SEJARAH

SEJARAH

Thursday, May 20, 2010

PENEMPATAN IRANUN DI WILAYAH KESULTANAN SULU

Oleh
Milus Hj. Abd. Wahad

Masyarakat Iranun merupakan etnik yang banyak terlibat dalam kegiatan perdagangan di Nusantara serta memainkan peranan penting sebagai kuasa pengimbang politik serta ekonomi terhadap rantau Nusantara. Etnik ini melakukan kegiatan mereka sehingga di luar perairan kepulauan Melayu, menurut Owen Rutter:

Their crusing grounds were not limited to the Sulu Archipelago, but they would range through the whole of the Malayan seas, and a single crusie, lasting sometimes as long as three years, might take them east through the Philippines, round New Guniea, and then along the coasts of Java and Sumtra as far as the Bay of Bengal, and home by way of Penang and the Borneo coast.

Tindakan mereka ini didorong oleh sikap pelayag-layag untuk menelusuri beberapa pelabuhan yang tersohor. Kegiatan orang Iranun ini berkait rapat dengan kemahiran mereka di laut yang telah membawa orang Iranun dikenali oleh pedagang Barat. Seterusnya pihak Barat seperti Owen Rutter mendakwa bahawa orang Iranun terlibat dalam kegiatan perlanunan yang berlaku di perairan Nusantara, tetapi yang jelas orang Iranun bertindak demikian atas dorongan kedatangan penjajah yang cuba menguasai sepenuhnya kegiatan ekonomi di kepulauan Nusantara. Sedangkan sebelum pedagang Barat memasuki pasaran di Nusantara, kegiatan perdagangan berlaku dengan lancar dan pada masa yang sama orang Iranun telah pun mengadakan hubungan dengan kerajaan-kerajaan Melayu seperti Sumatera, Jawa dan Melaka. Hubungan berlaku dengan penuh harmoni dan menurut George Windsor:

…the Malay language history of Riau, the Tufat al-Nafis, chronicles the real coming of the Iranun to the Malacca Straits, telling of Dutch efforts to wrest control of the valuable tin trade from the Bugis, and of the Malay Sultan Mahmud’s decision to summon the Iranun of Tempasuk, in northwest Borneo, to assist in expelling the Dutch from Riau. Mahmud sent a mission, headed by an emissary called Talib, to Tempasuk with a letter for the raja of Tempasuk’.

Pernyataan Sultan Mahmud itu, dengan mengutus surat kepada Raja Tempasuk pada bulan Mei 1787 adalah bertujuan supaya orang Iranun di Tempasuk membantu beliau menyerang Belanda di Riau. Raja Tempasuk yang dikenali sebagai Raja Ismail tanpa bantahan terus membantu Sultan Mahmud dan beliau sendiri turut terlibat dalam serangan tersebut berserta anak-anaknya, Raja Tebuk ( Sultan Sa Tebuk), Raja Alam berserta isterinya Raja Aisyah, Raja Muda, dan Datuk Sikolo, angkatan tentera Tempasuk ini telah menyerang Belanda di Riau melalui Tanjung Pinang. Kesannya pihak Belanda mengalami kekalahan dalam pertempuran tersebut dan Sultan Mahmud amat berterima kasih kepada tentera Iranun dan baginda telah mengadakan majlis keramaian menyembut kemenangan tersebut sebagai tanda penghargaan. Selepas itu, rombongan dari Tempasuk pun memohon balik ke Tempasuk semula, kecuali beberapa orang pembesar Iranun seperti Raja Muda Umak dan Tok Lukus di mana dua orang tokoh ini memperhambakan diri kepada Sultan Mahmud di Riau.

Hubungan yang berlaku antara Tempasuk dengan Johor ketika itu dapat dilihat kepada faktor hubungan politik. Hubungan politik adalah berbentuk bantuan ketenteraan dan Johor muncul sebagai kuasa baru selepas kejatuhan Melaka kepada Portugis dan Belanda. Semasa kerajaan Melaka lagi orang Iranun banyak memainkan peranan dalam politik Melaka dan mereka ini dikenali sebagai Orang Laut. Hubungan orang Iranun dengan kerajaan luar turut terjalin, ini diperlihatkan apabila Sultan Abdullah dari Kedah menawarkan $ 20,000 kepada sultan Iranun untuk menyerang Francis Light di Pulau Pinang.

Pernyataan itu membuktikan orang Iranun sudah mempunyai kuasa politik di Tempasuk dan adalah difahamkan didapati Sultan Sa Tebuk merupakan raja masyarakat Iranun di Tempasuk sekitar akhir tahun 1700an dan awal tahun 1800an. James Francis Warren menjelaskan:

In the 1830s, an Iranun lord who called himself Sultan Si-Tabuk led the settlements of Tempasuk and Pandasan’.

Kewujudan Raja Iranun di Tempasuk ini diperkuatkan dengan pertemuan antara Raja Brooke dengan Sultan Sa Tebuk bagi membincangkan perjanjian yang dipersetujui tetapi telah diingkari oleh Sultan Sa Tebuk dengan menyerang Ambong:
On the same day the Admiral and Mr. Brooke, “protected by the armed boats of the Angincourt,” went ashore and interviewed Sa Tabuk, the Illanun raja. They reproached him for having broken the arrangements entered into the year before, and attacking “the peacful town of Ambong.

Menurut sumber tempatan, sebenarnya yang menyerang Ambong ketika itu ialah Datu Maminasaka yang merupakan anak Datu Adil pembesar Kampung Keguran, angkara Datu Maminasaka ini telah melibatkan kepentingan Raja Brooke dan menuduh Sultan Sa Tebuk telah mengkhianati perjanjian yang telah dimaterai.

Penjelasan di atas membuktikan orang Iranun telah menguasai Tempasuk sekitar awal 1830an, dan orang Iranun memilih Tempasuk sebagai pusat kegiatan mereka kerana kedudukan kuala Tempasuk yang sukar dimudiki oleh pelayar Barat yang merupakan musuh tradisi mereka. selain itu, faktor ‘mangayau’ juga turut mempengaruhi aktiviti orang Iranun di Nusantara. Berdasarkan sikap tersebut, maka orang Iranun terus bersaing dengan pedagang barat, mereka sentiasa menjadi ancaman kepada barat. Penempatan di Tempasuk ada kaitan dengan kedatangan barat. Kewujudan kuasa tempatan yang diketuai oleh Sultan Sa Tebuk di Tempasuk merupakan strategi bagi berhadapan dengan barat, penempatan Iranun di Tempasuk mempunyai kaitan keselamatan dan Sultan Sa Tebuk adalah ketua masyarakat Iranun, mengikut satu pendapat:

Sultan Sa Tabuk dipercayai berasal dari kepulauan Mindanao belayar ke Borneo atas permintaan sultan Sulu untuk membantu adik sultan Sulu yang disangkakan ditawan oleh sultan Brunei. Adik sultan Sulu ini sebenarnya belayar ke negara Brunei. Memandangkan Sultan Sa Tabuk sudah tidak berminat untuk kembali semula ke Mindanao, maka beliau telah membuka penempatan di Tempasuk.
Pendapat ini menunjukkan tentang kewujudan kuasa tempatan Iranun di Tempasuk yang ditadbir oleh Sultan Sa Tebuk. Kuasa imperialisme ketika itu juga turut mengakui tentang kewujudan pentadbiran Sultan Sa Tebuk ini, seperti yang dijelaskan di atas.

Faktor politik juga mempengaruhi orang Iranun membuka penempatan baru, antaranya hubungan politik dengan kerajaan Sulu, di mana kesultanan Sulu telah memberi ruang kepada orang Iranun membuka penempatan di wilayah pentadbiran Sultan Sulu. Utara Borneo merupakan wilayah kesultanan Sulu dan kesultanan Brunei. Kedua-dua kerajaan ini telah membahagikan Utara Borneo ini, dari Sungai Pandasan sampai ke Lahad Datu adalah diletakkan di bawah pentadbiran Sultan Sulu dan dari Sungai Pandasan hingga ke Sarawak adalah diletakkan di bawah pentadbiran Sultan Brunei.

Penempatan orang Iranun di wilayah kesultanan Sulu dapat dilihat melalui penjelasan James Warren, pada tahun 1814, di mana di Jolo Town, seramai 600 orang diketuai oleh Datu Mulok dan Datu Bukon, di Jolo Island seramai 1,500 orang diketuai oleh Raja Muda Buling dan Panglima Daud, di Tulayan Island seramai 300 orang, di Pilas Island seramai 300 orang, Pangutaraan Islan ramai orang Iranun diketuai oleh Orang Kaya Malik, di Basilan seramai 300 orang, di Balangingi Island ramai orang Iranun, di Tunkil Island seramai 500 orang diketuai oleh Datu Timbing, di Tawi-Tawi seramai 300 orang diketuai oleh Datu Magindanao dan di Palawan seramai 600 orang.

Apa yang jelas antara kuasa tempatan Iranun dan kerajaan Sulu mempunyai hubungan serta persefahaman sejak awal lagi, dan hubungan ini telah memberi peluang kepada orang Iranun membuka beberapa penempatan seperti di Tempasuk, Kudat, Tunku, Tuaran dan seterusnya mendirikan pentadbiran di kawasan tersebut dan tindakan ini tidak mendapat tentangan daripada Sultan Brunei dan Sultan Sulu. Bahkan petempatan orang Iranun di Tempasuk telah mendapat persetujuan daripada Sultan Sulu.

Pretyman yang merupakan Residen Tempasuk yang pertama telah mencatatkan pada 28 November 1879, tentang kewujudan kuasa tempatan Iranun di Tempasuk, di mana beliau menyatakan tentang kampung-kampung yang dikuasai oleh Sultan Iranun antaranya Matampai, Merabau, Tamoy, Mirampian, Lamon dan Asam. Kewujudan kuasa Iranun di Tempasuk ini dapat dibuktikan juga dengan kubur Sultan Sa Tebuk di perkuburan Matampai, Kampung Kota Peladok.

Menurut Ivor Evans, Tempasuk pernah diperintah oleh seorang raja yang dipanggil Raja Muda sebagai ketua bagi masyarakat Iranun. Apabila British menjajah Tempasuk, maka perubahan pentadbiran turut berlaku dan kuasa sultan Iranun di Tempasuk turut hilang dan Residen W. Pretyman di Tempasuk mengagihkan sistem pentadbirannya mengikut kampung-kampung, dan Sultan Iranun, terus diletakkan statusnya sebagai ketua kampung, di mana sultan tidak lagi berkuasa sepenuhnya. Perkara seperti ini turut berlaku di Semenanjung Tanah Melayu, di mana sultan-sultan kehilangan kuasa mentadbir, bahkan sultan hanya diberi tanggungjawab untuk mengurus hal-ehwal adat-istiadat dan keagamaan. Semua sultan dikehendaki menerima penasihat yang dikenali sebagai residen. Di Tempasuk juga Sultan Sa Tebuk tidak diberi kuasa mentadbir dan W. Pretyman merupakan residen yang dilantik khas untuk kawasan Tempasuk. Perlantikan beliau sebagai residen Tempasuk telah menghadkan kuasa Iranun, dan antara tindakan beliau ialah menstruktur pentadbiran di Tempasuk.

Penstrukturan tersebut telah mengecilkan lagi kuasa Iranun di Tempasuk pada tahun 1879 daripada sebuah negeri menjadi kampung, antaranya Kg. Matampai diketuai oleh Sultan Iranun (Sultan Sa Tebuk), Kg. Merabau, Kg. Tamau dan Kg. Asam diketuai oleh Datu Mamuda, Kg. Rampayan dan Kg. Nanamun diketuai oleh Datu Inderajayah. Kuasa Sultan Sa Tebuk sebagai ketua atau Raja Tempasuk menjadi kecil dan diberi peranan sebagai Ketua Kampung.

Selain daripada kewujudan Tempasuk sebagai pusat pentadbiran Iranun, Pandasan juga diperintah oleh seorang pembesar yang bernama Pengiran Raja Muda sekitar tahun 1868 hinggalah 1878, sebelum Pengiran Raja Muda, Pandasan juga diperintah oleh Datu Mirajah Dinda sekitar tahun 1850an. Seorang pembesar yang dikenali sebagai Raja Muda Sawir merupakan pentadbir bagi kawasan Rampayan, Kuala Rampayan Laut pada satu ketika dikenali sebagai pusat pelabuhan kapal-kapal pedagang dan menurut maklumat tempatan, Rebuk (Kampung Ramapayan Ulu) ketika itu bukan sahaja berperanan sebagai pelabuhan, bahkan pusat pentadbiran dan diketuai oleh Raja Muda Pidtailan sekitar tahun 1760an.

Menurut Leight R. Wright, Tungku juga merupakan satu lagi kawasan petempatan orang Iranun di Pantai Timur Utara Borneo dan diperintah oleh Raja Laut sekitar 1840an. Orang Iranun juga telah menguasai tiga sungai kecil iaitu Sungai Tunku, Sibahat, Mekawa dan di Sungai Tunku terdapat lebih 1,000 orang pahlawan yang sedia menyerang kapal-kapal dagang Barat sekitar tahun 1840an. Pada tahun 1878 orang Tunku telah merompak kapal HMS Kestrel yang diketuai oleh Edwards, dan tindakan orang Iranun di Tunku ini bertujuan mengganggu penguasaan sepenuhnya oleh Barat.

Tuaran juga merupakan salah satu petempatan orang Iranun tetapi mereka tidak kekal lama di Tuaran, Ketua orang Iranun di Tuaran ini dikenali sebagai Si Mirantau, tetapi orang Iranun di Tuaran tidak kekal dan mereka berpindah ke Tempasuk. Dalam tulisan James Warren menyatakan bahawa orang Iranun ada didapati di Tuaran dan tinggal bersama dengan orang Bajau. Ivor juga menyebut pada tahun 1911 terdapat 7 orang Iranun tinggal di Tuaran bersama orang Bajau dan Dusun, dan sebelum itu Kuala Mengkabong pernah menjadi penempatan sementara orang Iranun. Selain itu juga, Datu Takopan yang didakwa oleh Ivor sebagai Bajau merupakan orang Iranun dan mempunyai kaitan kekeluargaan dengan datu-datu Iranun di Tempasuk dan beliau juga turut menetap di Tuaran.

Kegiatan orang Iranun sebelum zaman penjajah ini banyak tertumpu kepada perdagangan yang melibatkan bahan-bahan antiq, seperti gong, canang, kulintangan dan bahan-bahan rempah ratus. Kegiatan ini telah mendedahkan lagi orang Iranun terhadap sistem ekonomi Nusantara, di samping itu sebahagiannya terlibat dalam aktiviti menyerang kapal-kapal pedagang Barat yang banyak menggugat kepentingan mereka di perairan Nusantara. Oleh kerana orang Iranun begitu aktif menentang Barat, maka pihak Barat menggelarnya sebagai lanun.

Kuasa politik Iranun ini juga dipengaruhi oleh sikap ‘pelayag-layag’ mereka yang menyebabkan orang Iranun turut belayar hingga ke Kelantan, Trengganu, dan Pattani, kegiatan mereka ini didorong oleh aktiviti ekonomi dan politik. Kegiatan ini telah membantu orang Iranun tidak terasing di kalangan bangsa-bangsa yang terdapat di kepulauan Melayu.

Kegiatan politik orang Iranun tertumpu kepada hubungan dengan kerajaan-kerajaan Melayu seperti Sulu, Brunei, Melaka dan lain-lain. Di Mindanao mereka mendirikan beberapa kerajaan seperti Malabang, Illana Bay dan Lake Lanao. Kerajaan-kerajaan ini diwujudkan oleh golongan bangsawan orang Iranun yang dikenali sebagai datu-datu. Muhammad Kabungsuan yang datang ke Malabang dan mendirikan kerajaan di Malabang pada tahun 1520 telah berkahwin dengan anak pembesar Iranun yang dikenali sebagai Angintabu dan mendapat anak Syarif Maka-alang. Melalui keturunan ini, maka lahirlah golongan bangsawan yang mewarisi kerajaan yang diasaskan oleh datuk atau moyang mereka.

Penglibatan orang Iranun terhadap politik di Nusantara kelihatan amat menonjol lagi, apabila mereka lebih dikenali sebagai ‘pirate’ atau lanun. Orang Sepanyol menggelarnya sebagai ‘Los Illanuns de la Laguna’. Orang Iranun pada ketika itu mendapat beberapa keistimewaan di kalangan kerajaan Melayu dan bebas bergerak ke mana-mana mereka belayar seperti mana orang Balangingi, Bajau, Suluk dan Bugis.

The Coasts of Borneo, Sumatra and Sulawesi harbored Iranun communities that specialized in the trade. But many Iranun raiders still continued to think of Mindanao and Sulu as their homeland and main bases.

Sebagai masyarakat pelaut yang mempunyai kemahiran tentang laut, maka orang Iranun bebas bergerak, jiwa serta pemikiran mereka telah sebati tentang suasana laut di kepulauan Nusantara. Politik mereka hanya bergantung kepada semangat ‘pelayag-layag’ dan ‘mangayau’ dari satu tempat ke satu tempat.


BIBLIOGRAFI

Abdullah Zakaria Ghazali dan Zainal Abidin Borhan, t.t. Johor :dahulu dan sekarang, Persatuan Muzium Malaysia, Kuala Lumpur. (James Warren turut menyatakan bahawa kegiatan orang Iranun seperti mana orang Bugis dengan kekuatan perahu 90 hingga 100 kaki panjang dan lebih 100 orang penghuni dengan kegiatan sebagai ‘Lanun’ dan merompak para nelayan Melayu dari Melaka hinggalah ke kepulauan Riau. Lihat halaman 1 ‘Iranun and Balagingi: Globalization, Maritime Raiding and the Birth of Ethnicity’. Dalam halaman 8 juga beliau menyatakan ‘Between 1780 and 1815, from the shores of the straits of Malacca to the coasts of the Moluccas, Iranun slave raiding and ‘privateering,’ a tacit substitute for war, dominated the history of relations between the colonial power’).


__________, 1998. Belanda di Melaka, 1641-1795: Satu Tinjauan mengenai PRIVATE persaingan negeri Melayu dengan Belanda di Selat Melaka, dalam Pengajian Melayu Bersumberkan Belanda, Akedemi Pengajian Melayu Universiti Malaya.

Bandira Datu Alang, menulis artikel yang bertajuk ‘Suku Kaum Iranun di Sabah: Satu Tinjauan Umum’, dan dibentangkan di ‘Malay World Symposium Marawi City, Philippines’ pada 02-04 April 1996 Mindanao State University, Marawi City, Philippines.

Cesar Adib Majul, 1988. Islam di Filipina (terj. Shamsuddin Jaapar). Dewan Bahasa dan Pustaka Kuala Lumpur.

__________, t.t. Moro: Pejuang Muslim Filipina Selatan (terj. H.Salim Basyarahil), al-Hilal, Jakarta.

Datu Raiman Datu Kauman, 1997. Sistem Panggilan dan Sapaam Bahasa Iranun dan Bahasa Melayu: Satu Analisis Perbandingan, Fakulti Pengajian Pendidikan, Universiti Putra Malaysia Serdang, Selangor.

G. N. Appell, Ethnographic Notes on The Iranon Maranao ( Illanun ) of Sabah, Sabah Society Journal, Vol. V, No.2, 1970.

Ivor H. N. Evans, B.A. 1922. Among Primitive Peoples in Borneo, Seeley, Service & Co. Limited, London, 1922. hal. 261.

James Francis Warren. 2002. Iranun and Balangingi: Globalization, Maritime Raiding and the Birth of Ethnicity. Singapore University Press: National University of Singapore.

Leight R. Wright, Piracy and the Powers in the Nineteenth Century Borneo. Dalam Solidarity, 11 (Mac – April 1979-80). Beliau juga pernah dijemput membentangkan kertas kerja bertajuk ‘Pre-Colonial Politics in Sabah’, dalam Seminar Sejarah dan Masyarakat Sabah, Kota Kinabalu pada 12 – 13 Ogos 1981. Anjuran Yayasan Sabah dengan kerjasama Persatuan Sejarah Malaysia.

Najeeb M. Saleeby, 1976. Studies in Moro History, Law and Religion and Antonio Martel de Gayangos, The Island of Mindanao. Filipiniana Book Guild, Inc. XXIV, Manila.

Owen Rutter, 1986. The Pirate Wind: Tales of the Sea-Robbers of Malaya.Singapore: Oxford University Press.

Ranjit Singh, 2000. The Making of Sabah 1865-1941; The Dynamics of Indigenous Society, University of Malaya Press, Kuala Lumpur.

Sabihah Osman, 1985. Pentadbiran Pribumi Sabah dalam Kuasa Pemerintahan Syarikat Berpiagam 1881 -1941, Universiti Kebangsaan Malaysia, Selangor.

Tom Harrisson, The Diary of Mr. W. Pretyman – IV. The Sarawak Museum Journal, Issued by The Museum, Kuching, Sarawak, July – December, 1959.

Virginia Matheson Hooker, 1991. Tuhfat Al-Nafis: Sejarah Melayu-Islam, Dewan Bahasa dan Pustaka dan Kementerian Pendidikan Malaysia, Kuala Lumpur.

3 comments:

  1. Salam Perkenalan..

    "Dalam petikan dari sejarah dari Beccari Odoardo kaum Irranun / Illaun adalah "Pirates". Lihatlah betapa busuknya hati Orang Inggeris (penjajah)hingga mengelar kaum Illanun sebagai "Pirates" @ Lanun (adalah bahasa yang Busuk)

    ReplyDelete
  2. Org bajau @ samah kota belud yg mana!??

    ReplyDelete

LinkWithin