SEJARAH

SEJARAH

Friday, March 13, 2026

PEMBINAAN BANGSA: KEPELBAGAIAN DALAM BINGKAI KESATUAN



Menurut Pemikiran
Prof Dato' Dr Siddiq Fadzil



Pendahuluan

Pembinaan bangsa merupakan suatu proses yang penting dalam pembentukan identiti nasional sesebuah negara yang memiliki masyarakat berbilang etnik, agama, bahasa dan budaya. Dalam konteks negara moden, pembinaan bangsa bukan sekadar berkaitan dengan pembentukan struktur politik atau pembangunan ekonomi, tetapi juga melibatkan pembinaan kesedaran kolektif yang mampu menyatukan masyarakat yang pelbagai latar belakang. Hal ini menjadi lebih penting dalam negara yang bersifat plural atau pelbagai seperti Malaysia, yang terdiri daripada masyarakat Melayu, Cina, India serta pelbagai kelompok etnik pribumi di Sabah dan Sarawak.

Pemikir dan sarjana Muslim kontemporari seperti Prof Dato’ Dr Siddiq Fadzil menekankan bahawa pembinaan bangsa harus dilihat dalam kerangka “kepelbagaian dalam bingkai kesatuan”. Konsep ini menegaskan bahawa kepelbagaian etnik, agama dan budaya bukanlah ancaman kepada perpaduan negara, sebaliknya merupakan suatu kekuatan yang perlu diurus dengan hikmah, adil dan bijaksana. Panda dasarnya perpaduan tidak bermaksud keseragaman mutlak, tetapi kesediaan untuk hidup bersama dalam suatu kerangka nilai dan sistem yang dikongsi bersama tanpa melihat perbezaan sebagai faktor penghalang kepada penyatuan.

Konsep Pembinaan Bangsa

Pembinaan bangsa atau nation building merujuk kepada proses pembentukan identiti nasional yang dikongsi bersama oleh seluruh rakyat bagi sesebuah negara. Ia melibatkan usaha membentuk kesedaran kebangsaan, kesetiaan kepada negara serta komitmen terhadap nilai-nilai bersama yang menjadi asas kehidupan bernegara, dengan menjadikan Rukun Negara sebagai asas penting dalam mencapai cita-cita Negara Bangsa.
Menurut perspektif Prof Dato’ Dr Siddiq Fadzil, pembinaan bangsa tidak boleh difahami hanya dari sudut politik semata-mata. Ia juga harus melibatkan dimensi sosial, budaya dan moral yang memainkan peranan penting dalam membentuk hubungan antara kelompok masyarakat. Pembinaan bangsa yang berjaya memerlukan pembentukan nilai bersama yang dapat diterima oleh semua kelompok masyarakat tanpa menafikan identiti asal mereka.

Dalam konteks ini, pembinaan bangsa memerlukan keseimbangan antara dua unsur utama, iaitu pengiktirafan terhadap kepelbagaian masyarakat dan pembentukan suatu kerangka kesatuan nasional yang mampu menyatukan kepelbagaian tersebut.

Kepelbagaian Sebagai Realiti Sosial

Kepelbagaian atau pluraliti merupakan anugerah Ilahi kepada Malaysia dan ianya juga suatu realiti sosial yang tidak dapat dielakkan dalam banyak negara moden. Sejarah pembentukan masyarakat di beberapa negara memperlihatkan bagaimana migrasi, perdagangan dan penjajahan telah memainkan peranan dan melahirkan masyarakat yang berbilang etnik dan budaya. Keadaan ini juga berlaku di Malaysia, di mana masyarakatnya terdiri daripada pelbagai latar belakang etnik, agama dan bahasa menjadi warganegara yang mesti diterima semasa menuntut kemerdekaan dan Malaysia berjaya mengurusnya dengan amat baik.

Prof Dato’ Dr Siddiq Fadzil melihat kepelbagaian sebagai suatu fenomena yang harus diterima sebagai sebahagian daripada sunnatullah dalam kehidupan manusia. Dalam perspektif ini, kepelbagaian bukanlah sesuatu yang perlu dihapuskan, tetapi perlu diurus dengan bijaksana agar ia menjadi sumber kekuatan kepada masyarakat. Kepelbagaian budaya dan tradisi boleh memperkayakan tamadun sesebuah negara, selagi mana ia berada dalam kerangka nilai bersama yang mengikat masyarakat tersebut agar sentiasa menghargai kepelbagaian ini.

Namun demikian, kepelbagaian juga boleh menjadi sumber konflik sekiranya tidak diurus dengan baik. Suara-suara sumbang sudah bermunculan yang mempertikaikan persaingan ekonomi, perbezaan ideologi dan sentimen etnik boleh mengakibatkan ketegangan dalam masyarakat yang plural. Oleh itu, pembinaan bangsa memerlukan pendekatan yang mampu mengimbangi antara pengiktirafan terhadap kepelbagaian dan usaha membina kesatuan nasional.

Bingkai Kesatuan dalam Pembinaan Bangsa

Konsep “bingkai kesatuan” merujuk kepada kerangka nilai, institusi dan sistem yang menjadi asas kepada perpaduan masyarakat. Bingkai ini berfungsi sebagai landasan yang menyatukan masyarakat yang berbeza latar belakang dalam satu sistem kehidupan bersama.

Dalam konteks Malaysia, bingkai kesatuan ini dapat dilihat melalui beberapa elemen utama seperti Perlembagaan negara, bahasa kebangsaan, sistem pendidikan nasional serta nilai-nilai kenegaraan yang dikongsi bersama oleh seluruh rakyat. Elemen-elemen ini berfungsi sebagai asas yang menyatukan masyarakat walaupun mereka memiliki latar belakang budaya dan agama yang berbeza.

Menurut Prof Dato’ Dr Siddiq Fadzil, bingkai kesatuan juga perlu berasaskan nilai-nilai moral yang universal seperti keadilan, toleransi, saling menghormati dan tanggungjawab sosial. Nilai-nilai ini penting dalam membentuk hubungan yang harmonis antara kelompok masyarakat yang berbeza.

Dalam konteks ini, kesatuan tidak bermaksud menghapuskan identiti etnik atau budaya, tetapi mewujudkan suatu ruang bersama di mana semua kelompok masyarakat dapat hidup secara aman dan saling menghormati dan menyuburkan semangat perpaduan Dan keharmonian bernegara.

Prinsip-Prinsip Pembinaan Bangsa

Pembinaan bangsa yang berasaskan konsep kepelbagaian dalam bingkai kesatuan memerlukan beberapa prinsip asas. Antaranya ialah prinsip pengiktirafan terhadap kepelbagaian masyarakat. Setiap kelompok etnik dan budaya harus dihormati dan diberikan ruang untuk mengekalkan identiti mereka.

Selain itu, prinsip keadilan sosial juga sangat penting dalam memastikan perpaduan masyarakat dapat dipertahankan. Ketidakseimbangan ekonomi atau ketidakadilan dalam peluang pembangunan boleh menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan kelompok masyarakat tertentu, yang akhirnya boleh menggugat kestabilan negara.

Prinsip dialog antara budaya dan peradaban juga menjadi elemen penting dalam pembinaan bangsa. Melalui dialog dan interaksi yang berterusan, masyarakat dapat meningkatkan persefahaman antara satu sama lain serta mengurangkan prasangka dan stereotaip yang boleh menjejaskan hubungan antara kaum dengan menekan nilai-nilai positif. 

Prinsip seterusnya bidang pendidikan juga memainkan peranan yang sangat penting dalam membentuk kesedaran kebangsaan. Sistem pendidikan yang menekankan nilai perpaduan, sejarah bersama dan tanggungjawab sebagai warga negara dapat membantu membentuk generasi yang memiliki identiti kebangsaan yang kuat serta dapat memahami sejarah negara ini.

Cabaran Pembinaan Bangsa

Walaupun konsep kepelbagaian dalam bingkai kesatuan merupakan suatu pandangan yang penting, pelaksanaannya tidak terlepas daripada pelbagai cabaran. Antara cabaran utama ialah kewujudan sentimen perkauman yang masih wujud dalam masyarakat. Sentimen ini sering dimanipulasi dalam arena politik sehingga boleh menimbulkan perpecahan dalam masyarakat.

Selain itu, jurang ekonomi antara kelompok masyarakat juga boleh menimbulkan ketegangan sosial. Ketidakseimbangan dalam pengagihan sumber dan peluang pembangunan boleh menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan kelompok tertentu.

Pengaruh globalisasi juga merupakan cabaran yang tidak boleh diabaikan. Globalisasi membawa masuk pelbagai nilai dan budaya luar yang boleh mempengaruhi identiti nasional. Tanpa pengurusan yang bijaksana, proses ini boleh melemahkan semangat kebangsaan dalam kalangan generasi muda.

Kesimpulan

Secara keseluruhannya, konsep pembinaan bangsa yang dihuraikan oleh almarhum Prof Dato’ Dr Siddiq Fadzil menekankan  perpaduan dalam masyarakat plural tidak boleh dicapai melalui pendekatan keseragaman. Sebaliknya, perpaduan perlu dibina melalui pengiktirafan terhadap kepelbagaian serta pembentukan suatu kerangka kesatuan yang berasaskan nilai keadilan, toleransi dan tanggungjawab bersama.

Dalam konteks negara seperti Malaysia, pendekatan ini amat relevan kerana kepelbagaian etnik dan budaya merupakan ciri utama masyarakatnya. Oleh itu, pembinaan bangsa harus dilihat sebagai suatu proses berterusan yang memerlukan komitmen daripada semua pihak, termasuk kerajaan, institusi pendidikan dan masyarakat sivil.

Akhirnya, kekuatan sesebuah negara tidak terletak pada keseragaman masyarakatnya, tetapi pada keupayaan untuk mengurus kepelbagaian secara harmoni dalam satu bingkai kesatuan yang kukuh.

Milus Hj Abd Wahab

Tuesday, November 18, 2025

PILIHANRAYA NEGERI SABAH KE-17 ANTARA PESTA PERAYAAN DAN TUNTUTAN PERUBAHAN





Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 kembali mewarnai gelanggang politik negeri seperti sebuah pesta perayaan penuh sorakan, perhimpunan besar, hiburan, warna-warni bendera serta gegak-gempita suara kempen. Di setiap daerah, dari pedalaman hingga ke bandar pesisir, suasananya seakan karnival sosial yang menghimpunkan masyarakat pelbagai latar, budaya dan generasi.

Namun di sebalik kemeriahan itu, persoalan lebih mendalam muncul: adakah pilihanraya ini sekadar pesta lima tahun sekali, atau platform memilih parti yang benar-benar mampu membawa perubahan kepada Sabah?

Pilihanraya sebagai pesta budaya politik yang diwarisi

Sabah sememangnya terkenal dengan budaya politik yang meriah. Ceramah politik menjadi seperti persembahan, bendera umpama dekorasi festival, dan kehadiran pemimpin besar menjadi acara yang ditunggu-tunggu. Bagi sebahagian rakyat, pilihanraya adalah ruang bersosial, berjumpa pemimpin, menikmati hiburan, bahkan menerima pelbagai bentuk rangsangan politik. Politik menjadi sebuah ritual budaya, bukan sekadar proses demokrasi.

Tetapi apabila politik diperlakukan sebagai perayaan, risiko yang muncul ialah wujudnya kecenderungan untuk melihat calon sebagai selebriti, bukan pentadbir, menilai parti berdasarkan persepsi, bukan rekod, Dan memilih kerana emosi, bukan keperluan pembangunan.

Realiti Sabah negeri kaya, rakyat masih menanti pembaharuan

Walaupun pesta pilihanraya mengujakan, realiti Sabah tidak boleh disapu bawah karpet.
Masih banyak isu yang membelenggu negeri ini dan antaranya adalah  ekonomi yang tidak setara antara bandar dan luar bandar, kebergantungan tinggi kepada hasil federal, infrastruktur asas yang belum tuntas, peluang pekerjaan anak muda yang terhad, isu tanah, kos sara hidup, dan ketidaktentuan politik yang semakin bercelaru serta tidak terarah sepenuhnya.

Rakyat Sabah wajar bertanya, jika setiap pilihanraya disambut seperti pesta, tetapi keadaan masih sama dan persoalannya “di mana silapnya?” soalan ini wajar dijawab secara tuntas dan bermakna agar undi yang dilakukan menepati tuntutan sebenar pilihanraya tersebut.
 
Pilihan kali ini perlu menjadi keputusan berasaskan masa depan

PRN ke-17 bukan sekadar pertandingan slogan atau kekuatan jentera atau siapa yang banyak bendera. Namun, sepatutnya menjadi detik rakyat menilai siapa yang mampu membawa perubahan sebenar, bukan sekadar menceriakan suasana kempen. Rakyat perlu melihat pertama rekod prestasi parti dalam menunaikan janji, kedua keupayaan calon sebagai pemimpin yang berintegriti, ketiga agenda pembangunan yang realistik, bukan retorik, keempat hubungan negeri dan persekutuan serta manfaatnya kepada Sabah Dan yang kelima adalah keupayaan membawa kestabilan politik jangka panjang.

Pilihan raya bukan hanya memilih siapa paling lantang bersuara, tetapi siapa paling berkemampuan mengurus dan mentadbir dengan lebih baik serta berkesan. 
 
Dari pesta ke perubahan menuju politik matang Sabah

Tidak salah menikmati kemeriahan pilihanraya, kerana itu sebahagian daripada budaya demokrasi yang subur dan memilih pemimpin serta parti yang mampu menggalas tanggungjawab kepada rakyat, tetapi pesta tidak boleh mengaburi tanggungjawab rakyat untuk memilih pemimpin yang mampu memulihkan dan mengangkat ekonomi negeri ini serta memperluaskan pembangunan, mampu menjaga kebajikan rakyat tanpa gagal dan Memastikan suara Sabah dihormati dalam persekutuan.

Sabah tidak memerlukan pesta yang berpanjangan yang mempamirkan seolah-olah pesta hiburan yang hanya menonjolkan watak-watak hipokrit yang akan hanya muncul lima tahun sekali dan selepas itu menghilangkan diri. Masalah ini yang seharusnya difikirkan oleh rakyat Sabah untuk memilih pemimpin yang sentiasa peduli kepada masalah rakyat. Sabah memerlukan kepimpinan yang bekerja selepas pentas, lampu dan lagu kempen berakhir.

Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 adalah cermin kepada kematangan rakyatnya. Sama ada ia kekal sebagai pesta meriah atau berubah menjadi platform memilih masa depan, keputusan itu berada di tangan rakyat sendiri. Apa yang rakyat mahu ialah pada akhirnya, perkara paling penting bukanlah warna bendera yang berkibar, tetapi arahan hati rakyat yang benar-benar mahukan perubahan demi masa depan Sabah yang lebih makmur, stabil dan bermaruah. Pilih pemimpin jangan salah memilih dengan memilih artis pemimpin iaitu pemimpin yang mahu kelihatan sebagai artis atau selebriti. 

MHAW

Tuesday, November 11, 2025

KEPUTUSAN KABINET TIDAK MERAYU 40% HASIL CUKAI SABAH: SATU LANGKAH KEADILAN UNTUK SABAH


Keputusan terkini Kerajaan Persekutuan untuk tidak mengemukakan rayuan terhadap keputusan mahkamah berhubung tuntutan 40 peratus hasil cukai negeri Sabah merupakan satu titik perubahan besar dalam sejarah hubungan antara negeri dan Persekutuan Malaysia. Langkah ini bukan sekadar keputusan perundangan, tetapi manifestasi kepada semangat keadilan, federalisme sejati dan penghormatan terhadap hak-hak negeri sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan serta Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Isu 40 peratus hasil cukai Sabah berpunca daripada Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan, yang memperuntukkan bahawa negeri Sabah berhak menerima semula sehingga 40 peratus daripada hasil bersih yang dikutip oleh Kerajaan Persekutuan di negeri itu. Namun, sejak beberapa dekad lalu, pelaksanaan peruntukan ini sering tertangguh dan menjadi bahan rundingan antara kerajaan negeri dan pusat. Kelewatan serta ketidakjelasan dalam pelaksanaan hak ini telah menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan rakyat Sabah yang merasakan hasil negeri tidak kembali kepada pembangunan tempatan dengan sewajarnya.

Selepas proses undang-undang yang panjang, mahkamah akhirnya memutuskan bahawa hak 40 peratus tersebut adalah sah dan perlu dihormati. Namun, timbul persoalan sama ada Kerajaan Persekutuan akan merayu keputusan tersebut. Dalam mesyuarat kabinet terkini, kerajaan memutuskan untuk tidak merayu pokok keputusan itu — satu langkah berani yang disambut baik oleh rakyat Sabah serta pemerhati politik di seluruh negara.

Bermakna keputusan kabinet untuk tidak merayu membawa makna yang mendalam dari sudut politik, ekonomi dan hubungan antara kerajaan. Dari sudut politik, keputusan ini menggambarkan komitmen Perdana Menteri dan pentadbiran Madani untuk menghormati autonomi negeri Sabah serta menunaikan janji-janji reformasi institusi. Ia menjadi simbol bahawa era politik berasaskan dominasi pusat semakin beralih kepada politik kerjasama, konsultasi dan pengiktirafan hak negeri dalam semangat Malaysia Madani.

Dari sudut ekonomi, keputusan ini membuka lembaran baharu terhadap pembangunan mampan di Sabah. Pemulangan hasil cukai sebanyak 40 peratus mampu meningkatkan kemampuan fiskal kerajaan negeri untuk melaksanakan projek infrastruktur asas seperti jalan luar bandar, pendidikan, kesihatan, serta bekalan air dan elektrik. Sabah yang selama ini menjadi penyumbang utama hasil petroleum, kelapa sawit dan sumber asli negara akhirnya berpeluang menikmati pulangan ekonomi yang lebih adil.

Sementara itu, dari sudut perundangan dan perlembagaan, keputusan ini menzahirkan penghormatan kerajaan terhadap institusi kehakiman. Dengan tidak merayu keputusan mahkamah, kerajaan memperlihatkan bahawa proses undang-undang dihormati sepenuhnya, sekali gus memperkukuh kepercayaan rakyat terhadap sistem pentadbiran negara.

Walaupun keputusan untuk tidak merayu merupakan kemenangan moral bagi Sabah, pelaksanaan hak tersebut memerlukan pendekatan yang teliti dan berstruktur. Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kewangan dijangka akan mengadakan rundingan rasmi dengan Kerajaan Negeri Sabah bagi menentukan mekanisme pelaksanaan, jumlah sebenar, serta tempoh pembayaran. Pendekatan berasaskan rundingan ini menunjukkan bahawa kedua-dua pihak berusaha mencari jalan penyelesaian yang adil, berperlembagaan dan mampan.

Kerajaan juga telah memberi jaminan bahawa pelaksanaan tuntutan ini akan dilaksanakan secara berperingkat dan berpandukan kemampuan fiskal negara, supaya tidak menjejaskan kestabilan ekonomi Persekutuan. Dalam masa yang sama, rakyat Sabah mengharapkan agar dana yang diterima nanti digunakan secara telus dan berfokus kepada pembangunan rakyat luar bandar, pendidikan, kesihatan dan kemudahan asas.

Apa yang jelas keputusan ini akan menjadi penanda aras baharu hubungan federalisme di Malaysia. Sabah kini dilihat bukan lagi sebagai penerima dasar, tetapi sebagai rakan setara dalam struktur negara bangsa. Keputusan tidak merayu ini memperkukuh semangat MA63 dan membuka ruang bagi negeri Sarawak menuntut keadilan yang sama. Dalam jangka panjang, langkah ini boleh memperkukuh perpaduan nasional, kerana ia membuktikan bahawa kerajaan Persekutuan bersedia untuk mendengar suara rakyat di wilayah Borneo.

Pada keseluruhannya, keputusan kabinet untuk tidak merayu terhadap tuntutan 40 peratus hasil cukai Sabah bukan sekadar keputusan pentadbiran, tetapi satu pengiktirafan terhadap hak, maruah dan suara rakyat Sabah. Ia menandakan kematangan politik negara dalam menguruskan perbezaan wilayah secara adil dan inklusif. Dalam semangat Malaysia Madani, keputusan ini menjadi lambang kepada keadilan distributif dan pengukuhan semula kontrak sosial antara Sabah dan Persekutuan.

Sabah akhirnya berdiri bukan sekadar sebagai negeri dalam Persekutuan, tetapi sebagai rakan pembangunan yang dihormati, selaras dengan semangat asal pembentukan Malaysia pada tahun 1963.
I
Milus Hj Abd Wahab

KONSEP MASYARAKAT MADANI



Dalam era pasca moden ini, pembangunan sesebuah negara tidak lagi diukur semata-mata melalui kemajuan infrastruktur, teknologi, atau ekonomi, tetapi juga melalui kualiti pembangunan insan yang menjadi tunjang kepada kesejahteraan masyarakat. Konsep Masyarakat Madani yang diketengahkan oleh kepimpinan negara menekankan keseimbangan antara kemajuan material dan pembentukan sahsiah manusia berasaskan nilai moral, etika, dan spiritual.

Pembangunan insan dalam konteks Malaysia Madani bukan hanya bermaksud melahirkan individu berpendidikan tinggi, tetapi juga membina manusia yang berjiwa merdeka, berakhlak mulia, serta memiliki kesedaran sosial dan tanggungjawab terhadap negara dan sesama insan. Ia merupakan usaha menyeluruh yang melibatkan pendidikan, pengukuhan nilai agama, pembinaan keluarga sejahtera, serta pembudayaan ilmu dan kesenian yang mencerminkan identiti bangsa.

Kerajaan melalui pelbagai dasar seperti Rangka Tindakan Malaysia Madani, Pelan Pembangunan Pendidikan, dan Dasar Belia Negara, memberi tumpuan kepada melahirkan rakyat yang seimbang dari aspek jasmani, emosi, rohani, dan intelek. Pendidikan menjadi wahana utama dalam memupuk nilai integriti, toleransi, dan semangat perpaduan yang menjadi asas kepada masyarakat madani yang harmoni dan inklusif.

Selain itu, pembangunan insan juga menuntut kerjasama aktif antara kerajaan, masyarakat sivil, institusi agama, dan sektor swasta. Masyarakat madani yang matang lahir daripada ekosistem sosial yang saling memperkukuh, di mana nilai keinsanan, keadilan, dan kasih sayang menjadi asas kepada setiap tindakan dan keputusan.

Dalam konteks Malaysia yang berbilang kaum, agama, dan budaya, pembangunan insan berteraskan nilai madani turut menjadi alat penyatu yang mengangkat semangat “Rahmah, Keadilan, dan Ihsan”. Ia memastikan setiap lapisan masyarakat mendapat ruang dan peluang yang adil untuk berkembang, menyumbang, dan menikmati hasil pembangunan negara.

Akhirnya, pembangunan insan masyarakat madani bukan sekadar matlamat, tetapi perjalanan berterusan untuk membina sebuah bangsa yang berilmu, berakhlak, berdaya tahan, serta berperanan sebagai khalifah di muka bumi ini. Hanya dengan insan yang berkualiti dan berpaksikan nilai kemanusiaan sejati, cita-cita Malaysia Madani dapat direalisasikan sepenuhnya — menuju negara sejahtera, makmur, dan berperadaban tinggi.

MHAW

Saturday, November 1, 2025

SOKONGAN RAKYAT SABAH KEPADA PMX

Kepimpinan YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Malaysia telah menandakan satu era baharu dalam landskap politik nasional, termasuk di negeri Sabah yang kaya dengan kepelbagaian etnik, budaya dan agama. Secara umum, rakyat Sabah menunjukkan kecenderungan sokongan yang stabil dan positif terhadap kepimpinan beliau, terutamanya dalam konteks pelaksanaan dasar Malaysia Madani yang bersifat inklusif, adil dan berpaksikan nilai kemanusiaan sejagat.

Pendekatan kepimpinan Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang menekankan perpaduan nasional dan reformasi pentadbiran memberi kesan langsung terhadap persepsi rakyat Sabah. Konsep Malaysia Madani, yang berasaskan prinsip keadilan sosial, keberdayaan ekonomi dan kesejahteraan rakyat, dilihat amat relevan dengan keperluan masyarakat Sabah yang masih berdepan dengan cabaran pembangunan tidak seimbang. Melalui dasar Madani, rakyat Sabah menaruh keyakinan bahawa agenda pembaharuan yang dibawa oleh kerajaan persekutuan dapat mengurangkan jurang pembangunan antara Sabah dan Semenanjung, khususnya dalam bidang infrastruktur, pendidikan, serta kesejahteraan sosial luar bandar.

Selain itu, komitmen kerajaan persekutuan di bawah pimpinan beliau terhadap pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) menjadi faktor utama yang memperkukuh sokongan rakyat Sabah. Usaha berterusan untuk mengembalikan hak-hak negeri dalam bidang pentadbiran, hasil dan sumber asli menggambarkan keikhlasan politik serta pengiktirafan terhadap autonomi Sabah sebagai rakan pembentuk Malaysia. Langkah konkrit seperti penyerahan kuasa pengurusan gas dan hasil cukai tertentu kepada kerajaan negeri memperlihatkan pendekatan yang pragmatik serta selari dengan tuntutan rakyat Sabah sejak sekian lama.

Hubungan harmoni antara Kerajaan Perpaduan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah yang diterajui oleh Gabungan Rakyat Sabah (GRS) turut mengukuhkan imej kepimpinan Perdana Menteri sebagai seorang yang mengutamakan kestabilan politik dan konsensus nasional. Kesepakatan ini memberi keyakinan kepada rakyat bahawa Sabah kini memperoleh ruang rundingan yang lebih besar dalam menentukan arah pembangunan negeri.

Namun demikian, tidak dapat dinafikan bahawa masih wujud cabaran dan kritikan terhadap pelaksanaan dasar-dasar pembangunan di Sabah. Isu-isu seperti kelewatan projek infrastruktur utama, kadar kemiskinan yang masih tinggi di kawasan pedalaman, serta kos sara hidup yang meningkat menjadi faktor yang mencabar keutuhan sokongan rakyat. Walau bagaimanapun, kritikan ini dilihat lebih bersifat konstruktif dan mencerminkan harapan rakyat agar kerajaan mempercepatkan tindakan dalam aspek pelaksanaan dasar yang telah dirancang.

Dari sudut demografi, sokongan terhadap kepimpinan YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim turut menunjukkan variasi mengikut lapisan masyarakat. Golongan belia Sabah menilai dasar pendidikan dan latihan teknikal (TVET) yang diperkenalkan kerajaan Madani sebagai peluang untuk memperkukuh mobiliti sosial dan pekerjaan. Sementara itu, masyarakat luar bandar dan pesisir pantai menghargai bantuan bersasar dan inisiatif ekonomi yang memberi impak langsung kepada kesejahteraan mereka. Dalam kalangan penjawat awam dan golongan profesional pula, kepimpinan Anwar Ibrahim dihormati kerana ketegasan beliau dalam menegakkan prinsip integriti, tatakelola baik dan reformasi institusi.

Secara keseluruhannya, dapat disimpulkan bahawa sokongan rakyat Sabah terhadap YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim bersifat positif, pragmatik dan berasaskan kepercayaan terhadap komitmen beliau untuk membawa perubahan yang ad il dan inklusif. Walaupun cabaran pelaksanaan dasar masih wujud, rakyat Sabah menilai beliau sebagai seorang pemimpin yang memahami aspirasi Borneo serta menghormati identiti negeri ini dalam kerangka Malaysia yang lebih menyeluruh.

Kepimpinan Anwar Ibrahim dilihat bukan sekadar meneruskan legasi politik nasional, tetapi membina naratif baharu Malaysia yang menitikberatkan keseimbangan wilayah, perpaduan rakyat dan keadilan sosial. Dalam konteks ini, Sabah menjadi cerminan kepada kejayaan gagasan Madani yang berupaya mengharmonikan pembangunan material dan nilai kemanusiaan dalam sebuah negara bangsa yang majmuk dan berdaya tahan. 

MHAW

Tuesday, October 28, 2025

TAHNIAH RAKYAT SABAH KEPADA YAB DATO’ SERI ANWAR IBRAHIM ATAS KEJAYAAN MEMIMPIN SIDANG KEMUNCAK ASEAN 2025

Seluruh rakyat Sabah menzahirkan ucapan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia, atas kejayaan beliau mempengerusikan Sidang Kemuncak ASEAN 2025 dengan penuh wibawa, kebijaksanaan dan kepimpinan berwawasan di pentas antarabangsa.

Kejayaan Malaysia sebagai tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN kali ke-42 ini bukan sahaja membuktikan keupayaan negara dalam memacu diplomasi serantau, malah memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai peneraju utama agenda perpadu an dan pembangunan inklusif ASEAN. Di bawah kepimpinan Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Malaysia telah menampilkan pendekatan diplomasi “ASEAN Berjiwa Rakyat” yang menekankan nilai keadilan sosial, kestabilan ekonomi, serta kesejahteraan sejagat.

Rakyat Sabah turut berbangga dengan penegasan Perdana Menteri terhadap kepentingan wilayah Borneo sebagai nadi pembangunan serantau, terutamanya dalam konteks ASEAN Green Economy, Connectivity Borneo, dan keselamatan maritim di Laut Sulu dan Laut China Selatan. Pendekatan ini membuktikan bahawa suara Sabah dan Sarawak semakin diangkat dalam agenda kebangsaan dan serantau.

Menurut pandangan ramai pemerhati politik dan ekonomi di Sabah, kejayaan Malaysia di bawah pimpinan Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam memimpin ASEAN menjadi simbol kebangkitan semula diplomasi Malaysia sebagai kuasa sederhana yang dihormati, di samping memperkukuh semangat Madani yang menekankan nilai kemanusiaan, kesejahteraan dan tanggungjawab bersama.

Ketika dunia berdepan cabaran geopolitik, perubahan iklim dan ketidakseimbangan ekonomi, Perdana Menteri berjaya membawa mesej kesatuan dan solidariti ASEAN, yang selari dengan aspirasi Malaysia untuk membentuk rantau yang aman, makmur dan sejahtera untuk semua.

Rakyat Sabah khususnya menyambut baik penekanan Perdana Menteri terhadap pembangunan lestari di kawasan luar bandar, peningkatan jaringan infrastruktur antara pulau-pulau di timur Sabah, serta pengukuhan pelan pelaburan hijau di bawah kerjasama ASEAN Green Framework. Langkah ini membuka peluang besar kepada Sabah untuk menjadi pusat pertumbuhan baharu dalam sektor tenaga boleh diperbaharui, pelancongan alam semula jadi dan perdagangan sempadan.

Dengan kejayaan ini, rakyat Sabah yakin bahawa kepimpinan Dato’ Seri Anwar Ibrahim akan terus membawa Malaysia ke tahap yang lebih tinggi dalam arena antarabangsa, di samping memastikan manfaat pembangunan turut dirasai oleh semua lapisan masyarakat, termasuk di negeri-negeri Borneo.

Akhir kata, seluruh rakyat Sabah menzahirkan rasa bangga, kagum dan terima kasih atas kepimpinan yang berwibawa dan berprinsip tinggi yang telah dipamerkan oleh Perdana Menteri. Semoga Malaysia terus menjadi contoh negara Madani yang dihormati di pentas dunia — memimpin dengan hikmah, mempersatukan dengan nilai, dan memakmurkan dengan keadilan.

#SabahMajuBersamaMadani
#ASEAN2025
#MalaysiaDiPentasDunia

Milus Hj Abd Wahab
Naib Ketua Cabang
PKR Cabang Kota Belud

Monday, October 27, 2025

PELAKSANAAN MADANI DALAM KONTEKS KOMUNITI LUAR BANDAR SABAH

Konsep Malaysia Madani yang diperkenalkan oleh kerajaan Persekutuan bukan sekadar slogan politik, tetapi satu kerangka pembangunan yang menekankan keseimbangan antara kemajuan material dengan nilai-nilai moral, kemanusiaan, dan kebersamaan sosial. Dalam konteks negeri Sabah, gagasan ini membawa makna yang amat mendalam kerana negeri ini kaya dengan kepelbagaian budaya, mempunyai potensi sumber semula jadi yang luas, namun masih berdepan cabaran kemiskinan dan kekurangan infrastruktur asas, khususnya di kawasan luar bandar. Oleh itu, pelaksanaan Madani di Sabah perlu diolah secara praktikal dan berpaksikan realiti tempatan.

1. Pemerkasaan Ekonomi dan Pengurangan Kemiskinan

Madani menekankan pembangunan inklusif yang memastikan tiada komuniti tercicir daripada arus kemajuan. Di Sabah, khususnya di luar bandar, ekonomi rakyat masih banyak bergantung kepada pertanian tradisional, perikanan kecil dan kraftangan. Oleh itu, strategi Madani perlu memberi tumpuan kepada pengukuhan ekonomi mikro melalui skim pembiayaan mudah seperti mikro kredit dan koperasi Madani. Inisiatif ini mampu membantu pekebun kecil, nelayan dan ibu tunggal memulakan perniagaan kecil atau menambah baik pengeluaran hasil mereka.

Selain itu, konsep Agro-Madani boleh diperluas dengan memanfaatkan tanah terbiar untuk tanaman bernilai tinggi serta memperkenalkan teknologi moden dalam pertanian. Pendekatan ini bukan sahaja meningkatkan hasil, malah menanam semangat berdikari dan tanggungjawab sosial dalam kalangan masyarakat desa.

2. Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan

Aspek pendidikan merupakan tunjang kepada pembangunan Madani. Di banyak kawasan pedalaman Sabah, masih wujud cabaran sekolah daif, kekurangan guru dan capaian internet yang lemah. Justeru, pelaksanaan Madani perlu membawa pendekatan inovatif seperti Sekolah Madani Bergerak, iaitu bas atau van yang dilengkapi kemudahan pembelajaran digital untuk mendekati pelajar luar bandar. Program TVET Desa pula boleh memperkukuh kemahiran anak muda dalam bidang teknikal, pembinaan, pertanian moden dan pemasaran digital agar mereka mampu menjadi tenaga kerja berkemahiran tinggi tanpa perlu berhijrah ke bandar.

3. Peningkatan Infrastruktur dan Akses Asas

Keadilan sosial yang ditekankan dalam Madani tidak akan tercapai tanpa penyediaan infrastruktur asas yang mencukupi. Ramai penduduk luar bandar di Sabah masih bergantung kepada sumber air graviti dan bekalan elektrik tidak stabil. Oleh itu, pelaksanaan projek berskala kecil seperti sistem solar hibrid dan gravity water feed amat penting bagi memastikan rakyat mendapat hak asas mereka. Dalam era digital, akses internet turut menjadi keperluan asas. Melalui program Internet Madani, liputan jalur lebar komuniti harus diperkukuh agar rakyat desa tidak terus ketinggalan dalam dunia teknologi dan komunikasi moden.

4. Kesihatan dan Kesejahteraan Sosial

Kesejahteraan masyarakat luar bandar juga perlu diberi perhatian melalui penyediaan Klinik Bergerak Madani yang beroperasi secara berkala di kawasan pedalaman. Ia boleh menyediakan rawatan asas, pemeriksaan kesihatan ibu mengandung dan warga emas serta memberi pendidikan kesihatan awam kepada penduduk. Dalam masa yang sama, program kebajikan seperti Kasih Madani perlu dilaksanakan dengan pendekatan tempatan, melibatkan institusi masjid, gereja, dan NGO tempatan supaya bantuan sampai terus kepada golongan memerlukan tanpa birokrasi yang panjang.

5. Kepimpinan Komuniti dan Pemerkasaan Budaya

Masyarakat luar bandar Sabah kaya dengan nilai budaya dan semangat gotong-royong yang tinggi. Konsep Madani amat selaras dengan nilai mitatabang (tolong-menolong), sogit (penyelesaian damai), dan amalan harmoni antara etnik yang telah lama menjadi teras kehidupan masyarakat Sabah. Melalui Program Kepimpinan Belia Desa, anak muda boleh digerakkan sebagai pemimpin komuniti yang membawa semangat Madani — berintegriti, berdedikasi, dan berkhidmat kepada masyarakat. Dalam masa sama, budaya tempatan seperti gong, kulintangan, dan tarian sumazau boleh dijadikan sebahagian daripada aktiviti Warisan Madani yang memperkukuh identiti rakyat Sabah di peringkat nasional.

6. Tadbir Urus dan Ketelusan

Pelaksanaan Madani memerlukan kejujuran dan integriti. Penubuhan Dana Desa Madani boleh menjadi mekanisme yang baik jika disalurkan terus kepada komuniti melalui Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dengan syarat pelaporan kewangan yang telus dan mudah. Teknologi digital boleh digunakan untuk memantau projek dan perbelanjaan, bagi memastikan setiap sen yang dibelanjakan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat.

Kesimpulan

Secara keseluruhannya, pelaksanaan Madani dalam konteks luar bandar Sabah harus menumpukan kepada tiga prinsip utama: keberdayaan rakyat, keadilan sosial, dan penghormatan terhadap budaya tempatan. Gagasan ini hanya akan berjaya jika ia diterjemahkan dalam bentuk tindakan nyata – membina jalan yang menghubungkan sekolah ke kampung, menyediakan air bersih, meluaskan capaian internet, memperkukuh ekonomi desa, serta menanam nilai kemanusiaan dan tanggungjawab bersama.

Dengan pendekatan yang berasaskan komuniti, Madani Sabah mampu menjadi model pembangunan seimbang yang bukan sahaja memajukan ekonomi, tetapi juga membina jiwa masyarakat yang berakhlak, bersatu dan berdaya saing.

MHAW

Friday, October 24, 2025

PERBANDINGAN ANTARA POLITIK PEMBANGUNAN DAN POLITIK SENTIMEN


Dalam konteks politik Malaysia yang dinamik, dua pendekatan utama sering menjadi asas kepada strategi dan orientasi parti politik, iaitu politik pembangunan dan politik sentimen. Kedua-dua pendekatan ini mempunyai kekuatan dan kelemahan tersendiri serta memberikan impak yang besar terhadap kestabilan politik, kemajuan sosioekonomi, dan perpaduan rakyat. Oleh itu, adalah penting untuk menilai kedua-duanya secara kritikal bagi memahami corak politik semasa serta menentukan hala tuju kepimpinan masa hadapan yang lebih seimbang dan berkesan.

Politik pembangunan merujuk kepada pendekatan politik yang berasaskan kepada pelaksanaan dasar dan projek bagi meningkatkan taraf hidup rakyat. Fokus utama politik pembangunan ialah kepada hasil yang nyata seperti kemudahan infrastruktur, peluang pekerjaan, peningkatan pendidikan serta kesejahteraan sosial. Pendekatan ini memberikan kesan positif terhadap keseimbangan pembangunan negara kerana ia menumpukan kepada penciptaan nilai ekonomi dan peningkatan kualiti hidup rakyat. Melalui pelaksanaan projek seperti Lebuhraya Pan Borneo di Sabah, pembangunan kawasan luar bandar, dan program TVET Madani, rakyat dapat menikmati manfaat secara langsung hasil daripada perancangan dasar kerajaan.

Kebaikan utama politik pembangunan ialah ia menonjolkan kepimpinan yang berorientasikan prestasi dan keberkesanan. Pemimpin dinilai berdasarkan keupayaan mereka melaksanakan program pembangunan yang membawa impak kepada rakyat. Pendekatan ini juga mampu menarik pelaburan, mewujudkan peluang pekerjaan, serta meningkatkan produktiviti ekonomi. Selain itu, politik pembangunan cenderung untuk memupuk perpaduan nasional kerana ia memberi tumpuan kepada manfaat bersama tanpa mengira perbezaan kaum, agama atau ideologi politik.

Namun begitu, politik pembangunan tidak terlepas daripada kelemahan. Antaranya ialah ketidakseimbangan dalam pelaksanaan projek yang sering tertumpu di kawasan tertentu sahaja, menyebabkan jurang pembangunan antara wilayah. Dalam beberapa keadaan, politik pembangunan juga disalahgunakan sebagai alat patronage politik, di mana pembangunan hanya diberikan kepada kawasan yang menyokong parti pemerintah. Selain itu, pendekatan ini kadang-kala terlalu teknokratik dan kurang mengambil kira aspek emosi, budaya dan jati diri rakyat tempatan. Akibatnya, rakyat mungkin merasa terpinggir atau tidak diwakili sepenuhnya dalam arus pembangunan nasional.

Sebaliknya, politik sentimen pula berasaskan kepada emosi, identiti dan isu-isu yang menyentuh sensitiviti masyarakat seperti agama, kaum, atau wilayah. Pendekatan ini mudah menarik perhatian rakyat kerana ia bersifat spontan dan dekat dengan emosi. Dalam konteks tertentu, politik sentimen mampu membangkitkan kesedaran terhadap isu ketidakadilan sosial dan memperjuangkan maruah serta hak kelompok tertentu, contohnya perjuangan menuntut autonomi negeri Sabah atau pelaksanaan hak 20 Perkara dalam Perjanjian Malaysia 1963.

Walau bagaimanapun, politik sentimen membawa risiko yang besar terhadap kestabilan dan perpaduan masyarakat. Apabila emosi dijadikan asas kepada tindakan politik, keputusan yang dibuat sering kali tidak berpaksikan fakta atau pertimbangan rasional. Ini boleh mengakibatkan polarisasi antara kaum, agama, dan wilayah. Lebih membimbangkan lagi, politik sentimen mudah dimanipulasi oleh pihak tertentu bagi meraih sokongan jangka pendek tanpa mengambil kira kepentingan negara secara keseluruhan. Akhirnya, pendekatan sebegini boleh melemahkan pelaksanaan dasar pembangunan dan menggugat kepercayaan rakyat terhadap institusi politik.

Secara keseluruhannya, politik pembangunan dan politik sentimen masing-masing mempunyai fungsi dan peranan tersendiri dalam sistem demokrasi. Politik pembangunan menyediakan asas kemajuan yang kukuh dan mampan, manakala politik sentimen boleh menjadi mekanisme untuk menyuarakan aspirasi rakyat yang mungkin terpinggir. Namun demikian, bagi mencapai keseimbangan politik yang matang, pemimpin perlu menggabungkan kedua-dua pendekatan ini dengan bijaksana — membangunkan dasar yang berorientasikan hasil tetapi dalam masa yang sama memahami denyut nadi serta sentimen masyarakat.

Kesimpulannya, masa depan politik Malaysia, khususnya di Sabah, bergantung kepada keupayaan kepimpinan untuk mempraktikkan politik pembangunan yang berjiwa rakyat. Ini bermakna pembangunan tidak hanya diukur melalui projek dan angka, tetapi juga melalui keadilan sosial, kepekaan terhadap identiti tempatan, dan keikhlasan dalam mengurus kepercayaan rakyat. Hanya dengan keseimbangan antara pembangunan rasional dan empati sosial, negara akan mampu melangkah ke hadapan dengan penuh kematangan politik dan kesejahteraan bersama.

MHAW

Sunday, May 25, 2025

PEMILIHAN NURUL IZZAH: ANTARA REALITI DEMOKRASI DAN TUDUHAN NEPOTISME


Pemilihan Nurul Izzah sebagai Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) telah menimbulkan pelbagai reaksi, termasuk dakwaan kronisme dan nepotisme. Namun begitu, tuduhan sedemikian wajar diperhalusi secara objektif berdasarkan fakta dan proses yang berlaku dalam pemilihan tersebut. Artikel ini bertujuan membela keabsahan pemilihan Nurul Izzah dan menolak tohmahan yang tidak berasas.

1.0 `Proses Pemilihan yang Demokratik dan Telus`

a. Pertandingan Terbuka dan Bukan Pelantikan

Nurul Izzah tidak dilantik oleh bapanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebaliknya bertanding dalam pemilihan parti secara terbuka. Jawatan Timbalan Presiden PKR dipertandingkan dalam suasana yang kompetitif, terbuka kepada semua calon yang layak.

b. Keputusan Berdasarkan Undi Akar Umbi

Lebih 30,000 ahli PKR di seluruh negara telah mengambil bahagian dalam proses pengundian. Kemenangan Nurul Izzah adalah hasil pilihan demokratik oleh ahli parti, bukan hasil pengaruh keluarga atau pelantikan langsung. PKR juga menegaskan bahawa keputusan ini telah melalui audit luar yang mengesahkan ketelusan proses pemilihan.

2.0 `Kelayakan dan Reputasi Nurul Izzah`

a. Pengalaman Politik yang Luas

Nurul Izzah bukanlah nama baharu dalam arena politik. Beliau pernah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Lembah Pantai (2008–2018) dan Permatang Pauh (2018–2022), serta telah memegang jawatan Naib Presiden PKR selama beberapa penggal.

b. Integriti dan Kepimpinan

Beliau dikenali dengan integriti yang tinggi serta ketegasan dalam memperjuangkan prinsip reformasi. Kepimpinan beliau turut mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa, menjadikannya calon yang layak dan berwibawa untuk jawatan Timbalan Presiden.

3.0 `Memahami Istilah Kronisme dan Nepotisme`

a. Nepotisme

Nepotisme merujuk kepada pemberian jawatan kepada ahli keluarga tanpa mengambil kira kelayakan. Dalam kes ini, Nurul Izzah tidak dilantik secara terus oleh Anwar Ibrahim, sebaliknya memenangi jawatan melalui pertandingan yang sah dan demokratik.

b. Kronisme

Kronisme pula merujuk kepada pemberian keistimewaan kepada rakan atau sekutu rapat tanpa merit. Pemilihan dalam PKR tidak mengikut prinsip ini kerana ia terbuka kepada semua dan diputuskan oleh undi ahli parti, bukan oleh kelompok elit.

4.0 `Penjelasan Kepimpinan PKR`

Datuk Seri Anwar Ibrahim secara terbuka menolak dakwaan nepotisme, menyatakan bahawa "tiada cai" dalam pemilihan kali ini dan semua pihak kini bersatu dalam satu pasukan.

Manakala, Fahmi Fadzil menyifatkan tuduhan nepotisme terhadap Nurul Izzah sebagai "label malas dan lemah", menegaskan bahawa kejayaan beliau adalah kerana keupayaan dan rekod prestasi sendiri, bukan atas nama keluarga.

`Kesimpulan`

Pemilihan Nurul Izzah sebagai Timbalan Presiden PKR adalah manifestasi sistem demokrasi dalaman parti yang sihat dan matang. Beliau bukan sahaja terpilih melalui proses yang sah dan telus, malah membawa bersama kelayakan, pengalaman, dan integriti yang tidak dapat disangkal. Oleh itu, dakwaan kronisme dan nepotisme terhadap beliau adalah tidak berasas dan harus ditolak secara rasional serta adil.

Oleh Dr Ismail

Saturday, February 10, 2024

SETAHUN PELAKSANAAN MALAYSIA MADANI : CABARAN DAN HARAPAN

Oleh Ismail Yusop
Timbalan Ketua Pengarah J-Kom

19 Januari 2023, setahun yang lalu,  Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu majlis di PICC, Putrajaya, telah meluncurkan buku Membangun Malaysia Madani, yang hari ini menjadi dasar pelaksanaan Agenda Malaysia MADANI, yang digerakkan dengan penuh iltizam oleh beliau sebagai Perdana Menteri ke 10, bersama Kerajaan Perpaduan yang dipimpinnya. 

MADANI, atau "SCRIPT" (judul asalnya),  adalah suatu gagasan idea dn cerminan citra Anwar yang bersumberkan garis masa pengalaman panjang beliau dalam politik, kepimpinan dn keprihatinan terhadap rakyat, sejak muda hinggalah diberi amanah hari ini, mengemudi negara sebgai Perdana Menteri. 

Kerana itu, Malaysia Madani bukan hanya suatu tema atau slogan dari seorang Perdana Menteri, tetapi ia  adalah suatu gagasan dan falsafah sosial membina negara bangsa bersama seluruh rakyat Malaysia. 

Dan pada tarikh keramat, 19 Januari 2023, setelah genap 3 bulan beliau diamanahkan tanggungjawab sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10, beliau telah mengagaskan Agenda Malaysia Madani, dengan mengangkat istilah "MADANI", dan enam teras atau kerangka utama, nilai MADANI: KeMampanan, KesejAhteraan, Daya Cipta, HormAt, KeyakiNan dan Ihsan, untuk diterapkan dalam segenap polisi, agenda bertindak dan proses reformasi yang menyeluruh dalam masyarakat. 

Kerangka Malaysia Madani sebenarnya adalah kesinambungan kerangka pemikiran Anwar Ibrahim membina masyarakat Malaysia sejak era 70an lagi. 

Pada 1979, telah terbit buku ucapan dasar beliau dalam Muktamar ABIM bertajuk, "Islam Penyelesaian kepada masyarakat Majmuk".  

Kemudian pada 1989, beliau telah memberikan ucaputama yang kemudian dibukukan bersama beberapa artikel lain dengan judul, "Mendepani Perubahan". 

Di tahun 1994, beliau menghasilkan "The Asian Renaissance", yang kemudiannya diterjemahkan sebagai "Gelombang Kebangkitan Asia". 

Setahun kemudian, beliau memberi ucaputama dalam satu forum  bertajuk, "Islam dn Pembentukan Masyarakat Madani". Dan pada 1996, beliau berbicara dalam satu konvensyen bertajuk, "Pembentukan Masyarakat Madani model Malaysia". 

Selepas itu pada 1998, beliau memimpin gerakan reformasi dengan mengangkat pemikiran agenda reformasi dalam masyarakat, yg dikenali sebagai "Deklarasi Permatang Pauh". 

Pada 2005, beliau berbicara mengenai "Membangun semula makna diri Malaysia". Dan pada 2007, beliau mengutarakan pandangan, "The evolution of a Muslim Democrats". 

Demikianlah sebahagian dari rantaian buah pemikiran dan lontaran idea beliau untuk membina negara bangsa Malaysia.

Dalam bahagian penghargaan, buku "Membangun Negara Madani", Anwar mengungkapkan dengan jelas susur galur terbitnya gagasan ini. 

Katanya; "Kerangka Madani merupakan kemuncak kepada pengalaman selama empat dekad dalam perkhidmatan awam dan belasan tahun yang dihabiskan bagi memikirkan tentang negara ini dan masa hadapannya. 

Sepanjang 18 tahun berkhidmat dalam kerajaan, mengepalai pelbagai kementerian, benih-benih pada segugus idea yg dilontarkan ini mula disemai menerusi "Gelombang Kebangkitan Asia". 

"Percubaan saya untuk mereformasikan sistem yang rasuah dari dalam telah mengakibatkan saya dipenjarakan, dengan separuh daripada dua dekad lamanya mendekam bersendirian. Tetapi pengalaman ini memberikan saya kelapangan masa untuk membaca dan mencatat nota -  suatu pengalaman berharga seperti juga ramai tokoh lain di sepanjang zaman dari timur dan barat," katanya lagi. 

"Susulan daripada keputusan Pilihan Raya Umum ke-14, yang bersejarah, dan pembebasan saya dari penjara, maka saya fikir sudah tiba masanya untuk saya mengumpul semula semua nota, diari dan catatan yang berserakan sebelum ini, serta merumuskan kesemuanya menjadi suatu gagasan ampuh untuk menjana perubahan buat Malaysia, seperti yang telah dihasratkan rakyat melalui peti undi pada tahun 2018.

"Saya merangkul para pemikir,   perancang strategi, pakar ekonomi, pakar undang-undang, sarjana sains politik, dan pemikir masa hadapan. Kami telah bertungkus-lumus bersama lebih setahun membangunkan kerangka MADANI, melalui siri bengkel dan pemukiman. 

"Meskipun berhadapan dengan pelbagai halangan, - langkah Sheraton,  pandemik Covid-19 serta kemelut yang lain, kami terus menelaah, mengulang dan memperhalusi setiap perincian, menyesuaikan kerangka ini dengan isu semasa dan perubahan yg berlak," ujar Anwar lagi. 

Hakikatnya, Malaysia Madani adalah kesinambungan dari mata rantai perjuangan sejak dari awal kemerdekaan, berteraskan sendi utuh yang termaktub dalam Perlembagaan, mengambil kira kearifan lokal dan budaya serta latar khazanah sejarah negara yang telah subur membumi sejak dahulu. 

Ia jelas terangkum, mengiktiraf polisi dan kecemerlangan negara yang menjadikan kita hari ini, kesan dari perjuangan kepimpinan terdahulu. 

Malaysia Madani adalah model kepada konsep pembinaan ketamadunan berdasarkan kepada prinsip kearifan lokal (local wisdom),   yang selalu diungkapkan oleh Almarhum Professor Datuk Dr Siddiq Fadzil, sahabat karib Anwar Ibrahim, sebagai "Fiqh atau Manhaj Maliziy".  

Sesungguhnya, pada tarikh 19 Januari 2023, majlis peluncuran buku "Membangun Negara Madani" di PICC, Putrajaya bukan sekadar meluncurkan kembali buku tersebut, tetapi ia adalah satu syarahan Perdana, amanat Perdana Menteri melancarkan "Agenda Malaysia Madani", untuk sekalian warga Malaysia. 

Malaysia Madani bukan sekadar suatu "branding", tema atau slogan buat Perdana Menteri Malaysia yang ke-10. 

Ia ada latar yang cukup panjang, memunculkan hasrat dan kehendak hati nurani rakyat yang dijelmakan dalam suatu gagasan untuk digerakkan bersama oleh rakyat. 

Buku Membangun Malaysia Madani, - "The Dream Nation", negara impian yang dinukilkan oleh Anwar Ibrahim, dan diperjuangkan secara konsisten, dengan melalui pelbagai tribulasi, adalah untuk membina sebuah tamaddun rakyat Malaysia yang inklusif, sesuai dengan semangat Perlembagaan dan Rukun Negara. 

Merumuskan catatan memperingati peluncuran "Malaysia Madani" pada tarikh 19 Januari 2023, maka wajar kita merenungkan naratif dan ungkapan Anwar Ibrahim di akhir penutup buku "Membangun Negara Madani" dengan saranan berikut: 

"Hasil usaha ini tentunya saya dedikasikan buat seluruh rakyat Malaysia. Saya tahu ada masa hadapan yang lebih baik mampu kita bina bersama. Saya berharap usaha ini dapat menjadi seruan kepada generasi penerus supaya mereka mampu lakukan lebih baik daripada apa yang kita telah lakukan dengan keterhadan masa yang ada. 

"Kenanglah kata-kata tokoh agung Melayu, Jose Rizal, seperti yang dinukilkan dalam novelnya, "Noli Me Tangere" : 

"Aku tidak menulis untuk generasi ini. Aku menulis untuk zaman yang lain. Jika generasi ini membaca, tentunya mereka akan membakar sekalian buku ku ini dan segala tulisan ku. Sebaliknya, generasi yang mampu menafsirkan tulisan ini, mereka akan menjadi generasi terpelajar, mereka akan memahami ku dan berkata, "Tidak semuanya nyenyak tidur di kepekatan malam pada zaman moyang kita". 

Menutup penulisan ini, diajukan tiga saranan berikut untuk difikirkan bersama sebagai tindakan: 

(i) Malaysia Madani sewajarnya tidak dilihat dari kaca mata politik yang sempit. Malaysia Madani adalah gagasan halatuju masa depan negara milik semua pihak dan rakyat, dengan penuh amanah dan iltizam untuk menjayakannya. 

(ii) Enam teras Malaysia Madani perlu difahami, dihayati dan dijelmakan sebagai budaya dalam kehidupan setiap warga Malaysia. 

(iii) Perlu wujud satu gerakan nasional melalui program pendidikan dan latihan kenegaraan untuk mendidik setiap warga Malaysia berkaitan konsep, penghayatan dan pelaksanaan merakyatkan agenda Malaysia Madani.  

Terima kasih YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kerana berkongsi idea besar ini, sebuah gagasan membina negara bangsa yang mampu mencapai ketamadunan yang tinggi, Insya-Allah. 


Thursday, January 5, 2023

PELAKSANAAN MA63 MARTABAT RAKYAT BORNEO

Perjanjian MA63 adalah perjanjian yang membawa kepada pembentukan Malaysia antara wilayah Sabah, Sarawak dan Malaya. Perjanjian ini sebagai syarat dan jaminan terhadap perkongsian kuasa yang dimaterai pada 16 Septembar 1963 yang memberi jaminan bahawa hak-hak rakyat Borneo terpelihara dalam kerajaan Persekutuan yang dipanggil juga sebagai kerajaan Malaysia. Bermakna Perjanjian MA63 merupakan asas penting persetujuan bersama yang mesti dihormati dan dilaksanakan demi kestabilan kerajaan yang dibentuk.


Tetatpi apa yang berlaku, sejak 60 tahun yang lalu perlaksanaan MA63 ini amat lembab dan rakyat Borneo mula mempertikaikan ketelusan kerajaan Persekutuan yang memandang remeh terhadap Perjanjian MA63 sebagai sesuatu yang tidak penting untuk diberi penekanan. Namun rakyat Borneo mendesak saban waktu terutama semasa pilihanraya yang dijadikan salah satu  manifesto untuk menuntut pelaksanaan sepenuhnya serta beberapa siri seminar dan wacana dianjurkan oleh parti-parti politik dan NGO bagi mendesak kerajaan Persekutuan agar melaksanakan perjanjian tersebut.


Pertukaran kerajaan selepas PRU15 yang lepas dan dengan perlantikan Perdana Menteri yang baharu, YAB Dato Seri Anwar Ibrahim yang mengetuai kerajaan Malaysia serta perlantikan Timbalan Perdana Menteri bagi Sabah dan Sarawak telah mengambil tindakan pantas terhadap Perjanjian MA63 adalah antara isu utama yang diberi perhatian dan dipertanggungjawabkan kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof  bagi menyelesaikan Perjanjian MA63 yang jadi tuntutan rakyat Sabah dan Sarawak.


Jabatan Pemahaman dan Pemantapan Agama (JPPA) PKR Sabah amat berterima kasih kepada YAB Dato Seri Anwar Ibrahim Perdana Menteri Malaysia kerana amat concern terhadap isu ini, dan rakyat Sabah dan Sarawak sudah lama menunggu pelaksanaan perjanjian ini yang tertangguh begitu lama. Keprihatinan YAB Perdana Menteri amat dihargai demi memacu pembangunan di Sabah dan Sarawak. JPPA PKR Sabah berharap kerajaan Negeri Sabah dapat melaksanakan pembangunan di negeri ini dengan lebih berkesan dan memastikan sampai ke sasaran utama secara telus dan berintegriti.


JPPA PKR Sabah yakin di bawah Pimpinan YAB Perdana Menteri, Sabah akan lebih maju dan membangun, apa lagi dengan tertubuhnya Agenda Tindakan Pelaksanaan Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 yang dipantau terus oleh Perdana Menteri. Tindakan ini akan memberi keyakinan tinggi kepada rakyat Sabah terhadap kesungguhan kerajaan Persekutuan, dengan pelaksanaan Perjanjian MA63 ini boleh merungkai kegusaran rakyat Sabah selama ini serta mengangkat martabat rakyat negeri ini dan mewujudkan perpaduan, keharmonian dan keamanan.


JPPA PKR Sabah mengucapkan Jazakallahu khairan kathira kepada YAB Perdana Menteri, semoga Allah SWT kurniakan kesihatan serta kekuatan kepada beliau untuk memimpin Malaysia menjadi negara yang penuh barakah.


MILUS HJ ABD WAHAB
EXCO JPPA PKR PUSAT (SABAH)


Monday, October 4, 2021

JAMAN EDAN

"Perjuangan pemberdayaan rakyat dan pelaksanaan misi pembebasan dan pencerahan adalah suatu perjuangan moral-intelektual yang getir. Di tengah semarak retorik demokrasi, hak asasi, masyarakat madani, era informasi dan entah apa lagi, kita sebenarnya sedang menyaksikan gejala berulangnya Jaman Edan (zaman gila), zaman rosaknya segala aturan dan tananan etika, moral dan susila. Dalam dunia yang segalanya sudah serba gila, tidak ada tempat untuk orang yang waras dan siuman, hanya mereka yang "gila" atau yang sanggup ikut jadi "gila" yang dapat  hidup. Demikianlah kira-kira suasana zaman yang terlukis dalam Serat Kalatidha, sebuah karya sastera Jawa era Surakarta (abad 19) yang merakamkan memori duka dan guratan luka pujangga terakhir Keraton Surakarta, R.N. Ronggowarsito. Kerana mempertahankan kehidupan berintegriti moral, beliau menjadi korban kegilaan Jaman Edan. Ronggowarsito dibekukan pada jawatan Pujangga yang sudah disandangnya sejak empat puluh tahun; walhal seharusnya beliau sudah diangkat menjadi Pangarsa, jawatan yang setingkat lebih tinggi daripada Pujangga. Beliau merakamkan rintihan batinnya, tentang pahitnya hidup berprinsip pada zaman gila: tidak ikut gila tak merasa, mahu ikut gila tak sampai hati. Tetapi biar bagaimanapun beliau memilih untuk tetap setia dengan prinsip dan amanah kepujanggaan atas keyakinan, "Betapa pun untungnya orang yang lupa (prinsip), masih lebih beruntung lagi orang yang ingat dan waspada." Demikianlah optimisme seorang pejuang berprinsip, tampil ke gelanggang melawan kuasa dan budaya edan dengan keyakinan akan menang. "...Seranglah mereka melalui pintu itu, kerana apabila kamu memasukinya maka sudah tentu kamulah orang-orang yang menang; dan kepada Allah jualah kamu harus berserah (setelah kamu bertindak menyerang), jika benar kamu orang-orang  yang beriman." (al-Ma'idah:23)

Siddiq Fadzil, 2012: Islam Dan Melayu: Martabat Umat Dan Daulat Rakyat, m.s. 56

Monday, April 5, 2021

SIAPA BERKUASA RAKYAT ATAU WAKIL RAKYAT?

Rakyat sering dikelirukan dengan istilah Yang Berhormat, di mana istilah ini sering dianggap lebih berkuasa atau ada karamah berbanding kuasa rakyat. Ketika wakil rakyat melawat kawasan, maka rakyat akan disibukkan dengan sambutan yang meriah, gilang-gemilang dengan pelbagai acara yang dipertontonkan semata-mata untuk menggembirakan wakil rakyat atau dipanggil Yang Berhormat (YB). Rakyat akan disibukkan kerana YB tersebut akan melawat kawasannya yang telah diamanahkan untuknya menjadi wakil rakyat. 

Apa sebenarnya makna 'Wakil Rakyat'? Wakil Rakyat cuma menjadi wakil kepada rakyat untuk mengambil tanggungjawab bagi menyuarakan masalah rakyat atau memudahkan urusan rakyat di kawasan yang dia menjadi wakil rakyat kerana dipilih semasa pilihan raya. Semasa pilihan raya, semua calon-calon yang bertanding akan merayu bersungguh-sungguh kepada rakyat untuk dia dipilih sebagai wakil rakyat. Segala janji, segala tawaran, segala sogokan akan dihamburkan kerana semata-mata mahu dipilih, mereka akan merayu, mereka akan memujuk, mereka akan bersumpah untuk berkhidmat dengan sesungguhnya kepada rakyat. Bahkan mereka akan berjanji juga untuk membawa permasalahan rakyat ke sidang Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri.

Mereka berkempen dari rumah ke rumah merayu dan memujuk kepada rakyat agar undi mereka, dan yang anehnya ada yang sanggup menangis depan rakyat mohon dipilih dengan alasan membela nasib rakyat yang terabai dan tidak dipedulikan. 

Hakikatnya memang pun dalam pertandingan setiap pilihan raya keutamaan adalah memilih wakil rakyat yang boleh membawa masalah rakyat kepada pemerintah yang mendapat mandat rakyat secara majoriti. Masalah rakyat sangat berkait dengan kehidupan mereka, dan antaranya prasarana yang diperlukan kerana berkaitan dengan kegiatan ekonomi serta keselesaan mereka. Selain itu, rakyat juga perlukan pembaharuan dalam kehidupan mereka. Oleh sebab itulah mereka memilih wakil rakyat yang boleh menyuarakan keperluan sebenar mereka.

Tetapi apa yang berlaku ramai wakil rakyat tidak sedar diri bahawa mereka sebenarnya mewikili rakyat yang mana rakyat adalah tuan mereka, boss mereka yang telah memilih mereka. Bukannya wakil rakyat itu yang menjadi boss kepada rakyat. Apabila sudah menang mereka boleh mengugut dan mengherdik rakyat sesuka hati mereka. Mereka menipu rakyat dengan pelbagai helah untuk memperlihatkan diri mereka adalah lebih besar daripada tuan sebenar mereka.

Bahkan ada ungkap sinis daripada wakil rakyat itu terhadap rakyatnya, contoh dialognya "YB, kami datang ini menuntut janji YB semasa pilihan raya, kenapa sehingga kini YB tidak menunaikannya?...jawab YB "bersyukurlah kamu sebab saya ada buat janji, tapi cuba kamu fikir berapa ramai lagi rakyat seperti kamu ini yang saya belum buat janji"...contoh kedua "YB, jalan raya kampung kami itu belum bertar lagi?"...jawab YB "kamu ingat kampung kamu sajakah yang ada masalah jalan, kampung lain pun ada masalah jalan"...itulah adalah contoh-contoh dialog sinis sahaja, kerana ketika menang situasinya sudah berubah, di mana wakil rakyat menjadi big boss, manakala rakyat menjadi hamba kembali.

Tuesday, March 9, 2021

RESOLUSI : Seminar Memperingati Tokoh II "Pandangan Hidup Islam dan Implikasinya Terhadap Semangat Patriotisme" .

Seminar Memperingati Tokoh dianjurkan atas kesedaran bahawa meletakkan seseorang pada kedudukannya yang tepat dan wajar adalah tuntutan keadilan dan tanggungjawab  insan beradab. Iqbal pernah berkata bahawa ‘bangsa yang berjiwa besar ialah bangsa yang tahu menghargai pemimpin dan perjuangannya.’ Menurut Syair Arab pula, bangsa yang tahu menilai sejarah punya usia berlipat kali ganda. Dalam menilai sumbangan seseorang tokoh, yang perlu dikenang dan diiktiraf ialah jasa dan sumbangannya yang bermakna, yang luhur lagi agung yang telah mencorakkan perjalanan sejarah, bukan pada cacat cela peribadi atau kelemahan tokoh.

 Atas semangat ini, Seminar Memperingati Tokoh 1 Tun Datu Mustapha dan Sumbangannya Dalam Perkembangan Dakwah  Islamiyyah diadakan pada13 September 2003. Tun Datu Mustapha adalah nama besar dalam sejarah Sabah dan Malaysia. Tun Datu Mustapha adalah tokoh pejuang kemerdekaan Sabah, peletak asas pembangunan negeri serta penentu hala tuju negeri Sabah. Sumbangannya amat besar bukan sahaja dalam pembangunan negeri Sabah, bahkan di peringkat antarabangsa. Visi dan misi perjuangannya jelas terpancar dalam semua program pembangunan spiritual, mental dan fizikal. Salah satu sumbangan Tun Datu Mustapha yang cukup menyerlah dan penting sekali ialah dalam gerakan dakwah. Gerakan dakwah yang berkembang begitu pesat dalam masa yang relatif singkat adalah manifestasi iltizam tinggi Tun Datu Mustapha terhadap perjuangan Islam.

Kini tiba giliran memperingati empat tokoh pejuang lain yang berjasa besar dengan menghubungkaitkan perjuangan mereka dengan pengaruh pandangan alam Islam. Mereka adalah penyambung mata rantai perjuangan Islam, sejak kedatangan Islam ke Sabah selewat-lewatnya pada tahun 1408M membawa kepada perjuangan ulama’ dan pendakwah seperti Tuanku Said Muhammad Shahbudin, Hj Yaakub Haji Ali. Imam Suhaili Haji Yaakub dan Haji Zaini Palembang, berlanjutan hingga ke Tun Datu Mustapha Datu Harun. Dalam konteks lebih luas, perjuangan tokoh-tokoh ini terangkai dalam gerakan dakwah dan perjuangan Islam di Alam Melayu dan Dunia Islam.

Adalah dengan penuh kesedaran bahawa Islam telah bertapak seawal tahun 1408 lagi iaitu sejak 600 tahun yang lalu. Kelangsungan Islam ini merupakan hempas pulas dan keringat perjuangan generasi dan tokoh-tokoh pejuang silam. Seminar ini dengan penuh kesederhanaan berusaha untuk meletakkan tokoh-tokoh ini pada kedudukannya yang tepat dan wajar agar tuntutan keadilan dan tanggungjawab insan beradab kita martabatkan.

Seminar ini berkeyakinan bahawa sumbangan yang bermakna, yang luhur lagi agung yang telah mencorakkan perjalanan sejarah berkenaan perlu dirakamkan secara adil dan bermakna.

Menyedari hakikat ini maka kami yang berkumpul di Dewan Bahasa dan Pustaka Negeri Sabah, Kota Kinabalu untuk Seminar Memperingati Tokoh pada 9 September 2006  yang terdiri dari pelbagai lapisan masyarakat dari seluruh pelusuk negeri Sabah mewakili pelbagai agensi dan pertubuhan seramai lebih kurang 500 peserta dengan ini bersetuju dengan resolusi berikut:

1.         Menggesa pihak kerajaan memasukkan komponen memperingati tokoh dalam setiap kali sambutan bulan kemerdekaan sama ada pada peringkat kebangsaan, negeri mahu pun pada peringkat daerah.

 2.        Menggesa Kerajaan Negeri Sabah memberi penekanan yang bersungguh-sungguh terhadap usaha-usaha penyelidikan tentang peranan dan sumbangan pelbagai tokoh supaya lebih sistematik dan bersepadu.

3.         Menggesa Kerajaan Negeri Sabah mewartakan lebih banyak lagi tapak bersejarah supaya menjadi tapak kajian kepada ahli akademik dan secara tidak langsung memberikan kesedaran kepada orang awam dan para pelancung.

4.         Menggesa pihak kerajaan bekerjasama dengan institusi-institusi yang berkaitan untuk membetulkan persepsi catatan sejarah yang berasaskan pandangan alam pihak penjajah kepada versi yang berasaskan pandangan alam Islam.

 5.        Meminta kerajaan menubuhkan Pusat Kajian Islam Sabah (seperti IKIM) agar satu        pengkajian yang sistematik untuk mengenalpasti tokoh dan sumbangannya di setiap  pelusuk negeri bagi melahirkan masyarakat yang celik sejarah dan menghargai  perjuangan dan sumbangan tokoh yang terdahulu.

 6.             Menyeru seluruh masyarakat Islam mengambil peluang, ruang dan kesempatan untuk terlibat secara bersungguh-sungguh untuk menyuburkan pandangan alam Islam yang benar seperti yang ditunjukkan oleh tokoh terdahulu.

7.        Menyeru seluruh masyarakat Islam perlu memberi perhatian penting kepada institusi keluarga masing-masing dengan menjadikan tokoh-tokoh terdahulu sebagai “role model” secara kolektif dan komprehensif serta berpaksikan aqidah yang benar agar generasi baru dapat dibangunkan. 

8.               Menggesa semua pihak yang terlibat dalam sektor pendidikan di semua peringkat pengajian agar berusaha untuk merubah paradigma dan menyuburkan pandangan alam Islam dalam menyampai dan mengolah pendidikan sejarah. Contohnya pengkajian tokoh setempat dalam subjek sejarah di Sekolah Menengah.  

9.         Mengangkat tokoh-tokoh pejuang yang dibincangkan dalam seminar memperingati tokoh II serta mengetengahkannya ke dalam kesedaran masyarakat umum.

  

Dipersetujui bersama oleh

En. Muddin Beting
Yang Dipertua ABIM Sabah


En. Zubaidi Abas
Pengarah
Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah


Tuan Haji Matusin Haji Awang Binting
Pegawai
Kementerian Belia dan Sukan Sabah


9 September 2006/16 Sya'ban 1427H

Monday, March 1, 2021

ANWAR IBRAHIM: Mengangkat Gagasan Ekonomi Manusiawi dalam Dunia Baharu

Secara terus terang tajuk ini ‘Ekonomi Manusiawi’ memang lunak dibicarakan tetapi sukar dilaksanakan. 

Saya memulakan dengan beberapa kenyataan bank-bank:-

Maybank mencatat keuntungan RM6.48 bilion pada tahun kewangan 2020. Public Bank pula mencatat keuntungan RM4.87 bilion manakala RHB pula untung RM2.03 bilion. Menteri Kewangan pula mengulas, “Bank rugi RM 6.4 bilion kerana langkah moratorium.” (Rugi ini bermaksud kekurangan kuntungan) Inilah yang terkait dengan ekonomi manusiawi yang harus dibincangkan bersama soal etika. Kita mulakan dengan akhlak dan ekonomi barulah ekonomi manusiawi. Kerana ada perbedaan.

Kitab lihat tadi kenyataan bank beruntung berbilion tetapi apabila sang penguasa, si menteri, berbicara dia merujuk kepada ‘kerugian’ bank disebabkan menolong rakyat yang meminjam melalui pelaksanaan moratorium. Ini kita perlu renung kerana kesukaran menembusi tembok penguasa yang lebih memihak kepada golongan yang kaya. Sebab itu Sayyidina Ali ibn Abi Talib r.a. dalam suatu warkah yang masyhur dan utama yang harus dibaca dan direnung generasi sekarang, generasi muda. Sayyidina Ali mengutus surat dan berpesan kepada Malik bin Ashtar, “Ingatlah bahawa kelompok kecil yang menikmati kemewahan itu tidak akan menolong kamu dalam krisis. Mereka akan cuba menghalang tertegaknya keadilan. Mereka akan meminta lebih daripada apa yang sepatutnya dan tidak akan menghargai bantuan yang diberikan.”

Maknanya isu kemiskinan, kesenjangan sebahagian daripada masalah ekonomi manusiawi. Itu sudah lama dibincangkan dan menjadi pembenturan idea dan perjuangan. Kita biasa mendengar tokoh-tokoh seperti Abu Dhar al Ghifari r.a. yang mewakili sosok paling keras menolak kemewahan, ketelanjuran dan pengabaian nasib masyarakat. Tetapi bicara ini pada sudut yang agak terbatas.

Kerana ekonomi manusiawi itu berakar kepada prinsip kepada karamah insaniah – kemuliaan insan

۞ وَلَقَدْ كَرَّمْنَا بَنِىٓ ءَادَمَ وَحَمَلْنَٰهُمْ فِى ٱلْبَرِّ وَٱلْبَحْرِ وَرَزَقْنَٰهُم مِّنَ ٱلطَّيِّبَٰتِ وَفَضَّلْنَٰهُمْ عَلَىٰ كَثِيرٍ مِّمَّنْ خَلَقْنَا تَفْضِيلًا

Dan sesungguhnya telah Kami muliakan anak-anak cucu Adam, Kami angkut mereka di daratan dan di lautan, Kami beri mereka rezeki dari yang baik-baik dan Kami lebihkan mereka dengan kelebihan yang sempurna atas kebanyakan makhluk yang telah Kami ciptakan.  (al Isra:70)

Ini bukan ‘juxtaposition of ideas’ atau ideologi tetapi suatu yang sebenar terikat dengan keyakinan kita bahawa hidup ini, manusia ini dan agama ini menuntut kita menegakkan keadilan mempertahankan semangat kemanusiaan. Kemanusiaan ini tidak terbatas kepada kepentingan keluarga atau kelompok atau kaum atau agama. Karamah insaniah itu bermaksud,  ‘Allah has exalted the Children of Adam’, Allah mengangkat darjat umat manusia.

Kemanusiaan itu bersandar kepada etika dan moral, sandaran kepada prinsip keadilan. Bagaimana kita boleh terima kenyataan sebuah negara dengan hasil mahsulnya melimpah ruah, boleh mengizinkan kelompok miskin samada di bandar, desa atau pendalaman? 

Dasar-dasar elit penguasa, ‘the ruling clique’ selalunya memihak kepada yang besar. Selain contoh bank tadi, kita ambil contoh beras, padi. Ini dimonopoli, untung syarikat yang menguasai monopoli ini ratusan juta. Yang bekerja sebagai petani, pesawah padi ini termasuk kategori miskin tegar. Bukankah itu tidak munasabah? Mengapa tidak perkenalkan kaedah dimana sebahagian besar pegangan saham untuk impot beras dapat diagihkan, didistribusi, seperti apa di sebut ‘distributive justice’, kepada kelompok bukan sahaja yang miskin tetapi kerana mereka mengerjakan sawah padi namun tidak dapat habuan setimpal.

Soedjatmoko pada karyanya Dimensi Manusia dalam Pembangunan membicarakan tentang aspek kemanusiaan dalam pembanguan, kesenjangan, keseimbangan, ‘limits to growth’ – had-had pertumbuhan ekonomi, impak persekitaran.

Saya bukan ahli akademik tetapi saya cuba mengasak pemikiran yang dominan dalam mana-mana pemerintahan yang memihak kepada suatu kelompok lalu meminggirkan golongan ramai rakyat. Kalau kita kembali kepada asas pemikiran Islam, Islam sentiasa mempertahankan keseimbangan ‘man and nature’ – manusia dan alam, ‘material and spiritual’ – kebendaan dan kerohanian, ‘principles of humanity at large’ – prinsip-prinsip kemanusiaan secara keseluruhannya.

وَكَذَٰلِكَ جَعَلْنَٰكُمْ أُمَّةً وَسَطًا لِّتَكُونُوا۟ شُهَدَآءَ عَلَى ٱلنَّاسِ وَيَكُونَ ٱلرَّسُولُ عَلَيْكُمْ شَهِيدًا ۗ

Dan demikian (pula) Kami telah menjadikan kamu (umat Islam), umat yang adil dan pilihan agar kamu menjadi saksi atas (perbuatan) manusia dan agar Rasul (Muhammad) menjadi saksi atas (perbuatan) kamu.  (al Baqarah: 143)

Masyarakat umat ‘equilibrium’ – seimbang itu memikir diri, keimanan, akhlak dan masyarakat serta persekitaran. Tidak boleh adakan kemusnahan, tidak boleh membiarkan penindasan, pengabaian hak. Pak Natsir berpesan, “Jangan sambil membangun kita merobohkan!” Yang kita bangunkan itu gedung dan industri, yang kita robohkan itu kemanusiaan. Kita tindas pekerja, kita ambil keuntungan berlebihan, syarikat untung ratusan juta, gaji pekerja sekadar mahu hidup, hidup pula dalam keadaan paling sesak, dalam keadaan seolah-olah perhambaan moden. Mesti ada asakan dalam masyarakat untuk merubah dan menyedarkan kita bersama.

Di Amerika, di Malaysia mahupun Indonesia kesenjangan itu melebar, jurang kaya miskin. Malah di masa wabak Covid ini, pandemik ini telah memberikan ruang untuk memperkayakan segelintir dan dianggap suatu hal yang biasa. Oleh kerana ia syarikat yang berkembang dan boleh beruntung berbilion ringgit. Padahal jika kita bincang soal etika yang merentas faham, ideologi dan kaum, itu tidak dibolehkan iaitu di kala ramai orang sengsara, para peniaga itu mengaut untung yang melonjak tinggi.

Kefahaman ekonomi manusiawi ini harus disampaikan kepada khalayak yang ramai kerana tidak mudah untuk memecah tembok penguasa yang mempunyai pendapat ekonomi yang berbeda. Mereka pun boleh saja mengungkapkan itu ini pun ‘manusiawi’ tetapi kita tidak percaya.

Bagi seorang Muslim, matlamat agama, matlamat shariah dan kehidupan itu di antaranya adalah hifz al mal, hak seseorang untuk mendapat nafkah kehidupan dan keselesaan yang minima. Dan tidaklah boleh segelintir meraih segala kekayaan dan dengannya akan menafikan hak orang yang lain. Bagaimana mungkin penguasa Islam dan yang memakai pakaian alim ulama tidak langsung mempunyai sentimen keadilan ini. 

Apabila al marhum Profesor Ungku Aziz menerima kunjungan Syaikh Yusuf al Qaradawi yang kita jemput suatu masa dulu, Syaikh Yusuf bertanya kepada Ungku Aziz tentang zakat. 

Ungku Aziz sebut, “Yang paling setia membayar zakat adalah golongan pesawah, penanam padi.”

Syaikh Yusuf bertanya, “Kelompok ini memiliki tanah dan kaya serta ada kemampuan?”

Ungku Aziz jawab, “Ini kelompok yang paling miskin di utara, di Kedah dan juga di Kelantan.”

Syaikh Yusuf bekata, “Kenapa mereka diminta membayar zakat?”

Ungku Aziz menjawab, “Itulah kefahaman agama yang ada.” 

Syaikh Qaradawi berkata bahawa dia perlu meneliti lagi perkara itu tetapi pada umumnya orang yang di bawah paras kemiskinan yang tidak cukup untuk nafkah hidupnya tidak seharusnya membayar zakat.

Ini suatu kejutan kepada pemikiran normatif dan kefahaman pada masa itu bahawa zakat padi sedemikian rupanya tetapi untuk memecah tembok golongan penguasa memerlukan suatu islah, suatu reform pemikiran masyarakat. 

Demikian sebagai pengantar kepada tajuk ini.

(Suntingan Transkripsi Ucapan Perasmian dan Ucaptama Dato’  Seri Anwar Ibrahim (Pengerusi  IIIT) Wacana Antarabangsa Ekonomi Manusiawi 27 Februari 2021)

 

I S L A H  M E D I A

 


LinkWithin