SEJARAH

SEJARAH

Wednesday, June 30, 2010

PEKO (PELAN EKONOMI KOTA BELUD)

Kota Belud merupakan daerah yang terletak di Utara Negeri Sabah yang berlatarbelakangkan Gunung kinabalu yang tertinggi di Asia Tenggara dan mempunyai pantai yang cantik serta panjang yang terletak di Laut China Selatan. Jarak dari Kota kinabalu lebih kurang 77 km. Luas daerah ini 1,385.6 km dan terdiri daripada 164 kampung yaang didiami oleh pelbagai etnik dan antara etnik terbesar ialah Dusun, Bajau dan Iranun serta beberapa etnik minoriti.


Kedudukan daerah ini adalah amat strategik dari segi kegiatan ekonomi, di mana daerah ini terletak di antara laluan utara dan barat terutama ke Kudat, Kota Marudu dan Pitas. Tambahan sekarang ini ia juga menjadi laluan ke Pantai Timur setelah jalanraya Pitas ke Nangoh, Sandakan dibuka. Keadaan ini turut memberi ruang terhadap perkembangan ekonomi di Kota Belud. Pada masa ini, para peniaga kecil-kecilan telah membuka gerai-gerai di laluan Utara ini dan salah seorang peniaga iaitu Puan Ayad Derah yang telah membuka gerai perniagaan di jalanraya pintas yang baru siap beberapa tahun yang lalu, boleh memperoleh pendapatan purata sehari tidak kurang RM150.00 hanya berniaga pisang goreng dan beberapa makanan lain.


Selain peluang kecil seperti itu, Kota Belud juga mempunyai tanah pertanian padi yang luas. Pertanian sawah padi ini menjadi nadi utama kegiatan ekonomi daerah ini. Ramai penduduk daerah ini melibatkan diri dalam bidang pertanian. Difahamkan oleh Pejabat Pertanian Kota Belud, setiap satu ekar sawah padi boleh mengeluarkan hasil bernilai lebih kurang RM1,500.00. Walaupun Pejabat Pertanian memantau kegiatan ini termasuklah Pejabat PELADANG Kota Belud, namun disebabkan kekurangan prasarana terutama taliair yang tidak boleh memberi perkhidmatan menyeluruh mengakibatkan ada sebahagian petani hanya menanam padi setahun sekali berbanding kawasan yang ada saluran taliair seperti Jawi-Jawi, Kg. Taun Gusi, Kg. Tempasuk, Kg. Dayang, Kg. Sembirai dan lain-lain kampung. Tetapi perkampungan seperti Tamau, Tawadakan, Kota Bongan, Pantai Emas, Ramapayan Ulu, Timbang, Pandasan, Keguran, Sarang, Dudar dan Taburan yang mengharapkan air hujan. Sedangkan menurut Pejabat Daerah Kota Belud, seramai 9,250 orang adalah petani yang mengusahakan seluas 25,000 ekar dengan hasil bernilai RM37.5 juta semusim secara kasar, sekiranya petani boleh menanam dua kali setahun, maka mereka boleh menyumbang kepada ekonomi Sabah RM75 juta setahun.


Kota Belud juga mempunyai jumlah ternakan bintang yang berkeliaran terbesar di Malaysia, antaranya lembu, kerbau, kambing dan kuda. Masyarakat mengamalkan sistem ternakan yang tidak bersifat komersial, iaitu ternakan mereka dibiarkan berkeliaran di atas jalan raya yang banyak terkorban kerana dilanggar kereta dan kekadang amat berbahaya kepada pengguna jalan raya. Secara kasarnya harga ternakan seperti lembu dan kerbau bagi seekor ialah RM2,000.00 dan dianggarkan satu tahun lebih kurang 10-15 ekor ternakan tersebut mati dilanggar kenderaan dan ini menyebabkan para penternakan akan kerugian lebih kurang RM30,000.00 setahun. Ini tidak termasuk ayam dan itik yang tidak diurus secara sistematik sebagai ternakan yang boleh menyumbang terhadap perkapita pendapatan tahunan. Seorang mantan Pegawai Pejabat Perkhidmatan Haiwan dan Ternakan, Kota Belud menyatakan bahawa Kota Belud ini suatu masa mempunyai padang ragut yang luas yang terletak di beberapa kawasan seperti Pintasan, Tengkurus, Lingkodon dan Pantai Emas telah ditutup kerana dijadikan penempatan. Keadaan ini telah menyebabkan kegiatan menternak lembu dan kerbau semakin berkurang.


Daerah ini juga mempunyai pantai yang cantik, sungai serta alam sekitar yang amat menarik untuk dijadikan pusat pelancongan. Teluk Kuala Abai adalah kawasan batu karang yang menarik untuk para penyelam menikmati keindahannya. Sebuah pusat peranginan 'INNO TRAVEL SDN BHD' ada mengusahakan sebuah resort yang menyediakan kemudahan tersebut. Di Kg. Pantai Emas terdapat beberapa unggas yang boleh menjadi daya tarikan iaitu bangau putih dan monyet belanda. Selain itu, pantai ini juga boleh di majukan untuk pusat peranginan yang amat berpotensi. Laut China Selatan juga boleh menyumbang kepada ekonomi di daerah ini, dan ramai penduduk yang tinggal di tepi pantai seperti Kuala Abai, Pantai Emas, Tamau, Rampayan laut terlibat sebagai nelayan selain kedudukan pulau Mantanani yang menjadi eko perikanan penting.


Sumber-sumber yang sedia ada ini sebenarnya boleh dijadikan sebagai asas utama ekonomi daerah ini yang selama ini menyumbang kepada kegiatan ekonomi di Kota Belud. Sewajarnya sumber-sumber ini telah pun dimajukan sebagai Pelan Ekonomi Kota Belud atau kata singkatannya PEKO. Para pemimpin di daerah ini, terutamanya wakil-wakil rakyat mengambil peranan dan inisiatif dengan memberi perhatian terhadap PEKO sebagai rancangan jangka panjang daerah.


Kegiatan seperti pertanian, penternakan, dan pelancongan boleh menyumbang terhadap pembangunan daerah ini. PEKO mampu mengintegrasikan kesemua sumber ini untuk menarik para pelabur memasuki pasaran Kota Belud. Membawa pelabur membuka perniagaan mereka di daerah ini amat menguntungkan masyarakat, contohnya pelancongan yang amat berpotensi untuk dimajukan. Aliran wang masuk ke daerah ini mengurangkan jumlah kadar kemiskinan yang mana Kota Belud disenaraikan sebagai salah satu daerah termiskin di Malaysia. Jelapang padi yang dalam pembinaan ini diharap dapat meningkatkan pengeluaran padi di Kota Belud, dan ianya mestilah diperluaskan ke kawasan masyarakat Iranun yang banyak terlibat dalam pertanian. Jabatan Pertanian dan PELADANG perlu mengembling tenaga dan fikiran membantu para petani mengusahakan tanaman mereka dengan memberi bimbingan secara tuntas.


Penternakan ikan dan haiwan secara komersial mestilah ditingkatkan, kematian ternakan yang terbiar ini yang merugikan perlu diatasi dan ternakan hendaklah disusun secara sistematik agar pembazir tidak lagi berlaku. Peranan Jabatan Perkhidmatan Haiwan dan Ternak perlu diperluaskan, dan rancang secara terperinci supaya semua penternak mendapat khidmat dengan baik. Sistem ternakan bersepadu hendaklah digalakkan kepada penternak.


Oleh itu, PEKO boleh dijadikan sebagai satu organisasi penting untuk mengkaji, menganalisis, memantau, menilai dan menyelidik kegiatan-kegiatan ekonomi daerah ini. Selain itu. PEKO juga perlu mencipta ruang-ruang perniagaan dan pemasaran terhadap hasil-hasil tersebut sama ada dalam negeri, negara atau luar negara. Masalah yang dihadapi oleh para petani dan penternakan adalah cara memasarkan hasil-hasil mereka, dengan adanya PEKO ianya diharap dapat menyelesaikan masalah tersebut.


PEKO atau Pelan Ekonomi Kota Belud adalah merupakan cadangan sahaja, saya hanya pencetus sama ada ianya relevan atau tidak saya serahkan kepada masyarakat. Saya melihat potensi Kota Belud amat luas, tapi saya tidak ada keupayaan untuk melaksankannya, dan ianya perlu kepada dokongan dan sokongan semua pihak terutama para pemimpin di daerah ini. Saya juga tahu ramai orang Kota Belud yang telah menjadi jutawan, tetapi mereka tidak sanggup melabur di daerah ini kerana jumlah penduduk yang tidak ramai hanya sekitar 100 ribu orang dan tidak berpotensi. Namun, sekiranya kita mampu menarik orang luar berbelanja di Kota Belud ini, ianya juga merupakan satu sumbangan besar. Lihat saja Singapura yang luasnya hampir sama dengan Kota Belud, boleh menjadi kuasa ekonomi Asia Tenggara, satu lagi Perlis yang hampir sama luas dengan Kota Belud turut berupaya membangun sebagai sebuah negeri. Tahniah kepada Pengusaha Burung Unta, Village Lodge, INNO TRAVEL, Kolam Udang Dudar (Yick Ming) yang sanggup melabur di daerah ini. Sedikit mereka telah menyumbang terhadap ekonomi daerah ini.


PEKO bersedia untuk dibahas dan dibincang bagi mendapat idea-idea baru serta cadangan untuk penambahbaikan agar cita-cita dan harapan tercapai, dan kita boleh mengurangkan budaya 'peminta' yang amat sinonim dengan masyarakat Kota Belud. Saya anak Kota Belud kadang-kadang merasa malu dan terhina apabila rakan-rakan luar memperkatakan orang Kota Belud selalu di rumah YB-YB seawal pagi lagi.

2 comments:

  1. Ada 2 pendekatan: PEKO terintegrasi dan PEKO INSITU. kedua2 pendekatan ini berdaya maju. Tiada masalah sebenarnya. Modal insan ada, modal alam ada, modal daripada kerajaan ada. Semua ada.. Tinggal pada kemahuan sahaja.

    ReplyDelete
  2. pemikiran org kota belud yg suka berdengki tu yg susah mau maju-ank jati kota belud

    ReplyDelete

LinkWithin