SEJARAH

SEJARAH

Wednesday, May 19, 2010

KEDATANGAN ISLAM KE ALAM MELAYU DAN IMPLIKASINYA TERHADAP PEMIKIRAN MASYARAKAT MELAYU

Oleh
Milus Hj. Abd. Wahad

PENGENALAN DAN BEBERAPA TEORI

Kedatangan Islam ke alam Melayu telah banyak merubah alam pemikiran masyarakat Melayu, di mana perubahan ini telah menjadikan daya fikir intelektual Melayu terus berkembang sehingga kerajaan Melaka abad ke 15 menjadi pusat intelektual Islam sedunia berkumpul untuk membahaskan pelbagai disiplin keilmuan Islam serta isu masyarakat semasa.

Oleh kerana kepesatan Islam berkembang di alam Melayu, maka pihak barat terpaksa mengambil peranan sama untuk menilai keupayaan Islam membentuk tamadun Melayu Islam yang telah mengancam gerakan ‘imperialisme’ terhadap negara-negara Nusantara. Maka itu, pihak barat cuba mengheret golongan intelektual dan para sejarawan tempatan terhadap kedatangan Islam ke alam Melayu sebagai tumpuan perdebatan. Tujuan mereka adalah untuk mengelirukan umat Melayu Islam terhadap peranan Islam, dengan itu mereka mengutarakan beberapa pandangan tentang kedatangan Islam supaya agenda Islamisasi di Nusantara berjalan dengan perlahan.

Pandangan Barat

Antaranya ialah teori kedatangan Islam ke alam Melayu yang dikemukakan oleh Eredia Gadinho, di mana beliau mengatakan bahawa Islam telah sampai ke alam Melayu Melalui China, beliau mendakwa bahawa pedagang-pedagang China dan Arab telah menyebarkan Islam di kepulauan Nusantara. Manakala hujah kedua telah dikemukakan oleh Snouck Hurgronje merupakan seorang sarjana Belanda yang mendakwa bahawa Islam yang ada di alam Melayu pada masa ini telah disebarkan oleh para pedagang India, dan juga seorang sarjana barat lagi iaitu John Crowford menyatakan bahawa kedatangan Islam ke alam Melayu adalah dibawa oleh para pedagang Arab.

Hujah ini cuba memperkecilkan golongan pendakwah sebenar yang telah menyebarkan Islam dengan harapan pembentukan awal Tamadun Melayu tidak disandarkan kepada peranan utama Islam dan seterusnya memperlihatkan betapa rendahnya intelektual Islam yang hanya disebarkan oleh golongan para pedagang. Secara rasionalnya, apabila pedagang yang menyebarkan Islam, maka pemikiran Melayu Islam amat rendah nilainya, dan hujah ini amat lemah berbanding peranan besar yang dimainkan oleh tokoh-tokoh awal Islam.

Pandangan Tempatan

Menurut Syed Naquib al-Attas seorang sarjana tempatan, menyatakan bahawa kedatangan Islam ke alam Melayu adalah dibawa oleh orang Arab sama ada melalui perdagangan atau juga usaha dakwah yang dibawa oleh para ahli sufi dan ilmuan Islam. Pendapat al-Attas ini cukup kukuh dan utuh untuk menjelaskan kedatangan Islam sebenar serta juga gerakan Islamisasi yang berlaku di Nusantara. Secara jelas al-Attas menyatakan keupayaan penyebar Islam sebenar seperti Shamsuddin al-Sumatrani, Abdul Rauf Singkel, Nurudin ar-Raniri serta lain-lain pendakwah telah berjaya mendidik masyarakat memahami Islam yang syumul.

SEJARAH AWAL KEDATANGAN ISLAM

Sejarah kedatangan Islam ini boleh dilihat dlam beberapa catatan dan antaranya Sejarah Melayu, di mana dalam Sejarah Melayu ini menyatakan bahawa Islam telah sampai ke Melaka sekitar tahun 1409, di mana Parameswara selaku Raja Melaka pada masa itu telah memeluk Islam dengan membawa gelaran Sultan Iskandar Syah. Semasa I-Tsing berkunjung ke Srivijaya beliau juga mendapati bahawa orang Melayu sudah menerima Islam sekitar tahun 671 masihi. Begitu juga di Kelantan turut menerima Islam sekitar 1181, ini dibuktikan dengan wujudnya kerajaan Islam Kelantan dan penggunaan wang dinar.

Manakala di Filipina menurut Cesar Adib Majul, Islam telah mula bertapak sekitar 1400an terutama di kepulauan Sulu, manakala di Mindanao sekitar 1520an apabila Melaka jatuh kepada Portugis pada tahun 1511. Di Pulau Borneo kedatangan Islam adalah merujuk kepada penerimaan Islam oleh kerajaan Brunei sekitar 1400an. Umumnya kedatangan Islam ke alam Melayu adalah lebih awal daripada penyebaran agama Kristian dan pada masa Islam datang, agama Hindu sudah pun bertapak lebih awal.

Apa yang jelas kedatangan Islam telah memberi makna besar terhadap Tamadun Melayu Islam di Nusantara. Kewujudan Tamadun Melayu Islam telah merubah peradaban masyarakat Melayu, daripada masyarakat animisme kepada masyarakat Melayu yang mentauhidkan Penciptanya iaitu ALLAH SWT.


KESANNYA TERHADAP MASYARAKAT

Sosial dan Budaya

Islamisasi yang berlaku di alam Melayu pada ketika itu telah memberi kesan besar terhadap dunia Melayu. Antaranya ialah pembentukan Sosial dan Budaya Melayu Islam. Kedatangan Islam telah banyak merubah budaya dan sosial masyarakat Nusantara. Menurut Syed Naquib al-Attas perubahan sosial dan budaya pada masyarakat adalah amat jelas terutama yang berkaitan undang-undang kekeluargaan. Islam telah menyatukan masyarakat melalui asimilasi budaya yang dapat diterima oleh masyarakat Melayu. Budi bahasa serta adab masyarakat banyak berteraskan ajaran Islam.

Politik

Selain itu, Islam juga telah membentuk pemikiran politik yang berdasarkan prinsip-prinsip ajaran Islam, dan antaranya ialah wujudnya kerajaan Melayu yang menggunakan undang-undang Islam sebagai undang-undang negara, cContohnya kerajaan Melaka dan Aceh. Kerajaan Melaka juga telah mengadakan hubungan diplomasi kerajaan China. Ketika Melaka muncul sebagai kerajaan yang tersohor, hubungan dengan kerajaan China terutama semasa pemerintahan Maharaja Yung Lo semakin erat kerana pada ketika itu Islam sistem Islam banyak memainkan peranan dalam pentadbiran. Kemunculan empayar Melaka dan Aceh telah meluaskan lagi pengaruh Islam di sekitar kepulauan Nusantara dan dilihat oleh barat sebagai halangan utama terhadap cita-cita mereka.

Ekonomi

Kedatangan Islam juga turut memberi kesan terhadap sistem ekonomi, di mana penggunaan mata wang Dinar juga melambangkan pengaruh Islam. Selain itu, sistem perdagangan yang diamalkan terutama di Melaka pada masa itu banyak merujuk kepada perniagaan yang berlandaskan Islam. Contohnya, Hukum Jual Beli dan Hukum Riba turut dikuatkuasakan. Kesan terhadap sistem ekonomi yang berlandaskan Islam ini telah menjadikan Melaka sebagai pusat perdagangan antarabangsa. Para pedagang luar datang ke Melaka untuk menguruskan perniagaan mereka, antaranya China, India (Gujerat), Arab, Parsi dan negara-negara di Nusantara sendiri. Keselamatan di perairan Nusantara juga turut mempengaruhi kegiatan ekonomi Islam, terutama Selat Melaka yang telah membantu merancakkan lagi hubungan perdagangan serta kegiatan ekonomi rantau Nusantara.

Alam Pemikiran

Penyebaran Islam juga turut memberi kesan kepada alam pemikiran masyarakat Nusantara. Sebelum Islam, masyarakat lebih terikat dengan faham agama Hindu yang banyak memasukkan unsur-unsur mistik sebagai anutan. Apabila Islam datang, segala kekhurafatan dan ketahyulan dapat dijelaskan dan dirungkai dalam pemikiran masyarakat. Melaka dan Aceh telah menjadi pusat keilmuan dengan lahirnya tokoh-tokoh ilmuan Nusantara seperti Hamzah Fansuri, Nurudin Ar-Raniri, Shamsuddin al-Sumatrani, Abdul Rauf Singkel dan lain-lainnya. Kegiatan para ilmuan ini telah mendorong pemikiran masyarakat Melayu Nusantara kepada realiti pentauhidan dan kekhalikan Maha Pencipta.

Bahasa dan Tulisan

Faktor bahasa dan tulisan juga turut mempengaruhi masyarakat Melayu, penggunaan tulisan jawi sebagai alat komunikasi utama menunjukkan bagaimana Islam merubah dan meletakkan nilai insani kepada tahap yang betul. Tulisan jawi digunakan secara meluas, bahkan tulisan jawi masih berterusan terutama apabila berhubung dengan raja-raja Melayu. Bahasa Melayu telah dijadikan bahasa penyebaran Islam di alam Melayu atau Nusantara. Kemampuan bahasa Melayu sebagai bahasa Islam telah memantapkan kekuatan Islam di Nusantara. Di samping itu, ia juga menjadi bahasa ilmu yang boleh menyesuaikan pelbagai istilah Arab sebagai kata pinjam, contohnya ‘ilmu’, ‘alam’, ‘amal’, ‘ibadat’, ‘zakat’ dan sebagainya.

Pendidikan

Perubahan terhadap alam pendidikan turut berlaku dalam masyarakat Melayu, sebelum itu pendidikan masyarakat lebih menjurus kepada adat-istiadat terutama faham Hindu dan unsur animisme, tetapi setelah Islam sampai pendidikan lebih kepada penilaian akal budi serta adab dan akhlak. Pendidikan lebih kepada memahami Khaliq atau Maha Pencipta, seperti pengenalan ilmu Tauhid, Fekah, Muamalat, Usuluddin dan Syariah. Kanak-kanak mula mempelajari al-Quran sebagai asas utama, kelas-kelas al-Quran dibuka oleh guru-guru agama dan imam-imam. Surau, Masjid, Rangkang dan Pondok didirikan bagi memberi ruang kepada masyarakat mempelajari agama dengan lebih luas lagi. Peranan institusi pendidikan ini juga bukan sahaja terhad kepada bidang keilmuan, tetapi lebih kepada pusat pentadbiran dan perbincangan. Istana turut dijadikan kutab dan medan pembicaraan keilmuan yang turut melibatkan pihak pemerintah pada masa itu.Semangat jihad juga turut didedahkan kepada masyarakat, kesannya masyarakat sanggup mempertaruhkan diri demi mempertahankan agama Islam.

KESIMPULAN

Apa yang jelas, kedatangan Islam ke alam Melayu telah membawa satu perubahan yang besar, bahkan boleh disifatkan kedatangan Islam merupakan pemodenan budaya, sosial, ekonomi dan pemikiran masyarakat Melayu. Walaupun ada pertikaian berkaitan dakwaan ini, namun al-Attas tetap mempertahankan kewajaran bagaimana Islam merubah dimensi pemikiran serta sifat kerohanian yang amat mendalam. Kehadiran Islam juga telah mengeluarkan masyarakat dari kegelapan pemikiran ortodok yang bersifat kabur dan khayalan kepada realiti hidup yang sebenar.


Bibliografi

A. Aziz Deraman, 2003. Masyarakat dan Kebudayaan Malaysia, Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka.

Abu Bakar Abdullah, 1986. Ke Arah Perlaksanaan Undang-Undang Islam di Malaysia: Masalah dan Penyelesaiannya, Kuala Terengganu, Pustaka Damai.

Daniel Perret dan Puteri Rashidah Megat Ramli, 1998. Hubungan Budaya Dalam Sejarah Dunia Melayu, Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka.

Eric Roll (terj. Adzman Shamsudin, Latifah Othman dan Shamsiah Md. Said), 1995. Sejarah Pemikiran Ekonomi, Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka serta Kementerian Pendidikan Malaysia.

Kobkua Suwannathat ~ Pian,1997. Asia Tenggara: Hubungan Tradisional Serantau, Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka.

Mahayudin Hj. Yahaya, 1999. Tamadun Islam STPM, Shah Alam, Fajar Bakti.

Mohd Sukki Othman & Wan Muhammad Wan Sulong, 2001. Sejarah Kertas 940/1 Tamadun Islam, Subang Jaya, Pustaka Sarjana.

Muhiddin Yusin, 1990. Islam di Sabah, Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka serta Kementerian Pendidikan Malaysia.

Siddiq Fadzil, _______. Pembangunan Watak Bangsa: Pemerkasaan Nilai-nilai Murni dalam Pendidikan, Kajang, Akademi Kajian Ketamadunan Kolej Dar al-Hikmah.

Syed Muhammad Naquib Al-Attas, 1990. Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu, Kuala Lumpur, Universiti Kebangsaan Malaysia.

3 comments:

  1. Bagus Tulisan ini dan dapat membantu saya dalam menyelesaikan homework saya. Article ini boleh menjadi rujukan kepada pelajar pelajar IPTA dan pelajar sekolah menengah Malaysia.

    SAPRI

    ReplyDelete
  2. sangat bermanfaat. terima kasih :)

    ReplyDelete
  3. terima kasih :) sangat berguna dalam assignment saya

    ReplyDelete

LinkWithin