SEJARAH

SEJARAH

Tuesday, June 18, 2013

KETERLIBATAN ORANG IRANUN DI KEDAH

Beberapa maklumat menyatakan bahawa orang Iranun telah cuba membantu Sultan Abdullah menyerang Francis Light di Pulau Pinang, dan peristiwa ini berlaku pada 1791. Kemarahan Sultan Abdullah disebabkan Francis Lighit gagal mematuhi perjanjian dengan kerajaan Kedah berkaitan pendudukan British di Pulau Pinang. 

Dalam perjanjian ini British dan Francis Light hendaklah melindungi kerajaan Kedah daripada ancaman luar, namun apabila Siam mahu menyerang Kedah, Francis Light tidak mahu memberi bantuan. Keadaan ini menjadikan Sultan Abdullah marah dengan Francis Light kerana memungkiri perjanjian yang dipersetujui sebelum ini. 

Perjanjian Inggeris-Kedah 1786: 
1. Inggeris membantu Kedah sekiranya Kedah diserang oleh musuh 
2. Inggeris tidak boleh melindungi musuh Kedah 
3. Inggeris akan membayar sebanyak 30 000 dolar Sepanyol setahun kepada sultan sebagai pampasan

Bila mana British tidak membantu Kedah menghadapi Siam, lalu Sultan Abdullah telah meminta bantuan daripada beberapa buah negeri dan raja, termasuklah Raja Lanoon iaitu Raja Iranun. Di bawah ini adalah surat Sultan Abdullah kepada Francis Light sebagai peringatan kepada Francis Light.

"Sebuah perutusan yang penuh kasih sayang dan persahabatan yang kekal abadai dari Bendahara dan Laksamana, Raja Wolama dan Raja Mooda Ante dan semua Raja-raja dan semua pembesar-pembesar mempersembahkan kepada sahabat kami Gabenor Poolo Pinang yang pengetahuannya tentang perniagaan tidak boleh ditandingi, mula-mula hal ehwal yang diarahkan oleh Raja kepada kami, hal ehwal Poolo Pinang yang lama belum diselesaikan, beberapa pucuk perutusan telah dihantar dan diterima namun tidak apa-apa nampaknya yang disetujui oleh kehendak Raja, sahabat kami tidak menyembahkan sesuatu yang sesuai kepada kami, kami juga begitu, oleh itu sekarang kita pendekkan saja perkara ini. Raja tidak memperkenankan sahabat kami tinggal lama lagi di Poolo Pinang oleh itu sahabat kami hendaklah menyelesaikan urusannya secepat mungkin kerana Poolo Pinang ialah milik Raja Queda sejak zaman berzaman, tambahan pula jika sahabat kami cuba tinggal dengan menggunakan kekerasan. Tuhan yang mengetahui segala-galanya akan mendatangkan bala ke atasnya maka janganlah dipersalahkan kami. Kami dan Raja, Raja Lanoon dan semua Panglima meletakkan kepercayaan kami kepada Tuhan dan Rasul kami Mohammad nabi terakhir dari segala nabi. Dengan itu kami mengutuskan Datoo Bundar Seralata Pallowan dan Che Kadar dengan penentuan terakhir ini". (Ditulis pada April 1791). 

Raja Lanoon yang dimaksudkan itu adalah Raja Iranun yang datang membantu Sultan Abdullah di Kedah, menurut beberapa pandangan, Sultan Abdullah tidak sempat menyerang Francis Light kerana British lebih dulu menyerang mereka, dan Sultan Abdullah kalah kerana tersilap jangkaan. 

Menurut pandangan itu, Raja Iranun tersebut tidak mahu bertangguh untuk menyerang Pulau Pinang seperti pengalaman mereka menyerang Belanda di Tanjung Pinang, Riau Johor pada tahun 1787 dan mereka menang dan begitu juga ketika mereka menyerang British di Pulau Balambangan pada tahun 1775 dan mereka menang kedua-dua serangan ini. 

Kegiatan orang Iranun ini amat tidak disenangi oleh Barat, dan Barat melihat orang Iranun merupakan ancaman terhadap kegiatan mereka di Nusantara ini, dan akhirnya orang Iranun menjadi buruan oleh Barat dan kegiatan mereka sentiasa dipantau oleh Barat. 

Penentangan terakhir orang Iranun berlaku pada tahun 1915, di Pandasan. Orang Iranun, Bajau dan Dusun bergabung tenaga menentang SBUB. 

Keterlibatan orang Iranun di Pulau Pinang ini menunjukkan orang Iranun mempunyai hubungan dengan kuasa-kuasa Melayu di Nusantara.

Tuesday, January 1, 2013

MISI ISLAMISASI KE KOTA CONSTANTINOPLE SIRI AKHIR


Ekspedisi ke Constantinople

Sebelum pembukaan kota Constantinople, beberapa percubaan telah dilakukan oleh para pemimpin Islam untuk menawan kota Constantinople, dan antara yang terawal adalah Mu’awiyah Abu Sufian. Mu’awiyah telah merencanakan penawanan Constantinople dengan teliti, kerana beliau juga mahu disebut seperti mana dalam hadis ar-Rasul SAW. Beliau telah memperkuatkan tentara darat dan tentera laut, kerana mahu melaksanakan misi hadis tersebut. Kekuatan tentera laut telah diperkukuhkan untuk menawan kota Constantinople. Sebelum beliau sampai ke Constantinople, beliau telah melancarakan ke atas beberapa wilayah untuk memudahkan beliau menawan Constantinople. Pada 49H, beliau telah menghantar tentera ke Constantinople yang disertai oleh beberapa sahabat seperti Abdullah Abbas, Abdullah az-Zubayr, Abdullah bin Umar, dan Abu Ayyub al-Ansari. (Sahrulazmi Sidek:2012: 94). Dalam ekspedisi ini Yazid bin Mu’awiyah telah memimpin angkatan tenteran ini dan telah membuat pengepungan ke atas kota Constantinople, tetapi ekspedisi ini menemui kegagalan kerana cuaca sejuk yang amat kuat. Beliau mencuba kali kedua pada tahun 54H hingga 60H, dan kota ini dikepung selama 6 tahun tetapi operasi turut gagal.

Ekspedisi seterusnya telah diteruskan oleh Muhammad Al-Fateh seorang Khalifah Kerajaan Uthmaniyyah, sebelum itu Urkhan B. ‘Uthman yang memerintah dari tahun 1327 – 1360M telah merintis gerakan ke Constantinople. Namun gerakan ini juga menemui kegagalan dan diikuti oleh Sultan Murad (1360 – 1389M). Sultan Murad hanya merangka pelan strategik menawan kota tersebut. Antara tahun 1389 – 1402M, Sultan Bayazid telah menawan beberapa kota seperti Bulgaria dan meneruskan serangan ke atas Constantinople, namun tidak berajaya menawan kota tersebut.

Selepas itu, Sultan Murad II iaitu bapa kepada Muhammad Al-Fateh meneruskan usaha untuk menawan Constantinople, belaiu telah berjaya menawan Albania pada 1431M dan Hungary pada tahun 1438M. Beliau telah melakukan pengepungan terhadap Constantinople, namun  usaha beliau ini menemui kebuntuan sehinggalah belaiu meninggal dunia.

Misi Islamisasi ke Constantinople telah diteruskan oleh anak Sultan Murad II iaitu Muhammad Al-Fateh. Muhammad Al-Fateh telah merangka pelan bertindak beliau sebagai panduan untuk menawan Constantinople. Antaranya ialah menyediakan angkatan tentera yang ramai dan kuat. Tentera beliau terdiri daripada 12,000 tentera Jenisseri, 20,000 tentera Sphai, 100,000 tentera berjalan kaki dan selebihnya hamba abdi. (Ab. Hamid Ali: 2011: 93). Persediaan yang dibuat oleh Muhammad Al-Fateh ini memperlihatkan nekad baginda untuk menawan Constantinople. Misi yang telah dilakukan sebelum ini perlu diteruskan.
Selain persediaan tentera yang kuat, baginda juga merangka strategi bagi menawan kota tersebut berdasarkan langkah-langkah berikut;
1.       Membuat lakaran kubu
2.       Merangka strategi yang sesuai untuk melepasi sistem pertahanan Constantinople
3.     Meneliti kesesuaian jentera pengepungan untuk memusnahkan kubu-kubu pertahanan      yang tersusun di kawasan Constantinople.
4.       Merangka strategi yang paling berkesan untuk menyeberangi parit yang telah dibuat oleh penduduk Constantinople.
Pengepungan yang dibuat oleh Muhammad Al-Fateh ini telah melibatkan jumlah tentera seramai lebih kurang 100,000 orang (Ab. Hamid Ali: 2011, 109). Baginda telah menggunakan sepenuhnya kekautan dan kepakaran untuk menembusi kota Constantinople. Antaranya penggunaan meriam seberat 30,000 pound yang mempunyai keupayaan menembak 600 pound peluru.

Pada 10 Jamadilawal 857H, baginda melakukan persiapan terakhir disertai khutbah beliau sebagai suntikan semangat juang dan jihad. Maka pada 11 Jamadilawal 857H, Constantinople akhirnya jatuh ke tangan umat Islam, menjelag waktu zohor Muhammad Al-Fateh melangkah masuk ke kota Constantinople (Ab. Hammid Ali: 2011, 132).

Signifikannya kejatuhan Constantinople kepada Umat Islam yang dikenali hari ini sebagai Istanbul, menjadikan hubungan Eropah dan dunia Islam semakin dekat, walaupun dilihat terdapat perbezaan terutamanya agama. Tindakan Muhammad Al-Fateh memberi pilihan kepada Umat Kristian sama ada terus kekal di Constantinople atau berhijrah secara aman menunjukkan Islam sentiasa menghormati kebebasan beragama, budaya dalam sebuah negara yang diperintah oleh Umat Islam.

Monday, July 23, 2012

MISI ISLAMISASI KE CONSTANTINOPLE (siri III)

Zaman Khalifah Ar-Rasiyydin

Setelah kewafatan Nabi SAW pada 10H, pemerintahan Islam Madinah diterajui oleh empat orang sahabat baginda yang tersohor iaiatu, Abu Bakar as-Siddiq, Umar al-Khattab, Uthman Ibn Affan dan Ali Abu Talib. Apabila Abu bakar as-Siddiq mengambilalih sebagai khalifah, beliau telah menyelesaikan beberapa masalah yang timbul seperti ‘Peristiwa Bani Sahidah’ iaitu sekumpulan kaum Ansar yang cuba mengambilalih pentadbiran kerajaan Islam Madinah, dan isu ‘Perang Ridda’. Dalam keadaan yang mencabar ini, Abu Bakar as-Siddiq berjaya juga mententeramkan keadaan dan meluaskan lagi pengaruh Islam ke Iraq.

Selepas kewafatan Abu Bakar as-Siddiq, Umar al-Khattab telah mengambilalih pentadbiran kerajaan Islam Madinah, dan beliau telah meluaskan lagi pemerintahannya hingga ke Mesir dan Syria. Tindakan Saidina Umar ini menawan Mesir dan Syria adalah satu laluan mudah untuk umat Islam menghamipiri kota Constantinople. Sedangkan pada ketika itu Islam memiliki kekuatan tentera serta panglima-panglima yang terkenal seperti Khalid al-Walid dan Abu Ayub al-Ansari. Namun Saidina Umar tidak pun menggerakkan tenteranya menuju Constantinople.

Kerajaan Bani Umayyah

Berdasarkan kepada hadis tersebut, maka para sahabat berlumba-lumba membuka Constantinople bagi mendapatkan darjat tertinggi dalam Islam. Syaidina Umar sendiri menaruh hajat terhadap pembukaan kota ini, namun baginda sendiri tidak berkesempatan. Cita-cita pembukaan kota Constantinople diteruskan oleh Mu’awiyah Abu sufyan. Pada tahun 50H, Mu’awiyah telah menyediakan satu pasukan tentera yang dipimpin oleh Busr bin Artah dan Sufyan bin Awf al-Azdi ke Byzantine dan Fadalah bin ‘Ubaydillah al-Ansari di bahagian laut untuk menyerang kota Constantinople. (SahrulAzmi Sidek:2012:92).

Sebelum itu, Abu Ubaidah telah melaksanakan misi ke atas beberapa empayar Rom semasa pemerintaahan Syadina Umar al-Khattab. Beberapa kota terpenting yang berada di bawah empayar Rom telah dibuka semula oleh Abu Ubaidah, dan antaranya ialah Damsyik yang diperintah oleh Raja Jabalah. Ketika Abu Ubaidah menghampiri kota ini, Panglima tenteran Rom Hiraqla telah membantu Raja Jabalah, namun mereka tidak dapat menghalang kemaraan tentera Islam, dan selepas itu menawan kota Baisan, Hims dan kota Aleppo serta Atakiah, (Abdul Latip Talib: 2009:248,249,283,320,321). Tindakan Abu Ubaidah ini merupakan rintis awal terhadap semangat Umat Islam untuk membuka kota Constantinople.

Keghairan umat Islam menawan Constantinople amat tinggi, kerana beberapa bandar utama serta tamadun lain sudah berada dalam penguasaan Islam. Parsi sebuah empayar terbesar juga telah menerima Islamisasi. Dan begitu juga Damsyik atau Syria sudah menjadi pusat pentadbiran kerajaan Bani Umayah yang mmenghubungkan antara Eropah Asia Barat atau Negara-negara Arab.

Kerajaan Bani Abbasiyyah

Setelah kejatuhan kerajaan Bani Umayyah, maka kerajaan Bani Abasiyyah yang telah mengambilalih kuasa tersebut melalui gerakan keluarga Abbas. Gerakan ini dipelopori oleh beberapa kumpulan yang lahir daripada perpecahan tentera Saidina Ali melalui perang Siffin serta Majlis Tahkim. Melalui majlis itu wujud satu kumpulan baru yang dikenali sebagai kumpulan al-Khawarij.

Saturday, July 7, 2012

MISI ISLAMISASI KE CONSTANTINOPLE (siri II)

Asas Islamisasi ke Constantinople

Misi Islamisasi ke kota ini telah lama diutarakan, semasa peristiwa perang Khandak dan pada waktu itu Nabi SAW dengan umat Islam Madinah tengah menggali parit mengelilingi kota Madinah sebagai bentang mempertahankannya daripada serangan kaum Quraisy Makkah. Ketika inilah pencungkil Nabi SAW terkena batu dan mengeluarkan tiga percikan api, dan Nabi SAW mentafsirkan tentang percikan tersebut. Percikan pertama Baginda melihat bayangan di udara Istana Putih di negeri Yaman. Percikan kedua Baginda melihat bayangan Istana Kisra di negeri Parsi, dan percikan ketiga Baginda melihat mahligai raja-raja di Constantinople. (Ab. Hamid Ali: 2011:29). Tafsiran itu diperteguhkan lagi dengan sebuah hadith yang menyatakan tentang bagaimana kota Constantinople dapat ditakluki. Antara kandungan hadis tersebut ialah; ‘Pastilah kamu akan menakluki Constantinople, maka sebaik-baik pemimpin adalah pemimpinnya dan sebaik-baik tentera ialah tenteranya’.

Hadis ini telah menjadi sandaran kuat bagi umat Islam membuka kota ini, bahkan keinginan kuat untuk menawan Constantinople telah dijadikan cita-cita besar setiap pemerintah Islam, yang bermula ketika pemerintahan Khalifah ar-Rasyyidin, Bani Umayyah, Bani Abbasiyyah dan terakhir Kerajaan Uthmaniyyah. Cita-cita ini terpendam beratus-ratus tahun lamanya dan hanya terlaksana ketika pemerintahan Islam Uthmaniyyah. (bersambung.....)

Monday, July 2, 2012

MISI ISLAMISASI KE CONSTANTINOPLE

Sejarah Ringkas

Sejarah telah melakarkan tentang kehebatan Kota Constantinople sebagai sebuah kota terhebat dalam sejarah Dunia. Kota yang hebat dan gagah ini menjadi lambang kehebatan masyarakat Eropah seluruhnya. Constantinople merupakan bandar dan kota yang mewarisi tamadun Greek yang telah melahirkan tokoh-tokoh tersohor seperti Socrates, Plato dan Aristotle. Pemikiran mereka ini telah meletakkan Constantinople sebagai kota ilmuan yang amat terkenal. Pada tahun 753M seorang raja yang dikenali sebagai Romulus telah membina empayar Rom yang hebat dengan menjadikan bahasa latin sebagai bahasa komunikasi. Bahasa ini telah berupaya membina kekuatan empayar Rom dengan menghasilkan pelbagai disiplin ilmu yang diwarisi oleh tamadun Eropah itu sendiri.

Kehebatan empayar Rom ini dapat dilihat kepada tiga tahap iaitu Zaman Beraja (753-509SM), Zaman Republik (509-27SM), dan Zaman Empayar (27SM-476M). Empayar Rom lebih terserlah ketika zaman Helenistik dan Pax Ramona, dan berakhir pada zaman Marcus Aurelius pada tahun 180M, (Ab. Hamid Ali: 2011:12-13). Ketika kejatuhan empayar Rom, kota ini tidak terjejas keutuhannya, dan ini diakui oleh para sejarahwan bahawa kota ini sebahagian daripada kemegahan empayar Rom yang terhebat. Constantinople yang dikelilingi oleh tembok yang kuat termasuk bahagian laut dan direntangi oleh rantai besi sebagai menghalang kapal-kapal musuh, menjadikan kota ini menjadi rebutan. (Sahrulazmi Sidek: 2012:93). Hal ini diakui oleh Ab. Hamid Ali, menurut beliau, tidak semua empayar Eropah mengalami Zaman Gelap, cuma di bahagian Barat sahaja, tetapi Rom Timur masih bertahan sehingga tahun 1453M, dan Constantinople menjadi ibu kota Rom Timur.

Namun begitu, kehebatan Constantinople akhirnya tergugat juga selepas tahun 1453M, apabila pihak pemerintah mula mengutamakan kepentingan peribadi berbanding kemaslahatan rakyat. Kemerosotan ini berlaku dalam dua faktor iaitu, faktor dalaman dan faktor luaran. Antara faktor dalaman yang menyumbang terhadap kejatuhan kota ini ialah; pertama kerajaan Byzantine diwarisi oleh pemimpin yang mementingkan pangkat dan kuasa, kedua pergolakan dalaman akibat sikap cuai, tamak dan terlalu leka, ketiga anak-anak aristokrat hanya mementingkan diri, keempat berlaku penyelewengan dalam pentadbiran, kelima penyalahgunaan kuasa dalam kalangan para pembesar kerajaan, keenam mengalami masalah ekonomi yang teruk akibat pemborosan kerajaan yang melampau, dan ketujuh kerajaan menjual tanah jajahan seperti Salonika pada tahun 1423M. Manakala faktor luaran ialah, pertama berlakunya peristiwa The Black Death atau wabak taun, kedua wabak ini telah membunuh seramai 5000 orang penduduk dalam sehari, dan ketiga perselisihan agama antara Kristian Timur dan Kristian Barat. (Ab. Hamid Ali: 2011:24).

Kesan terhadap pergolakan yang melampau ini telah mempercepatkan kejatuhan kota Constantinople, kes-kes yang berlaku itu menambah masalah yang mendalam terhadap keutuhan dan perpaduan. Pihak pemerintah sudah lupa tugas dan tanggungjawab terhadap kepentingan rakyat. Bahkan pihak pemerintah lebih mengutamakan kepentingan peribadi dengan penyalahgunaan kuasa. (.....bersambung....)

Monday, May 7, 2012

KEKELIRUAN UMAT TERHADAP MISI RABBANYY

Manusia dilahirkan dalam keadaan fitrah iaitu suci dan bersih dari segala dosa dan di mana ketika manusia belum baligh keadaannya adalah terpelihara sama ada dalam Islam atau pun perundangan manusia. Oleh itu, situasi ini telah menyatakan bahawa manusia adalah insan bersih seperti kain putih yang tidak tercemar oleh pelbagai kotoran dosa. Bahkan manusia di awal kelahiran sehinggalah meningkat remaja, iaitu sebelum seruan diwajibkan kepadanya, maka ianya tetap suci dan bersih. Dalam usia sebegini juga manusia tidak dikenakan sebarang hukuman oleh Allah SWT.

Namun begitu kesucian ini sukar dipertahankan secara konsisten, kerana selepas mengharungi kehidupan sebagai insan aqil baligh, maka dia sudah mula meneroka alam baru yang banyak cabaran dan ujian yang datang silih berganti. Apatah lagi, apabila manusia sudah mula mengenal dunia kehidupan yang sifat duniawinya terlalu mencabar.

Allah mengingatkan manusia dalam al-Quran, ‘Tidak Aku jadikan jin dan manusia itu hanya semata-mata untuk mengabdikan diri kepada Ku’. Peringatan ini sebenarnya mempunyai makna mendalam bagi manusia dan jin agar sedar akan keadaan diri sendiri yang mempunyai tanggungjawab terhadap Khaliq pencipta yakni Allah SWT. Manusia tidak akan wujud di dunia ini sekiranya Allah SWT tidak mengkehendakinya. Kuasa serta sifat maha pencipta yang dimiliki-Nya menjadikan manusia berada di muka bumi ini. Pada ketika inilah manusia perlu mengkoreksi diri untuk mengenal diri dan memahami serta mematuhi fitrah kehidupan sebagai insan.

Hakikat kewujudan manusia sebagai makhluk adalah memiliki misi rabbani, dan antara misi itu ialah memakmurkan, mendidik, membina, membimbing serta memelihara keharmonian hidup di dunia ini. Untuk melaksanakan misi ini, maka Allah SWT telah mengangkat martabat manusia sebagai ‘khalifah’, yakni ketua pada sekalian makhluk yang turut mendiami cakrawala bumi ini. Ketika mana Allah mangangkat darjat dan martabat manusia, wujud kompleks yang maha dahsyat iaitu protes berterusan daripada golongan Iblis yang amat meragui keupayaan manusia menerajui perjalanan duniawi ini. Bahkan protes ini tidak akan berakhir sehinggalah ke panghujung perjalanan di dunia ini dan akan diadili di akhirat kelak.

Namun, apa yang berlaku ialah manusia sebahagiannya jauh tersasar daripada asal penciptaannya. Manusia menjadi lupa dan alpa serta lalai terhadap misi rabbani yang telah diperintahkan oleh Allah SWT. Keadaan ini menjadikan manusia menjadi angkuh dan sombong serta hilang sifat insanyyah. Manusia telah menjadikan kehidupan dunia ini seumpama kekal selama-lamanya (abada’). Perkara ini dapat dilihat bila mana manusia telah meletakkan tuntutan beragama menjadi perkara terakhir dalam kehidupan. Misi rabbani yang telah diwartakan oleh Allah SWT telah tersasar jauh dari jiwa dan sanubari mereka. Dalam hal ini, misi Iblis memerangi manusia hampir berjaya dan telah memakan korban yang banyak tanpa disedari.

Buktinya, lihatlah bagaimana manusia mengaplikasikan agama dalam kehidupan ini. Sifat ‘ubud dunnia’ telah melangkau segala-galanya. Setiap gerak dan langkah akan dihitung dengan nilai harta benda, dan bagi golongan ini mereka berfahaman adalah amat malang bagi individu sekiranya tidak menggunakan peluang sepenuhnya di dunia ini.

Inilah serangan paling hebat yang berlaku terhadap umat Islam pada masa kini, di mana-mana saja pemikiran seumpama ini sudah meresap serta sudah mula menghancurkan hati dan jiwa umat Islam satu demi satu. Seorang mujahid Islam menyatakan kebimbangannya terhadap serangan ini, beliau mengatakan;

‘Perkara yang membimbangkan saya hanyalah bahaya-bahaya yang menimpa agama. Pada masa dahulu bahaya datang dari luar. Oleh sebab itu cara mengatasinya adalah mudah. Tetapi sekarang bahaya datang dari dalam. Cacing telah masuk ke dalam tubuh. Maka sekarang pertempuran menjadi susah. Saya membimbangi bahawa tubuh masyarakat ini tidak boleh bertahan menghadapinya kerana tubuh tersebut tidak menyedari musuhnya. Mereka menganggap bahawa musuh terbesar yang memotong urat nadi dan meminum darahnya itu sebagai kawan yang rapat. Jika mata hati masyarakat menjadi buta begini, ketika itu kubu keimanan dalam keadaan bahaya. Justeru kebimbangan saya, bahkan satu-satunya kebimbangan bagi saya ialah perkara ini.’ (Badiuzzaman Said Nursi).

Kesedaran secara total terhadap misi rabbani ini amat perlu supaya generasi serta umat pada hari ini dapat kembali kepada fitrah asal kejadiannya. Manusia sewajarnya ada sifat koreksi diri, demi untuk membuat penilaian kembali terhadap misi rabbani ini. Kegagalan menuruti tuntutan rabbani ini akan membawa petaka besar dalam kehidupan ini. Al-Quran dengan jelas dan terang memberi peringatan serta amaran terhadap erti kehidupan ini. Dalam surah al-Fatihah dinyatakan ‘Inilah jalan yang lurus, jalan orang-orang yang telah kami redhai ke atas mereka’. Perjalanan hidup ini semestinya mematuhi petunjuk kitab suci al-Quran ini, sekiranya manusia cuba mengingkarinya, maka tunggulah balasan dari-Nya. Surah al-Baqarah menyatakan, ‘Inilah kitab yakni al-Quran yang menjadi petunjuk bagi orang-orang bertakwa’. Maknanya, apabila manusia keluar daripada lingkungan rabbani ini, maka ianya tersesat jauh dan pasti akan terdedah kepada pelbagai ancaman bahaya.

Oleh itu, sekiranya manusia memilih petunjuk selain al-Quran, maka ianya sudah tersasar jauh daripada misi rabbani. Manusia akan menjadi derhaka serta angkuh terhadap Tuhannya dan akan hilang pertimbangan insaniyyah. Manusia akan melihat tuhan terdekat mereka adalah harta benda yang kononnya boleh ‘menghidupkan dan mematikan’. Mereka akan menjadi ganas dan buas, mereka akan menjadi buta serta pekak, mereka akan alpa buat selamanya.

Akhirnya manusia akan menerima pengadilan seadil-adilnya dariapa Khaliq Pencipta yang menentukan kedudukan dan status manusia pada ketika itu. Penyesalan tidak lagi berguna, segala rayuan dan belas kasihan tidak lagi dapat menyelamatkan manusia dari hukuman yang telah ditentukan oleh Allah SWT.

Sunday, March 11, 2012

Negeri Kelantan Seindah Namamu




Tanah Serendah Sekebun Bunga
Negeri Tadahan Wahyu
Cik Siti Wan Kembang
Cukup indah namamu
Seindah negerimu
Duhai
Wajahmu nan indah
Persis Jeddah
Yang pernah ku lewati
Taat menjunjug al-Quran
Teguh menggalas syariat
Yang tidak pernah goyah
Tersentuh hati kudus ku
Lantaran aku di sini
Biar tidak pernah ku duga
Bertemu seorang ulama’
Yang dicintai rakyatnya
Lalu…
Kuntum rindu yang lama tersimpan
Terubat jua akhirnya
Biar sekelumit Cuma
Beruntung rakyatnya
Menumpang teduh seorang ulama’
Yang lembut… tapi tegas beribadat
Yang pengasih…namun tidak goyah
Pada percikkan kealpaan dunia
Pasti aku merindui mu lagi
Entah kapan bisa diubati
Cuma setitis doa bisa ku titip buatmu
Moga sejahtera selamanya
Memacu
Membangun Bersama Islam
Moga kita bertemu kembali

Hasil Nukilan: Oki Setiana Dewi
Pelakon Drama 'Ketika Cinta Bertasbih'
sebagai Ustazah Ana

Wednesday, February 22, 2012

"Membangkitkan Semula Generasi Al-Muflihun: Menghayati Pesan-Pesan Kejayaan" (Siri Akhir)

oleh : Dato' Dr. Mohd Siddiq Fadhil.



Sorotan ayat 158 masih menumpu pada al-Rasul s.'a.w. kerana persoalannya masih berkisar pada ittab' al-rasul sebagai wahana pencapaian al-falah. Ayat tersebut memuatkan deklarasi kesejagatan misi Muhammad s.'a.w. yang merentasi persempadanan bangsa, daerah dan zaman. Ia bukan lagi misi khusus untuk kaum tertentu, di daerah tertentu dan pada zaman tertentu. Risalah Muhammadiah tidak hanya untuk membebaskan Bani Isra'il dari perhambaan rejim Fir'aun Mesir, tidak hanya untuk mendidik warga Madyan tentang etika bisnes, tidak hanya untuk menyelamatkan kaum Lut dari peyimpangan seksual, tidak hanya untuk mendisiplinkan kaum Thamud yang berleluasa menyalahgunakan kuasa untuk menindas, dan tidak juga hanya untuk menghadapi keangkuhan kaum 'Ad. Muhammad s.'a.w. adalah pelaksana misi universal demi kemanusiaan sejagat, membebaskan semua yang terbelanggu, mendisiplinkan semua yang masih merajalela, dan mendidik semua yang masih buta etika.



Muhammad s.'a.w. adalah seorang utusan, tetapi bukan sebarang utusan, Junjungan s.'a.w. adalah utusan Allah, Tuhan yang Maha Esa, Maha Perkasa, Pemilik dan Penguasa Tunggal seluruh kerajaan langit dan bumi, Tuhan Yang Maha Mutlak Iradah dan mashi'ah-Nya, yang dihidupkan pasti hidup, yang dimatikan pasti mati, yang dimuliakan pasti mulia dan yang dihina pasti hina, tidak siapa pun yang mampu menghalang-Nya. Seharusnyalah manusia beriman dengan Rasul utusan Tuhan yang sedemikian sifat-sifat-Nya, Rasul yang dahulu beriman penuh dengan Tuhan-Nya dan segala ajaran-Nya (kitab-kitab-Nya), lalu mengajak manusia lain beriman bersamanya. Apabila Tuhan memerintahkan wa 't-tabi'uhu (dan ikutla dia), yang harus diikut termasuklah sikap beriman, yakin dan percaya kepada misi yang hendak dibawa ke tengah khalayak umat. Dengan demikian makna ittiba' al-rasul dapat ditepati dan setterusnya al-falah sebagai golongan yang terbimbing (al-muhtadun) dapat diraih. Harapan kejayaan dapat kurnia bimbingan Ilahi hanya untuk mereka yang beriman dengan Allah dan segala ajaran-Nya, beriman dengan Rasul dan meyakini misi yang diwarisi darinya. Untuk meraih al-falah yang berupa kurnia petunjuk Ilahi (la'allakum tahtadun) para pewaris perjuangan misi nabawi perlu membebaskan diri dari kemunafikan budaya: melaung-laungkan slogan indah yang diri sendiri tidak mempercayainya.

Khatimah

Generasi al-muflihun adalah jelmaan umat ideal yang menikmati hasanah duniawi dan hasanah ukhrawi. Justeru, masyarakat yang hidup dalam nilai-nilai kemakrufan dan terpelihara dari segala gejala kemungkaran adalah masyarakat murni yang makmur dan sejahtera, damai dan bahagia, merdeka dan bermartabat, bersatu dan berkasih-sayang.

Thursday, December 15, 2011

"Membangkitkan Semula Generasi Al-Muflihun: Menghayati Pesan-Pesan Kejayaan" (siri 4)

Oleh: Dato' Dr. Mohd Siddiq Fadzil




Demikianlah paparan tentang Nabi s.'a.w. dan misi besar perjuangannya yang harus diimani dan dimuliakan, disanjung dan didukung oleh mereka yang ingin meraih kurnia al-falah. Selain itu ada lagi satu syarat penting yang perlu dilaksanakan, iaitu kesetiaan berpegang dengan ajaran kitab suci al-Qur'an yang diturunkan mengiringi kerasulannya. Al-Qur'an dan al-Rasul memang tidak boleh dipisahkan kerana kitab suci tersebut adalah bukti kerasulannya, sementara peribadi dan kehidupan Junjungan s.'a.w. pula adalah pancaran dan terjemahan praktik worldview, prinsip-prinsip dan nilai-nilai Qur'ani. Al-Qur'an dalam ayat ini disebut sebagai an-nur, cahaya penerang yang memungkinkan manusia melihat sesuatu dengan jelas sehingga segalanya tampak dalam wujud hakikinya, yang haq jelas haqnya dan yang batil nyata batilnya. Pada ayat tersebut juga terdapat ungkapan yang harus diberikan perhatian khusus, bahawa al-nur (al-Qur'an) disebut unzila ma'ahu (diturunkan bersamanya), tidak disebut unzila ilayhi (diturunkan kepadanya). Tentunya ada sesuatu di sebalik kata ma'ahu (bersamanya) itu. Dalam penjelasannya tentang persoalan ini A. Yusuf Ali mengatakan, "Light which is sent down with him: the words are "with him", not "to him", emphasizing the fact that the Light which he brought illuminess everyone who has the privilege of joining his great and universal Fellowship."




Golongan al-muflihun menjalani hidupnya dalam benderang suluhan wahyu, dan dengan demikian mereka sentiasa terbimbing di jalan Ilahi menuju matlamat keredhaan-Nya. Memang demikianlah yang seharusnya, kaum al-muflihun hidup di jalan Allah (al-hayatu fi sabili 'Llah), lalu mengharap untuk mati di jalan Allah (al-mawtu fi sabili 'Llah). Mungkin ayat-ayat inilah yang menginspirasikan pengungkapan slogan popular di kalangan para aktivis gerakan Islam: Allahu ghayatuna (Allah matlamat kita), al-rasulu za'imuna (al-Rasul pemimpin kita), al-Qur'an dusturuna (al-Qur'an perlembagaan hidup kita), al-jihadu sabiluna (jihad jalan hidup kita), al-mawtu fi sabili 'Llahi asma amania (mati di jalan Allah puncak keinginan kita). ......bersambung......

Saturday, December 10, 2011

"Membangkitkan Semula Generasi Al-Muflihun: Menghayati Pesan-Pesan Kejayaan" (siri 3)

oleh: Dato' Dr. Mohd Siddiq Fadzil


Khayriyyah (keunggulan) yang dicapai menerusi amar makruf-nahi mungkar suatu kejayaan (falah) yang besar. Khayriyyah al-ummah (keunggulan umat) sebagaimana yang disebut dalam ayat tersebut adalah keunggulan bersyarat (khayriyyah mashrutah) dan keunggulan yang harus diraih dengan amal perjuangan amar makruf-nahi mungkar. Demikianlah keunggulan yang ditawarkan oleh al-Qur'an. Ia adalah khayriyyah muktasabah, iaitu keunggulan yang dicapai dengan usaha gigih dan amal yang serius, bukan keunggulan berasaskan unsuriyyah mawruthah atau keunggulan yang diwarisi tanpa susah-payah. Al-Qur'an tidak menawarkan ketuanan warisan, yang ditawarkan adalah keunggulan yang bersyaratkan komitmen dan amal nyata di gelenggang amar makruf-nahi mungkar yang didasari iman kepada Allah. Keunggulan sedemikian bukan milik eksklusif kaum tertentu, tetapi ditawarkan kepada semua, siapa sahaja termasuk ahl al-kitab asalkan sanggup memenuhi syarat.


Misi nabawi seterusnya ialah menghalalkan segala yang baik (al-tayyibat), iaitu yang berkualiti, bersih, lazat dan bermanfaat; di samping mengharamkan segala yang buruk (al-khaba'ith), iaitu yang tidak berkualiti, kotor, memudaratkan dan menjijikkan. Ittiba' al-rasul dalam konteks ini ialah dengan pengamalan cara hidup sihat berasaskan syari'at, mendidik umat dengan kesedaran hukum halal-haram, dan membudayakan gaya hidup religius, bersih dan indah.




Antara komponen penting risalah Muhammadiah ialah pelepasan umat dari beban yang memberatkan sehingga tidak berdaya untuk bergerak ke mana-mana, dan pembebasan umat dari belenggu yang merantai sehingga tidak berupaya berbuat apa-apa. Ketika menjelaskan makna kata al-aghlal (jamak ghullun), A. Yusuf Ali menyebut Islam sebagai a religion for freedom in the faith of Allah, of universality in the variety of races, languages, manners and customs. Memang ayat tersebut secara khusus merujuk bangsa Yahudi yang terbeban dan terbelenggu dalam hukum-hakam keagamaan yang berat sebagai hukuman Tuhan terhadap kesalahan-kesalahan yang telah mereka lakukan; tetapi secara umum menyiratkan semangat liberatif agama Islam. Yang harus dibebaskan bukan hanya bangsa-bangsa tertentu, tetapi umat manusia keseluruhannya. Ittiba' al-rasul dalam konteks semangat pembebasan ini ialah dengan perjuangan membina umat yang berjiwa dan berminda merdeka, bebas dari segala bentuk pembelengguan: pembodohan, pembisuan, pengurangan dalam kepompong perkauman sempit, pembatasan ruang berfikir dalam tembok kepartian dan lain-lain yang sejenisnya. ....bersambung......


Tuesday, December 6, 2011

"Membangkitkan Semula Generasi Al-Muflihun: Menghayati Pesan-Pesan Kejayaan" (siri 2)

Oleh: Dato' Dr Siddiq Fadzil



Mengikut Rasul begitu penting sebagai kriteria dasar kejayaan sehingga ia disebut dalam kedua-dua ayat yang berurutan (ayat 157 dan 158). Yang pertama kata yattabi'un disebut sebagai sifat terpuji yang menjadi ciri utama mereka yang berjaya meraih kurnia rahmat Ilahi, dan yang kedua kata ittabi'u disebut dalam bentuk perintah. Untuk merealisasikan ittiba' al-rasul ayat-ayat tersebut memberikan rumusan risalah atau misi kerasulan Nabi s.'a.w.: amar makruf, nahi mungkar, penghalalan segala yang baik, pengharaman segala yang buruk, pelepasan dari beban, dan pembebasan dari belenggu. Untuk meraih al-falah lewat ittiba' al-rasul, rumusan risalah Muhammadiah tersebut harus dijadikan isi dan misi hidup sepanjang hayat.




Amar makruf-nahi mungkar (menegakkan kemakrufan dan melawan kemungkaran) adalah penjelmaan komitmen dan kepedulian sosial yang tinggi. Kaum al-muflihun tidak hidup hanya untuk diri sendiri, tetapi juga untuk ummah dan kemanusiaan keseluruhannya. Di sebalik amar makruf-nahi mungkar adalah idealisme perjuangan membina umat dan masyarakat berasaskan nilai-nilai murni kemakrufan, nilai-nilai yang pada hakikatnya sesuai dan harmonis dengan sifat tabii kemanusiaan yang sihat dan normal. Masyarakat makruf adalah masyarakat bermoral dan berintegriti tinggi yang bersih daripada segala bentuk kejahatan dan kekejian. Kerana itu serentak dengan perjuangan merealisasikan nilai-nilai kemakrufan harus dilaksanakan perjuangan melawan dan membasmi segala bentuk kemungkaran, gejala-gejala negatif perosak (kezaliman, kerakusan, kelucahan dll) yang pada hakikatnya bertentangan dengan sifat tabii kemanusiaan yang sihat dan normal.




Para pejuang amar makruf-nahi mungkar sebagai golongan al-muflihun disebut juga dalam ayat 104 surah Ali 'Imran yang maknanya:




"Dan hendaklah di antara kamu ada segolongan orang yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh (berbuat) yang makruf, dan mencegah dari yang mungkar. Dan mereka itulah orang-orang yang beruntung (meraih kejayaan)".




Memang komitmen amar makruf-nahi mungkar yang didasari iman kepada Allah adalah faktor yang menjulang umat ke mercu kejayaan sebagai khayra ummah (umat terunggul) sebagaimana yang terungkap dalam ayat 110 surah yang sama (Ali 'Imran):




"Kamu (umat Islam) adalah umat terbaik yangg dilahirkan untuk manusia, (kerana kamu) menyuruh (berbuat) yang makruf, dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah. Sekiranya ahli kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka. Di antara mereka ada yang beriman, namun kebanyakan mereka adalah orang-orang fasik." (bersambung.....)




Wednesday, November 30, 2011

"Membangkitkan Semula Generasi Al-Muflihun: Menghayati Pesan-Pesan Kejayaan" (siri 1)

Oleh: Dato' Dr. Siddiq Fadhil

Mukadimah



Mulai saat terbit fajar hingga menjelang waktu tidur, umat Islam tidak putus-putus dipanggil dan dirangsang merebut kemenangan, meraih kejayaan. Sesungguhnya seruan hayya 'ala 'l-falah yang mengumandang setiap kali masuk waktu solat itu adalah suatu kekuatan pembangun winning mindset. Demikianlah andainya ia disahut dengan berghairah dan penuh kesedaran. Justeru, kemenangan dan kejayaan adalah keinginan semua orang. Bagaimanapun tidak semua orang mengetahui hakikat kejayaan yang sebenarnya, sehingga tidak sedikit yang tertipu dengan kejayaan palsu. Dari semasa ke semasa kita menyaksikan orang mempestakan apa yang mereka sangka sebagai kemenangan dan kejayaan, tetapi pada hakikatnya yang dirayakan adalah kekalahan diri mereka sendiri. Ayat-ayat 157-158 surah al-A'raaf adalah antara ayat-ayat yang memaknai al-falah dan al-muflihun menurut ukuran dan kriteria Ilahiah.




Perbincangan Maksud Ayat




"Orang-orang yang mengikuti Rasul, Nabi yang ummi (tidak menguasai baca-tulis) yang (namanya) mereka dapati tertulis di dalam Taurat dan Injil yang ada pada mereka, yang menyuruh mereka berbuat yang makruf dan mencegah dari yang mungkar, dan yang menghalalkan segala yang baik bagi mereka dan mengharamkan segala yang buruk bagi mereka, dan membebaskan beban-beban dan belenggu-belenggu yang ada pada mereka. Adapun orang-orang yang beriman kepadanya, memuliakannya, menolongnya dan mengikut cahaya yang terang yang diturunkan bersamanya (al-Qur'an), mereka itulah orang-orang beruntung (berjaya). Katakanlah (Muhammad), "Wahai manusia! Sesungguhnya aku ini utusan Allah bagi kamu semua, Yang Memiliki kerajaan langit dan bumi; tidak ada tuhan (yang berhak disembah) selain Dia, Yang Menghidupkan dan Mematikan, maka berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, (iaitu) Nabi yang ummi yang beriman kepada Allah dan kepada kalimat-kalimat-Nya (kitab-kitab-Nya). Ikutilah dia agar kamu mendapat petunjuk."




Al-muflihun (orang-orang yang berjaya) adalah kata yang menghujungi ayat 157. Ia disebut sebagai pengiktirafan dan pengakuan dari Allah s.w.t. terhadap mereka yang layak berasaskan sejumlah kriteria ketuhanan. Apabila Tuhan sendiri yang memberikan jaminan dan pengakuan "...dan merekalah orang-orang yang berjaya.", ia adalah suatu kejayaan mutlak yang tidak diragukan atau dipertikaikan, tidak seperti pengiktirafan manusia yang tidak mutlak kerana selalu bersifat subjektif dan bias. Al-muflihun bukan kelompok eksklusif monopoli kaum tertentu, tetapi terbuka kepada semua, termasuk Yahudi dan Nasrani andainya mereka memenuhi kriteria keimanan dan kesetiaan terhadap Alllah dan Rasul-Nya. Ternyata untuk layak meraih kejayaan hakiki di sisi Allah (al-falah yang diertikan oleh A. Yusuf Ali sebagai prosperity in its general sense as well as in its spiritual sense. In the general sense it means that right conduct is the only door to happiness and well-being. In the spiritual sense it means that Faith and its fruits [right conduct] are the only gates to salvation.), tidak cukup sekadar beriman dalam erti pengakuan hati dan ikrar lisan, tetapi harus membuktikannya dengan amal dan perjuangan. Yang pertama disebut adalah kesediaan menjadi pengikut al-Rasul s.'a.w., dan kesetiaan terhadapnya. Demikianlah yang dimaksudkan dengan kata yattabiun al-rasul (mengikut Rasul) dalam erti menerima kerasulannya, melaksankan suruhan dan tegahannya, menghayati sunnahnya, mendukung perjuangannya, dan meneladani keunggulan watak dan akhlaknya. Memang ittiba 'al-rasul (mengikut rasul) dalam ayat tersebut membawa makna dan implikas komitmen serius terhadap ajaran dan perjuangan Nabi (s. 'a.w.). bersambung.....

Tuesday, November 22, 2011

FITNAH: BUDAYA TERHINA DALAM ISLAM (Siri 2)




Pertembungan Antara Ketakwaan dan Kemunafiqan

Peristiwa ini diungkapkan di dalam al-Quran dan Hadis yang menjadi pegangan serta amalan umat Islam sebagai panduan serta iktibar terhadap umat-umat seterusnya. Namun, apa yang berlaku pada masa kini kes fitnah ini tidak pernah dirujuk kepada al-Quran dan Hadis sebagai jalan penyelesaian. Pada hal ianya termaktub dalam Rukun Iman iaitu Percaya kepada Kitab (al-Quran). Tetapi pengadilan dan hukuman yang dilakukan dalam kes-kes fitnah dalam negara ini tidak pun dirujuk kepada al-Quran. Tindakan ini menunjukkan bahawa kebenaran al-Quran sebagai kalimah Allah s.w.t telah dinafikan. Al-Quran sebagai kalimah Allah s.w.t sudah tidak diyakini oleh umat Islam sendiri dan tidak dilihat sebagai petunjuk dalam pelbagai urusan.

Persoalannya apakah dengan menolak al-Quran maka segala hukuman sudah mampu berlaku adil terhadap manusia dan makhluk di dunia ini? Fitnah yang dijajah dan disebarkan itu seumpama satu kegiatan perniagaan yang amat menguntungkan. Allah s.w.t mengingatkan manusia di dalam al-Quran berkaitan fitnah seperti menuduh seseorang berzina, maka Allah s.w.t mewajibkan sipenuduh mendatangkan empat orang saksi yang baik, salih, beriman dan bertakwa sebagai penyaksian yang muktabar.

“Dan orang-orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka lapan puluh kali sebat dan janganlah kamu menerima persaksian mereka itu selama-lamanya; kerana mereka adalah orang-orang fasik.” (an-Nur (24): 4).

Kenapa Allah s.w.t berkehendakkan demikian, kerana maruah seseorang itu lebih besar maknanya berbanding membunuh dan boleh memberi akibat besar terhadap masyarakat, negara dan agama. Allah s.w.t. memberi mesej yang besar kepada manusia, bahawa fitnah itu boleh menghancurkan sesebuah negara. Tetapi manusia tidak mengambil iktibar daripada peringatan serta amaran ini dan dengan wewenangnya fitnah itu dijajah serta diterima sebagai satu budaya hidup untuk mengaibkan rakan seagama serta masyarakat lain.

Oleh itu, apabila seseorang penuduh gagal menampilkan empat orang saksi yang beriman terhadap seseorang pelaku yang dituduh, maka secara tidak langsung orang itu termasuk dalam golongan fasiq yang mana segala penyeksiannya tidak dapat diterima serta dihukum sebat sebanyak lapan puluh sebatan. Kenapa Allah s.w.t. mensyaratkan empat orang saksi yang beriman? Apakah bukti-bukti seperti media elektronik yang ditampilkan itu tidak relevan? Bagaimana dengan penyaksian orang yang tidak beriman?

“Sesungguhnya orang-orang yang suka menghebahkan tuduhan-tuduhan yang buruk dalam kalangan orang-orang yang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang demikian).” (an-Nur (24): 19)

Ayat-ayat yang terkandung dalam al-Quran ini bukannya hiasan seperti pantun, seloka, syair, puisi atau sebagai sajak. Namun apa yang berlaku sebahagian umat Islam kini telah menolak jauh al-Quran ini daripada kehidupan mereka. Al-Quran yang diturunkan oleh Allah s.w.t. kepada manusia adalah sebagai panduan serta rujukan yang muktabar dalam segala perkara yang bersangkutan dengan kehidupan. Dalam surah al-Baqarah ayat 1-2, Allah s.w.t. menjelaskan;

“AlifLam Mim. Kitab (al-Quran) ini tidak ada keraguan padanya, petunjuk bagi mereka yang bertakwa.”

Sekiranya manusia memilih keimanan dan ketakwaan, maka tentulah kitab al-Quran ini dijadikan panduan serta rujukan yang utama demi memelihara keharmonian dan maruah Islam. Al-Quran sudah memberi garis panduan terhadap ancaman fitnah, namun ada yang memilih sifat kemunafikan sebagai jalan mencapai matlamat politik.

Pertarungan Politik dengan Keimanan

Ironinya budaya fitnah yang berlaku kini kerana kefahaman serta amalan Islam yang amat longgar dalam masyarakaat, oleh itu memilih jalan fitnah sebagai ‘Wadah’ serta saluran untuk kepentingan politik semata-mata bukan lagi merujuk kepada ketakutan dan ketakwaan kepada Allah s.w.t. Masyarakat Islam tidak lagi takut terhadap amaran Allah s.w.t. yang terkandung di dalam al-Quran dan bahkan lebih gemar mempersenda al-Quran sebagai kitab suci, yang mana dengan sendiri telah mengimaninya. Allah s.w.t. telah menjelaskan bagaimana sepatutnya fitnah itu ditanggapi;

“Sepatutnya semasa kamu mendengar tuduhan itu, orang-orang yang beriman lelaki dan perempuan, menaruh baik sangka kepada diri (orang-orang) mereka sendiri, dan berkata: Ini ialah tuduhan dusta yang nyata.” (an-Nur (4): 12)

Tetapi apa yang berlaku setiap fitnah itu adalah peluang besar yang akan menyangkut keuntungan politik dan ekonomi, seperti penyebaran dalam media-media elektronik serta akhbar-akhbar utama. Keimanan tidak lagi menjadi ukuran serta nilai untuk menghalang fitnah. Pertembungan antara keimanan serta ketakwaan dengan kemunafikan, dan yang berlaku adalah sifat kemunafikan akan lebih dominan untuk mempengaruhi persekitaran.

Persoalan politik telah mengatasi segala-galanya sehingga ada yang menggadai keimanannya kepada Allah s.w.t. serta kitab suci al-Quran demi kepentingan politik. Seolah-olah politik ini lebih besar nilainya daripada kedudukan Allah s.w.t. dalam segala segi. Segelintir daripada manusia amat berani menjadikan amaran ini sebagai senda gurau yang tidak akan ada pembalasannya kelak.

Allah s.w.t. telah mengingatkan manusia dengan jelas tentang sikap berlaku adil serta kewajipan kembali kepada al-Quran dalam melaksanakan sebarang hukuman;

“Sungguh, Kami telah mengutus rasul-rasul Kami dengan bukti-bukti yang nyata dan Kami turunkan bersama mereka kitab dan neraca(keadilan) agar manusia dapat berlaku adil. Dan kami menciptakan besi yang mempunyai kekuatan hebat dan banyak manfaat bagi manusia, dan agar Allah mengetahui siapa yang menolong (agama)-Nya dan rasul-rasul-Nya walapun (Allah) tidak dilihatnya. Sesungguhnya Allah Maha Kuat, Maha Perkasa”. (al-Hadid: 25).

Apakah keadilan manusia yang berdasarkan dendam serta pra sangka mampu membimbing manusia kepada ketakwaan? Nilai manusia yang cuba berlaku adil tanpa merujuk kepada al-Quran adalah kesesatan yang amat nyata. Persaksian yang tanpa merujuk kepada perintah Allah s.w.t. lebih menjerumuskan manusia kepada kemunafikan.

Surah al-Hadid: 25 itu, sebanarnya Allah s.w.t. mendidik serta memandu manusia kepada ketakwaan, perkara ini diperkuatkan lagi dalam surah al-Baqarah: 2, “ Kitab (al-Quran) ini tidak ada keraguan padanya, petunjuk bagi mereka yang bertakwa”. Apakah manusia dikira bertakwa apabila menolak al-Quran?, apakah manusia dikira beriman apabila merendahkan al-Quran? Allah s.w.t. pula menjelaskan golongan munafik dalam surah al-Baqarah: 8-9, “Di antara manusia ada yang mengatakan: “Kami beriman kepada Allah dan hari kemudian, pada hal mereka itu sesungguhnya bukan orang yang beriman. Mereka hendak menipu Allah dan orang yang beriman, pada hal mereka hanya menipu dirinya sendiri sedang mereka tidak sedar”. Apakah kalimah-kalimah Allah s.w.t. ini bukan penjelasan bagi sifat kemunafikan terhadap golongan yang menolak al-Quran dan sunnah Rasul.

Islam menetapkan peraturan atau undang-undang adalah untuk memberi keadilan yang hakiki kepada semua makhluk. Justeru itu manusia wajib mengembalikan fitrah keadilan yang telah diperintahkan oleh Allah s.w.t. agar permusuhan dapat dielakkan dalam Islam.

Tuesday, October 25, 2011

FITNAH: BUDAYA TERHINA DALAM ISLAM ( siri 1 )

‘al fitnatul ashaddu minal qatl’, (fitnah itu lebih besar dosanya daripada membunuh) demikianlah al-Quran mengungkapkan istilah fitnah sebagai satu ancaman yang paling besar berbanding dengan membunuh. Persoalannya mengapa Allah SWT memberi amaran kepada manusia tentang bahayanya fitnah itu, apakah fitnah ini boleh merosakan masyarakat dan negara? Di dalam al-Quran Allah SWT telah mengingatkan manusia tentang bahayanya fitnah yang boleh menghancurkan dunia. Dr. Taha Jabir al-Alwani mengatakan; ‘bahawa fitnah ini banyak berlaku terhadap para nabi dan di mana musuh-musuh mereka terdiri daripada penguasa yang zalim dan menuduh mereka sebagai fasik, melakukan zina atau menyeleweng daripada ajaran moral dan kejujuran yang mereka serukan.’ Pendapat tokoh ilmuan ini menggambarkan bagaimana sejarah terdahulu menyatakan bahawa apabila bertembung antara yang hak dan batil, maka fitnah adalah senjata utama untuk menghancurkan kebenaran.

Menurut Dr. Abdul Halim El-Muhammady; ‘Kencenderungan sebahagian masyarakat kini menghina dan mengaibkan seseorang semacam menjadi sebahagian daripada budaya hidup mereka.’ Fitnah sudah menjadi satu budaya serta amalan bagi mengalahkan musuh-musuh dalam sebarang pertarungan. Kegiatan fitnah umpama isi dengan kuku yang sukar dipisahkan daripada kehidupan masyarakat kini. Allah s.w.t mengingatkan orang-orang yang beriman tentang bahayanya fitnah; ‘Sesungguhnya orang ingin agar perbuatan yang sangat keji itu (berita bohong) tersiar dalam kalangan orang yang beriman, mereka mendapat azab yang pedih di dunia dan di akhirat. Dan Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.’ (an.Nur: 19).

Fitnah Dalam Sirah Para An-biyya’

Kisah Nabi Yusof a.s. adalah contoh terbaik sebagai renungan dan iktibar kepada umat untuk memahami serta menghayati kesan-kesan besar yang terjadi angkar fitnah. Nabi Yusof a.s. telah difitnah oleh Siti Zulaikha isteri seorang Menteri Kerajaan Mesir, kerana Siti Zulaikha terpesona dengan ketampanan Nabi Yusof a.s. yang mana beliau tidak dapat menahan diri apabila melihat Nabi Yusof a.s. Oleh kerana segala rancangan Siti Zulaikha untuk memikat Nabi Yusof a.s. tidak berjaya, maka beliau telah memilih jalan fitnah terhadap Nabi Yusof a.s dengan tuduhan cubaan merogol beliau dan antara buktinya ialah pakaian Nabi Yusof a.s. koyak rabak kerana kononnya beliau cuba melepaskan diri daripada tindakan Nabi Yusof itu.

Tuduhan terhadap Siti Maryam a.s yang telah melahirkan anak tanpa bapa, merupakan fitnah terbesar juga dalam sirah para nabi. Siti Maryam a.s telah berhadapan dengan para pemfitnah yang luar biasa sehinggalah Allah s.w.t memberikan mukjizat terhadap anaknya Isa a.s yang boleh bercakap dan membela ibunya Siti Maryam a.s untuk menafikan tuduhan tersebut. Siti Maryam a.s juga menerima nasib yang sedih apabila berhadapan dengan fitnah yang besar kesannya terhadap maruah serta sifat keimanan yang teguh terhadap Allah s.w.t.

Setelah diadili oleh hakim didapati baju Nabi Yusof a.s koyak di belakang, ini menunjukkan bahawa Nabi Yusof tidak bersalah kerana bajunya tidak koyak di hadapan. Pengadilan yang diputuskan oleh hakim itu menunjukkan Nabi Yusof a.s tidak bersalah, bahkan Siti Zulaikha yang bersalah terhadap tuduhannya sendiri. Pembuktian bahawa baju Nabi Yusof a.s. koyak di belakang sudah memadai untuk menafikan tuduhan Siti Zulaikha terhadap Nabi Yusof a.s. dan hakim pada masa itu menolak tuduhan tersebut dan membebaskan Nabi Yusof a.s.

Satu lagi kisah berlaku ketika mana rombongan Rasulullah s.a.w. pulang dari peperangan, dan rombongan tersebut berhenti di suatu tempat untuk berehat. Setelah semua sudah segar, maka rombongan itu meneruskan perjalanan pulang ke Madinah, namun pada ketika itu juga Siti Aisyah isteri Rasulullah s.a.w. telah menunaikan khajatnya dan tanpa disedari oleh rombongan itu Siti Aisyah telah tertinggal. Kebetulan ada seorang sahabat yang ditugaskan untuk meninjau dari belakang sekiranya ada yang tertinggal, dan kebetulan sahabat itu telah menemui Siti Aisyah yang tertinggal itu dan membawanya secepat untuk menyertai rombongan tersebut. Namun peristiwa ini telah diambil kesempatan oleh Abdullah bin Ubay seorang munafiq dan membuat tuduhan terhadap Siti Aisyah dengan sahabat tersebut. Rasulullah s.a.w. tidak senang dengan tuduhan tersebut dan menunggu petunjuk daripada Allah s.w.t untuk menjawab segala tuduhan terhadap Ummul Mukminin Siti Aisyah, sehinggalah turun wahyu yang telah membersihkan Ummul Mukminin Siti Aisyah dari tuduhan itu.

Tuduhan terhadap Siti Maryam a.s yang telah melahirkan anak tanpa bapa, merupakan fitnah terbesar juga dalam sirah para nabi. Siti Maryam a.s telah berhadapan dengan para pemfitnah yang luar biasa sehinggalah Allah s.w.t memberikan mukjizat terhadap anaknya Isa a.s yang boleh bercakap dan membela ibunya Siti Maryam a.s untuk menafikan tuduhan tersebut. Siti Maryam a.s juga menerima nasib yang sedih apabila berhadapan dengan fitnah yang besar kesannya terhadap maruah serta sifat keimanan yang teguh terhadap Allah s.w.t.

Penghakiman Terhadap Kisah An-biyya’

Tiga kisah utama dalam sejarah Islam ini, membuktikan betapa beratnya fitnah di dalam Islam yang boleh menghancurkan kestabilan, perpaduan dan keharmonian dalam masyarakat. Nabi Yusof a.s. yang dituduh oleh Siti Zulaikha, isteri seorang pembesar Mesir tetap dinafikan tuduhan beliau kepada Nabi Yusof a.s. Tidak ada keistimewaan yang diberikan oleh hakim terhadap Siti Zulaikha selaku isteri pembesar Mesir untuk menerima tuduhan beliau tersebut. Kerana hakim lebih memahami keadilan itu tanpa melihat kedudukan serta status dan yang seadilnya ialah rakyat dilayan sama tanpa mengira pangkat, jawatan, status dan kedudukan.

Begitu juga apa yang berlaku terhadap Siti Aisyah yang difitnah oleh golongan munafiq, sehinggakan peristiwa ini hampir-hampir menghuru-harakan negara Islam Madinah. Sehinggalah diturunkan wahyu untuk menyelesaikan kemelut umat Islam ketika itu demi kesejahteraan dan keharmonian Islam.

Pembersihan terhadap Siti Maryam a.s juga berlaku melalui wahyu, di mana Allah s.w.t mengizinkan Isa a.s yang masih kecil telah membela ibunya daripada tuduhan zina. Penghakiman yang berlaku ini adalah merupakan petunjuk kepada umat ketika itu, bahawa fitnah terhadap Siti Maryam a.s adalah tuduhan yang berasaskan sangkaan semata-mata.

Sirah yang dibentangkan ini adalah pentunjuk yang sepatutnya menjadi pedoman kepada umat untuk meneliti serta mengambil iktibar dalam mengadili tuduhan fitnah ini. Allah s.w.t amat mengetahui, betapa besarnya kesan-kesan fitnah terhadap pihak penuduh dan yang tertuduh. Nabi Yusof a.s terpaksa berhadapan dengan pembesar Mesir untuk menafikan tuduhan kepadanya, Rasulullah s.a.w dibantu dengan wahyu untuk menafikan tuduhan para munafiqun, dan begitu juga Siti Maryam a.s diselamatkan oleh Allah s.w.t dengan kuasanya sehingga budak kecil yang baru lahir menjadi saksi.

Penghakiman yang ditunjukkan oleh Allah s.w.t dalam tiga peristiwa itu merupakan panduan yang amat jelas kepada umat manusia, bahawa fitnah itu adalah kegiatan terhina dan jijik serta dosa besar yang sukar dimaafkan melainkan dengan kemaafan daripada pihak yang tertuduh.


Thursday, September 1, 2011

MERDEKA!MERDEKA!MERDEKA! 54 TAHUN


Laungan Merdeka yang telah bergema 54 tahun yang lalu amat menggamit jiwa sanubari umat Melayu dan rakyat Malaysia sehingga ke hari ini. 31 Ogos 1957, merupakan hari bersejarah bagi penduduk Semenanjung Tanah Melayu, manakala 16 September 1963, adalah hari bersejarah untuk penduduk Sabah dan Sarawak. Pembentukan ‘Malaysia’ yang telah dicadangkan oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj merupakan manifestasi terhadap penyatuan dua wilayah yang dipisahkan oleh Laut China Selatan antara Semenanjung Tanah Melayu dan Utara Pulau Borneo yang telah melahirkan ‘Negara Malaysia’ yang tercinta. Sebenarnya antara tujuan utama penyatuan ini adalah berdasarkan kepada faktor sejagat yang melibatkan kepentingan politik dan ekonomi dikedua-dua wilayah ini. Semasa perbincangan pembentukan ini, faktor sosial dan agama telah diketepikan dan perkara ini dapat dilihat dalam perjanjian 20 perkara kemasukan Sabah dan Sarawak dalam Malaysia.


Kenapa setelah 54 tahun Semenanjung Tanah Melayu dan 48 tahun Sabah dan Sarawak merdeka, kita masih sangsi terhadap kesetiaan kita terhadap ‘Negara Malaysia’? Mengapa kita meragui semangat Merdeka di kalangan rakyat kita sendiri? Apa sebenarnya yang berlaku terhadap semangat kewarganegaraan kita? Kenapa kita masih menagih simpati agar rakyat ada semangat MERDEKA. Ini adalah beberapa persoalan yang dikemukakan sebagai asas untuk direnungkan dan dihayati.


Asasnya 54 dan 48 kita Merdeka, namun jati diri Malaysia masih hambar meresap di jiwa sanubari setiap rakyat di Negara tercinta ini. Sehingga kini boleh dilihat bagaimana kita menghayati, memahami, dan menjiwai kemerdekaan yang telah diperolehi. Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj telah berjaya membebaskan kita daripada cengkaman penjajahan Barat, manakala Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein telah menggagaskan pembangunan Ekonomi, begitu juga Allahyarham Tun Hussein Onn cuba membina hubungan kaum yang lebih baik, seterusnya Tun Dr. Mahathir Mohammad dengan beberapa gagasan yang agak mantap, diikuti oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak yang menerajui kepimpinan Negara kini, dan kita masih lagi menagih simpati ‘semangat merdeka’ dengan rakyat. Seolah-olah 54 tahun kita merdeka amat tidak mencukupi, tetapi kita masih gagal menanamkan semangat ini kepada rakyat. Pelbagai cara telah digunakan untuk menanamkan kecintaan kepada Malaysia dan terkini 1Malaysia.

Ironinya bukan semangat sahaja yang menjadi keutamaan kita, kerana mereka yang telah melaungkan gema Merdeka 54 dan 48 tahun yang lalu mungkin sudah menjadi generasi terakhir abad ini dan jiwa mereka tetap utuh dengan semangat ini, tetapi kita lupa kepada generasi kini yang lahir dalam suasana negara sudah merdeka. Apakah mereka ini perlu melaungkan lagi gema MERDEKA!MERDEKA!MERDEKA! sedangkan mereka sudah berada dalam suasana negara merdeka. Kita lupa, bahawa mereka tidak pernah mengangkat senjata seperti Datu Paduka Mat Salleh, Datuk Bahaman, Ibrahim Yaakub, Shamsiah Fakih, Dr. Burhanuddin Helmy, Rosli Dhobi dan beberapa pejuang kemerdekaan terawal, mereka juga tidak pernah mengalami keperitan hidup dengan berjalan kaki berbatu-batu ke sekolah sepertimana Tun Abdul Razak, mereka tidak pernah berhujan berpanas demi meneruskan kehidupan.


Sebenarnya kita telah terlupa bahawa ‘Pembentukan Malaysia’ hanya menekankan penyatuan politik dan ekonomi secara menyeluruh, tetapi mengabaikan faktor sosial dan agama, maka lahirlah warganegara yang longgar jiwa merdekanya. Kita juga gagal memberi kefahaman serta penghayatan tentang kemerdekaan kepada genarasi kini. Proses ‘pemerdekaan’ sebenar tidak berjalan dengan lancar, dan jiwa merdeka gagal ditafsirkan dengan tepat. Genarasi kini menghayati kemerdekaan dengan temsya songsang yang amat terpesong daripada erti kemerdekaan yang sebenar. Mereka telah lari daripada nilai-nilai adab serta moral agama yang luhur dan mulia. Pesta merdeka diisi dengan kegiatan sumbang dan bersifat liar dan merosakkan daya fikir serta intergeriti jiwa merdeka. Nilai agama tidak lagi dijadikan asas jiwa merdeka, manakala pengaruh barat semakin menular dengan wewenangnya tanpa sekatan dan batasan daripada pelbagai pihak. Seolah-olah kita membiarkan mereka hanyut dengan situasi itu, tetapi dalam masa yang sama kita menyalahkan mereka.

LinkWithin