SEJARAH

Friday, December 20, 2013
CATATAN PERTEMUAN DENGAN ALLAHYARHAM DR MUHAMMAD SAID RAMADHAN AL-BOUTY
Wednesday, October 16, 2013
SEPINTAS AMANAT PIMPINAN MUKTAMAR NASIONAL KE 7
Menyingkap Ucapan Presiden WADAH Malaysia, Dato' Dr. Siddiq Fadzil pada Muktamar Nasional Ketujuh Wadah Pencerdasan Umat Malaysia pada kali ini memfokuskan beberapa elemen penting untuk dihayati serta difahami oleh semua ahli gerakan. Antaranya ialah Perubahan jiwa dan minda yang menekankan kepada kekuatan ilmu yang boleh membawa kepada sikap sedar dan insaf terhadap apa yang sepatutnya dilakukan. Wahyu pertama yang diturunkan kepada ar-Rasul saw adalah 'Iqra' yang telah berjaya membina fikrah insaniyah serta daya intelektual tinggi yang membawa kepada revolusi kemanusiaan seterusnya menyedari hak sebagai hamba serta kehebatan pencipta. Watak manusia yang sentiasa mahukan perubahan, adalah amat perlu menguasai pelbagai disiplin ilmu untuk merubah persekitarannya tanpa melanggar sunnatullah. Fiqh perubahan serta fiqh realiti dua perkara utama yang semestinya difahami secara tuntas dalam melakukan perubahan. Fiqh awlawiyyat perlu difahami untuk merencana sesuatu agenda besar demi maslahat ummah. Kualiti kepimpinan adalah manifestasi terhadap keutuhan perubahan dan sekiranya kepimpinan tidak memiliki kekuatan ilmu, maka perubahan tidak akan dapat bertahan lama. Pembinaan watak insaniah sebagai peneraju perubahan amat penting. Zaman ar-Rasul saw adalah modul penting yang menjadi ikutan atau huswatun hasanah. Baginda memimpin kerajaan Islam selama 23 tahun dan telah berjaya melahirkan watak-watak manusia yang unggul seperti Abu Bakr as-Siddiq, Umar al-Khattab, Uthman Ibn Affan, Ali Abi Talib, Abdur Rahman Auf dan lain-lainnya. Selain itu, beliau juga menjelaskan isu kepelbagaian aliran pemikiran yang melingkari dunia Islam. Keadaan ini harus dilihat dari sudut positifnya yang mana akan memberi makna besar terhadap kebolehupayaan Islam dalam menanggapi fenomena pluralistik yang sudah wujud serta perlu bijaksana mengurus kepelbagaian perbezaan yang wujud dalam masyarakat. Beliau juga menyentuh secara sinis tentang sistem demokrasi terpimpin yang menjadi amalan dalam politik negara ini. Ketulenan demokrasi yang dicanang tidak juga dipatuhi sepenuhnya kerana kuasa majoriti rakyat tidak juga dihormati. Sistem pilihan raya gerrymandering atau pilihan raya akal-akalan telah mencemar kuasa rakyat sebenar. Ketelusan memaknai demokrasi oleh golongan tertentu amat mengaibkan moral pilihan raya yang tidak amanah serta jujur. Demokrasi dimanipulasi serta dieksploitasi sepenuhnya untuk kepentingan satu kuasa yang meletakkan rakyat keliru dan seterusnya tertipu. Untuk itu, politik para mursalin adalah modul terbaik yang perlu dicontohi oleh pelbagai golongan agar keadilan Islam lebih terserlah kepada rakyat sama ada Islam atau bukan Islam.
Saturday, September 14, 2013
MENELUSURI TOKOH-TOKOH PEJUANG KEMERDEKAAN SABAH
Wednesday, July 17, 2013
MENEROPONG SEPINTAS LALU FAHAM SEKULAR
Tuesday, June 18, 2013
KETERLIBATAN ORANG IRANUN DI KEDAH
Tuesday, January 1, 2013
MISI ISLAMISASI KE KOTA CONSTANTINOPLE SIRI AKHIR
Monday, July 23, 2012
MISI ISLAMISASI KE CONSTANTINOPLE (siri III)
Zaman Khalifah Ar-Rasiyydin
Setelah kewafatan Nabi SAW pada 10H, pemerintahan Islam Madinah diterajui oleh empat orang sahabat baginda yang tersohor iaiatu, Abu Bakar as-Siddiq, Umar al-Khattab, Uthman Ibn Affan dan Ali Abu Talib. Apabila Abu bakar as-Siddiq mengambilalih sebagai khalifah, beliau telah menyelesaikan beberapa masalah yang timbul seperti ‘Peristiwa Bani Sahidah’ iaitu sekumpulan kaum Ansar yang cuba mengambilalih pentadbiran kerajaan Islam Madinah, dan isu ‘Perang Ridda’. Dalam keadaan yang mencabar ini, Abu Bakar as-Siddiq berjaya juga mententeramkan keadaan dan meluaskan lagi pengaruh Islam ke Iraq.
Selepas kewafatan Abu Bakar as-Siddiq, Umar al-Khattab telah mengambilalih pentadbiran kerajaan Islam Madinah, dan beliau telah meluaskan lagi pemerintahannya hingga ke Mesir dan Syria. Tindakan Saidina Umar ini menawan Mesir dan Syria adalah satu laluan mudah untuk umat Islam menghamipiri kota Constantinople. Sedangkan pada ketika itu Islam memiliki kekuatan tentera serta panglima-panglima yang terkenal seperti Khalid al-Walid dan Abu Ayub al-Ansari. Namun Saidina Umar tidak pun menggerakkan tenteranya menuju Constantinople.
Kerajaan Bani Umayyah
Berdasarkan kepada hadis tersebut, maka para sahabat berlumba-lumba membuka Constantinople bagi mendapatkan darjat tertinggi dalam Islam. Syaidina Umar sendiri menaruh hajat terhadap pembukaan kota ini, namun baginda sendiri tidak berkesempatan. Cita-cita pembukaan kota Constantinople diteruskan oleh Mu’awiyah Abu sufyan. Pada tahun 50H, Mu’awiyah telah menyediakan satu pasukan tentera yang dipimpin oleh Busr bin Artah dan Sufyan bin Awf al-Azdi ke Byzantine dan Fadalah bin ‘Ubaydillah al-Ansari di bahagian laut untuk menyerang kota Constantinople. (SahrulAzmi Sidek:2012:92).
Sebelum itu, Abu Ubaidah telah melaksanakan misi ke atas beberapa empayar Rom semasa pemerintaahan Syadina Umar al-Khattab. Beberapa kota terpenting yang berada di bawah empayar Rom telah dibuka semula oleh Abu Ubaidah, dan antaranya ialah Damsyik yang diperintah oleh Raja Jabalah. Ketika Abu Ubaidah menghampiri kota ini, Panglima tenteran Rom Hiraqla telah membantu Raja Jabalah, namun mereka tidak dapat menghalang kemaraan tentera Islam, dan selepas itu menawan kota Baisan, Hims dan kota Aleppo serta Atakiah, (Abdul Latip Talib: 2009:248,249,283,320,321). Tindakan Abu Ubaidah ini merupakan rintis awal terhadap semangat Umat Islam untuk membuka kota Constantinople.
Keghairan umat Islam menawan Constantinople amat tinggi, kerana beberapa bandar utama serta tamadun lain sudah berada dalam penguasaan Islam. Parsi sebuah empayar terbesar juga telah menerima Islamisasi. Dan begitu juga Damsyik atau Syria sudah menjadi pusat pentadbiran kerajaan Bani Umayah yang mmenghubungkan antara Eropah Asia Barat atau Negara-negara Arab.
Kerajaan Bani Abbasiyyah
Setelah kejatuhan kerajaan Bani Umayyah, maka kerajaan Bani Abasiyyah yang telah mengambilalih kuasa tersebut melalui gerakan keluarga Abbas. Gerakan ini dipelopori oleh beberapa kumpulan yang lahir daripada perpecahan tentera Saidina Ali melalui perang Siffin serta Majlis Tahkim. Melalui majlis itu wujud satu kumpulan baru yang dikenali sebagai kumpulan al-Khawarij.
Saturday, July 7, 2012
MISI ISLAMISASI KE CONSTANTINOPLE (siri II)
Asas Islamisasi ke Constantinople
Misi Islamisasi ke kota ini telah lama diutarakan, semasa peristiwa perang Khandak dan pada waktu itu Nabi SAW dengan umat Islam Madinah tengah menggali parit mengelilingi kota Madinah sebagai bentang mempertahankannya daripada serangan kaum Quraisy Makkah. Ketika inilah pencungkil Nabi SAW terkena batu dan mengeluarkan tiga percikan api, dan Nabi SAW mentafsirkan tentang percikan tersebut. Percikan pertama Baginda melihat bayangan di udara Istana Putih di negeri Yaman. Percikan kedua Baginda melihat bayangan Istana Kisra di negeri Parsi, dan percikan ketiga Baginda melihat mahligai raja-raja di Constantinople. (Ab. Hamid Ali: 2011:29). Tafsiran itu diperteguhkan lagi dengan sebuah hadith yang menyatakan tentang bagaimana kota Constantinople dapat ditakluki. Antara kandungan hadis tersebut ialah; ‘Pastilah kamu akan menakluki Constantinople, maka sebaik-baik pemimpin adalah pemimpinnya dan sebaik-baik tentera ialah tenteranya’.
Hadis ini telah menjadi sandaran kuat bagi umat Islam membuka kota ini, bahkan keinginan kuat untuk menawan Constantinople telah dijadikan cita-cita besar setiap pemerintah Islam, yang bermula ketika pemerintahan Khalifah ar-Rasyyidin, Bani Umayyah, Bani Abbasiyyah dan terakhir Kerajaan Uthmaniyyah. Cita-cita ini terpendam beratus-ratus tahun lamanya dan hanya terlaksana ketika pemerintahan Islam Uthmaniyyah. (bersambung.....)
Monday, July 2, 2012
MISI ISLAMISASI KE CONSTANTINOPLE
Sejarah Ringkas
Sejarah telah melakarkan tentang kehebatan Kota Constantinople sebagai sebuah kota terhebat dalam sejarah Dunia. Kota yang hebat dan gagah ini menjadi lambang kehebatan masyarakat Eropah seluruhnya. Constantinople merupakan bandar dan kota yang mewarisi tamadun Greek yang telah melahirkan tokoh-tokoh tersohor seperti Socrates, Plato dan Aristotle. Pemikiran mereka ini telah meletakkan Constantinople sebagai kota ilmuan yang amat terkenal. Pada tahun 753M seorang raja yang dikenali sebagai Romulus telah membina empayar Rom yang hebat dengan menjadikan bahasa latin sebagai bahasa komunikasi. Bahasa ini telah berupaya membina kekuatan empayar Rom dengan menghasilkan pelbagai disiplin ilmu yang diwarisi oleh tamadun Eropah itu sendiri.
Kehebatan empayar Rom ini dapat dilihat kepada tiga tahap iaitu Zaman Beraja (753-509SM), Zaman Republik (509-27SM), dan Zaman Empayar (27SM-476M). Empayar Rom lebih terserlah ketika zaman Helenistik dan Pax Ramona, dan berakhir pada zaman Marcus Aurelius pada tahun 180M, (Ab. Hamid Ali: 2011:12-13). Ketika kejatuhan empayar Rom, kota ini tidak terjejas keutuhannya, dan ini diakui oleh para sejarahwan bahawa kota ini sebahagian daripada kemegahan empayar Rom yang terhebat. Constantinople yang dikelilingi oleh tembok yang kuat termasuk bahagian laut dan direntangi oleh rantai besi sebagai menghalang kapal-kapal musuh, menjadikan kota ini menjadi rebutan. (Sahrulazmi Sidek: 2012:93). Hal ini diakui oleh Ab. Hamid Ali, menurut beliau, tidak semua empayar Eropah mengalami Zaman Gelap, cuma di bahagian Barat sahaja, tetapi Rom Timur masih bertahan sehingga tahun 1453M, dan Constantinople menjadi ibu kota Rom Timur.
Namun begitu, kehebatan Constantinople akhirnya tergugat juga selepas tahun 1453M, apabila pihak pemerintah mula mengutamakan kepentingan peribadi berbanding kemaslahatan rakyat. Kemerosotan ini berlaku dalam dua faktor iaitu, faktor dalaman dan faktor luaran. Antara faktor dalaman yang menyumbang terhadap kejatuhan kota ini ialah; pertama kerajaan Byzantine diwarisi oleh pemimpin yang mementingkan pangkat dan kuasa, kedua pergolakan dalaman akibat sikap cuai, tamak dan terlalu leka, ketiga anak-anak aristokrat hanya mementingkan diri, keempat berlaku penyelewengan dalam pentadbiran, kelima penyalahgunaan kuasa dalam kalangan para pembesar kerajaan, keenam mengalami masalah ekonomi yang teruk akibat pemborosan kerajaan yang melampau, dan ketujuh kerajaan menjual tanah jajahan seperti Salonika pada tahun 1423M. Manakala faktor luaran ialah, pertama berlakunya peristiwa The Black Death atau wabak taun, kedua wabak ini telah membunuh seramai 5000 orang penduduk dalam sehari, dan ketiga perselisihan agama antara Kristian Timur dan Kristian Barat. (Ab. Hamid Ali: 2011:24).
Kesan terhadap pergolakan yang melampau ini telah mempercepatkan kejatuhan kota Constantinople, kes-kes yang berlaku itu menambah masalah yang mendalam terhadap keutuhan dan perpaduan. Pihak pemerintah sudah lupa tugas dan tanggungjawab terhadap kepentingan rakyat. Bahkan pihak pemerintah lebih mengutamakan kepentingan peribadi dengan penyalahgunaan kuasa. (.....bersambung....)
Monday, May 7, 2012
KEKELIRUAN UMAT TERHADAP MISI RABBANYY
Namun begitu kesucian ini sukar dipertahankan secara konsisten, kerana selepas mengharungi kehidupan sebagai insan aqil baligh, maka dia sudah mula meneroka alam baru yang banyak cabaran dan ujian yang datang silih berganti. Apatah lagi, apabila manusia sudah mula mengenal dunia kehidupan yang sifat duniawinya terlalu mencabar.
Allah mengingatkan manusia dalam al-Quran, ‘Tidak Aku jadikan jin dan manusia itu hanya semata-mata untuk mengabdikan diri kepada Ku’. Peringatan ini sebenarnya mempunyai makna mendalam bagi manusia dan jin agar sedar akan keadaan diri sendiri yang mempunyai tanggungjawab terhadap Khaliq pencipta yakni Allah SWT. Manusia tidak akan wujud di dunia ini sekiranya Allah SWT tidak mengkehendakinya. Kuasa serta sifat maha pencipta yang dimiliki-Nya menjadikan manusia berada di muka bumi ini. Pada ketika inilah manusia perlu mengkoreksi diri untuk mengenal diri dan memahami serta mematuhi fitrah kehidupan sebagai insan.
Hakikat kewujudan manusia sebagai makhluk adalah memiliki misi rabbani, dan antara misi itu ialah memakmurkan, mendidik, membina, membimbing serta memelihara keharmonian hidup di dunia ini. Untuk melaksanakan misi ini, maka Allah SWT telah mengangkat martabat manusia sebagai ‘khalifah’, yakni ketua pada sekalian makhluk yang turut mendiami cakrawala bumi ini. Ketika mana Allah mangangkat darjat dan martabat manusia, wujud kompleks yang maha dahsyat iaitu protes berterusan daripada golongan Iblis yang amat meragui keupayaan manusia menerajui perjalanan duniawi ini. Bahkan protes ini tidak akan berakhir sehinggalah ke panghujung perjalanan di dunia ini dan akan diadili di akhirat kelak.
Namun, apa yang berlaku ialah manusia sebahagiannya jauh tersasar daripada asal penciptaannya. Manusia menjadi lupa dan alpa serta lalai terhadap misi rabbani yang telah diperintahkan oleh Allah SWT. Keadaan ini menjadikan manusia menjadi angkuh dan sombong serta hilang sifat insanyyah. Manusia telah menjadikan kehidupan dunia ini seumpama kekal selama-lamanya (abada’). Perkara ini dapat dilihat bila mana manusia telah meletakkan tuntutan beragama menjadi perkara terakhir dalam kehidupan. Misi rabbani yang telah diwartakan oleh Allah SWT telah tersasar jauh dari jiwa dan sanubari mereka. Dalam hal ini, misi Iblis memerangi manusia hampir berjaya dan telah memakan korban yang banyak tanpa disedari.
Buktinya, lihatlah bagaimana manusia mengaplikasikan agama dalam kehidupan ini. Sifat ‘ubud dunnia’ telah melangkau segala-galanya. Setiap gerak dan langkah akan dihitung dengan nilai harta benda, dan bagi golongan ini mereka berfahaman adalah amat malang bagi individu sekiranya tidak menggunakan peluang sepenuhnya di dunia ini.
Inilah serangan paling hebat yang berlaku terhadap umat Islam pada masa kini, di mana-mana saja pemikiran seumpama ini sudah meresap serta sudah mula menghancurkan hati dan jiwa umat Islam satu demi satu. Seorang mujahid Islam menyatakan kebimbangannya terhadap serangan ini, beliau mengatakan;
‘Perkara yang membimbangkan saya hanyalah bahaya-bahaya yang menimpa agama. Pada masa dahulu bahaya datang dari luar. Oleh sebab itu cara mengatasinya adalah mudah. Tetapi sekarang bahaya datang dari dalam. Cacing telah masuk ke dalam tubuh. Maka sekarang pertempuran menjadi susah. Saya membimbangi bahawa tubuh masyarakat ini tidak boleh bertahan menghadapinya kerana tubuh tersebut tidak menyedari musuhnya. Mereka menganggap bahawa musuh terbesar yang memotong urat nadi dan meminum darahnya itu sebagai kawan yang rapat. Jika mata hati masyarakat menjadi buta begini, ketika itu kubu keimanan dalam keadaan bahaya. Justeru kebimbangan saya, bahkan satu-satunya kebimbangan bagi saya ialah perkara ini.’ (Badiuzzaman Said Nursi).
Kesedaran secara total terhadap misi rabbani ini amat perlu supaya generasi serta umat pada hari ini dapat kembali kepada fitrah asal kejadiannya. Manusia sewajarnya ada sifat koreksi diri, demi untuk membuat penilaian kembali terhadap misi rabbani ini. Kegagalan menuruti tuntutan rabbani ini akan membawa petaka besar dalam kehidupan ini. Al-Quran dengan jelas dan terang memberi peringatan serta amaran terhadap erti kehidupan ini. Dalam surah al-Fatihah dinyatakan ‘Inilah jalan yang lurus, jalan orang-orang yang telah kami redhai ke atas mereka’. Perjalanan hidup ini semestinya mematuhi petunjuk kitab suci al-Quran ini, sekiranya manusia cuba mengingkarinya, maka tunggulah balasan dari-Nya. Surah al-Baqarah menyatakan, ‘Inilah kitab yakni al-Quran yang menjadi petunjuk bagi orang-orang bertakwa’. Maknanya, apabila manusia keluar daripada lingkungan rabbani ini, maka ianya tersesat jauh dan pasti akan terdedah kepada pelbagai ancaman bahaya.
Oleh itu, sekiranya manusia memilih petunjuk selain al-Quran, maka ianya sudah tersasar jauh daripada misi rabbani. Manusia akan menjadi derhaka serta angkuh terhadap Tuhannya dan akan hilang pertimbangan insaniyyah. Manusia akan melihat tuhan terdekat mereka adalah harta benda yang kononnya boleh ‘menghidupkan dan mematikan’. Mereka akan menjadi ganas dan buas, mereka akan menjadi buta serta pekak, mereka akan alpa buat selamanya.
Akhirnya manusia akan menerima pengadilan seadil-adilnya dariapa Khaliq Pencipta yang menentukan kedudukan dan status manusia pada ketika itu. Penyesalan tidak lagi berguna, segala rayuan dan belas kasihan tidak lagi dapat menyelamatkan manusia dari hukuman yang telah ditentukan oleh Allah SWT.
Sunday, March 11, 2012
Negeri Kelantan Seindah Namamu

Tanah Serendah Sekebun Bunga
Negeri Tadahan Wahyu
Cik Siti Wan Kembang
Cukup indah namamu
Seindah negerimu
Duhai
Wajahmu nan indah
Persis Jeddah
Yang pernah ku lewati
Taat menjunjug al-Quran
Teguh menggalas syariat
Yang tidak pernah goyah
Tersentuh hati kudus ku
Lantaran aku di sini
Biar tidak pernah ku duga
Bertemu seorang ulama’
Yang dicintai rakyatnya
Lalu…
Kuntum rindu yang lama tersimpan
Terubat jua akhirnya
Biar sekelumit Cuma
Beruntung rakyatnya
Menumpang teduh seorang ulama’
Yang lembut… tapi tegas beribadat
Yang pengasih…namun tidak goyah
Pada percikkan kealpaan dunia
Pasti aku merindui mu lagi
Entah kapan bisa diubati
Cuma setitis doa bisa ku titip buatmu
Moga sejahtera selamanya
Memacu
Membangun Bersama Islam
Moga kita bertemu kembali
Hasil Nukilan: Oki Setiana Dewi
Pelakon Drama 'Ketika Cinta Bertasbih'
sebagai Ustazah Ana
Wednesday, February 22, 2012
"Membangkitkan Semula Generasi Al-Muflihun: Menghayati Pesan-Pesan Kejayaan" (Siri Akhir)
Sorotan ayat 158 masih menumpu pada al-Rasul s.'a.w. kerana persoalannya masih berkisar pada ittab' al-rasul sebagai wahana pencapaian al-falah. Ayat tersebut memuatkan deklarasi kesejagatan misi Muhammad s.'a.w. yang merentasi persempadanan bangsa, daerah dan zaman. Ia bukan lagi misi khusus untuk kaum tertentu, di daerah tertentu dan pada zaman tertentu. Risalah Muhammadiah tidak hanya untuk membebaskan Bani Isra'il dari perhambaan rejim Fir'aun Mesir, tidak hanya untuk mendidik warga Madyan tentang etika bisnes, tidak hanya untuk menyelamatkan kaum Lut dari peyimpangan seksual, tidak hanya untuk mendisiplinkan kaum Thamud yang berleluasa menyalahgunakan kuasa untuk menindas, dan tidak juga hanya untuk menghadapi keangkuhan kaum 'Ad. Muhammad s.'a.w. adalah pelaksana misi universal demi kemanusiaan sejagat, membebaskan semua yang terbelanggu, mendisiplinkan semua yang masih merajalela, dan mendidik semua yang masih buta etika.
Muhammad s.'a.w. adalah seorang utusan, tetapi bukan sebarang utusan, Junjungan s.'a.w. adalah utusan Allah, Tuhan yang Maha Esa, Maha Perkasa, Pemilik dan Penguasa Tunggal seluruh kerajaan langit dan bumi, Tuhan Yang Maha Mutlak Iradah dan mashi'ah-Nya, yang dihidupkan pasti hidup, yang dimatikan pasti mati, yang dimuliakan pasti mulia dan yang dihina pasti hina, tidak siapa pun yang mampu menghalang-Nya. Seharusnyalah manusia beriman dengan Rasul utusan Tuhan yang sedemikian sifat-sifat-Nya, Rasul yang dahulu beriman penuh dengan Tuhan-Nya dan segala ajaran-Nya (kitab-kitab-Nya), lalu mengajak manusia lain beriman bersamanya. Apabila Tuhan memerintahkan wa 't-tabi'uhu (dan ikutla dia), yang harus diikut termasuklah sikap beriman, yakin dan percaya kepada misi yang hendak dibawa ke tengah khalayak umat. Dengan demikian makna ittiba' al-rasul dapat ditepati dan setterusnya al-falah sebagai golongan yang terbimbing (al-muhtadun) dapat diraih. Harapan kejayaan dapat kurnia bimbingan Ilahi hanya untuk mereka yang beriman dengan Allah dan segala ajaran-Nya, beriman dengan Rasul dan meyakini misi yang diwarisi darinya. Untuk meraih al-falah yang berupa kurnia petunjuk Ilahi (la'allakum tahtadun) para pewaris perjuangan misi nabawi perlu membebaskan diri dari kemunafikan budaya: melaung-laungkan slogan indah yang diri sendiri tidak mempercayainya.
Khatimah
Generasi al-muflihun adalah jelmaan umat ideal yang menikmati hasanah duniawi dan hasanah ukhrawi. Justeru, masyarakat yang hidup dalam nilai-nilai kemakrufan dan terpelihara dari segala gejala kemungkaran adalah masyarakat murni yang makmur dan sejahtera, damai dan bahagia, merdeka dan bermartabat, bersatu dan berkasih-sayang.
Thursday, December 15, 2011
"Membangkitkan Semula Generasi Al-Muflihun: Menghayati Pesan-Pesan Kejayaan" (siri 4)
Saturday, December 10, 2011
"Membangkitkan Semula Generasi Al-Muflihun: Menghayati Pesan-Pesan Kejayaan" (siri 3)
Khayriyyah (keunggulan) yang dicapai menerusi amar makruf-nahi mungkar suatu kejayaan (falah) yang besar. Khayriyyah al-ummah (keunggulan umat) sebagaimana yang disebut dalam ayat tersebut adalah keunggulan bersyarat (khayriyyah mashrutah) dan keunggulan yang harus diraih dengan amal perjuangan amar makruf-nahi mungkar. Demikianlah keunggulan yang ditawarkan oleh al-Qur'an. Ia adalah khayriyyah muktasabah, iaitu keunggulan yang dicapai dengan usaha gigih dan amal yang serius, bukan keunggulan berasaskan unsuriyyah mawruthah atau keunggulan yang diwarisi tanpa susah-payah. Al-Qur'an tidak menawarkan ketuanan warisan, yang ditawarkan adalah keunggulan yang bersyaratkan komitmen dan amal nyata di gelenggang amar makruf-nahi mungkar yang didasari iman kepada Allah. Keunggulan sedemikian bukan milik eksklusif kaum tertentu, tetapi ditawarkan kepada semua, siapa sahaja termasuk ahl al-kitab asalkan sanggup memenuhi syarat.
Misi nabawi seterusnya ialah menghalalkan segala yang baik (al-tayyibat), iaitu yang berkualiti, bersih, lazat dan bermanfaat; di samping mengharamkan segala yang buruk (al-khaba'ith), iaitu yang tidak berkualiti, kotor, memudaratkan dan menjijikkan. Ittiba' al-rasul dalam konteks ini ialah dengan pengamalan cara hidup sihat berasaskan syari'at, mendidik umat dengan kesedaran hukum halal-haram, dan membudayakan gaya hidup religius, bersih dan indah.
Antara komponen penting risalah Muhammadiah ialah pelepasan umat dari beban yang memberatkan sehingga tidak berdaya untuk bergerak ke mana-mana, dan pembebasan umat dari belenggu yang merantai sehingga tidak berupaya berbuat apa-apa. Ketika menjelaskan makna kata al-aghlal (jamak ghullun), A. Yusuf Ali menyebut Islam sebagai a religion for freedom in the faith of Allah, of universality in the variety of races, languages, manners and customs. Memang ayat tersebut secara khusus merujuk bangsa Yahudi yang terbeban dan terbelenggu dalam hukum-hakam keagamaan yang berat sebagai hukuman Tuhan terhadap kesalahan-kesalahan yang telah mereka lakukan; tetapi secara umum menyiratkan semangat liberatif agama Islam. Yang harus dibebaskan bukan hanya bangsa-bangsa tertentu, tetapi umat manusia keseluruhannya. Ittiba' al-rasul dalam konteks semangat pembebasan ini ialah dengan perjuangan membina umat yang berjiwa dan berminda merdeka, bebas dari segala bentuk pembelengguan: pembodohan, pembisuan, pengurangan dalam kepompong perkauman sempit, pembatasan ruang berfikir dalam tembok kepartian dan lain-lain yang sejenisnya. ....bersambung......