Berlapang dadah, sentiasa bermujahadah dan bersikap pemurah menghulurkan tangan kepada sesiapa sahaja sama ada kawan atau pun lawan. Ambil sikap sepertimana Salahuddin al-Ayubi ketika Perang Salib berlaku antara umat Islam dan Kristian, di mana pada suatu ketika Panglima Lion Richard, jatuh sakit dan tidak dapat keluar berperang. Lalu Salahuddin al-Ayubi mengisytiharkan pada hari itu cuti kerana Panglima Lion Richard jatuh sakit dan beliau mahu menziarahinya. Setelah memasuki khemah Lion Richard, Salahuddin al-Ayubi mendoakan beliau agar cepat sembuh dan dapat berperang semula.

Tindakan Salahuddin al-ayubi ini menggambarkan, betapa Islam itu menghormati semua golongan sama ada musuh atau sesiapa sahaja. Kalaulah dalam kehidupan ini, kita meletakkan Islam itu sentiasa di hadapan, maka masyarakat akan sentiasa harmoni.

Hari Raya inilah akan kita lihat bagaimana semua kaum, bangsa atau pelbagai golongan akan bergembira sebagai tanda bersyukur. Jangan pula Hari Raya yang mulia ini kita hiasai dengan kegiatan-kegiatan yang berbentuk maksiat dan mungkar. Hari Raya Adildil Fitri ini adalah anugerah Allah SWT kepada hambanya yang bertaqwa. Jadikanlah Hari Raya ini untuk kita semakin hampir dan dekat dengan Allah SWT.

LinkWithin