Sabah sudah melalui separuh
abad sebagai negeri merdeka dari cengkamaan penjajah SBUB sejak 1881 dan bebas
sepenuhnya pada 1963. Sebelum Sabah menyertai pembentukan Malaysia, ianya telah
diisytiharkan sebagai sebuah negara selama 15 hari iaitu merdeka daripada
penjajahan 31 Ogos 1963. Makna sebagai sebuah negara adalah amat bererti buat
rakyat Sabah dan di mana penjajahan selama 82 tahun sudah cukup mengajar erti
jiwa hamba kepada jiwa merdeka.
Menghayati perjuangan
tokoh-tokoh tempatan seperti Raja Ismail, Raja Tebuk, Datu Tating, Sharif
Uthman, Raja Laut, Paduka Mat Salleh, Pak Musa, Antanom, Sagunting, Langkap,
Panglima Udun, Mat Sator, Kamunta, Datu Mamuda, Datu Kedunding, Andamun,
Pengiran Indera Jaya, Sharif Ali dan beberapa tokoh lain yang turut berjuang
menghalang, menentang serta menghalau penjajah dari terus berkuasa merata harta warisan rakyat
jelata Sabah. Kesemua tokoh-tokoh ini membayar perjuangan mereka dengan harta,
masa, tenaga, pemikiran serta nyawa.
Antara tokoh pejuang yang
lebih awal merintis perjuangan menentang penjajah seperti Datu Tating yang
menyerang Syarikat Hindia Timur Inggeris pada tahun 1775 di Pulau Balambangan.
Beliau dengan berani menyerang British berserta para pengikut beliau yang
terdiri daripada kaum Suluk dan Iranun. Tindakan Datu Tating ini menjadi
pencetus terhadap penentangan di Sabah, dan juga selepas peristiwa Pulau
Balambangan, Raja Ismail dan Raja Tebuk turut membantu Sultan Mahmud menyerang
Belanda di Tajung Pinang, Riau Johor pada tahun 1778, selepas itu Raja Tebuk
(Raja Lanoon) turut membantu Sultan Abdullah menyerang Francis Light di
Seberang Perai pada tahun 1791. Manakala Sharif Uthman menentang Inggeris di
Teluk Marudu sekitar tahun 1830an, dan penentangan ini diakhiri oleh Sharif Ali
di Pandasan dan Ontoros anak lelaki Antanum di Tenom pada tahun 1915.
Kemerdekaan yang dinikmati
oleh rakyat Sabah pada ketika ini adalah hasil pengorbanan para pejuang yang
telah membayar dengan nyawa sekali. Misi perjuangan mereka adalah pembebasan
secara mutlak iaitu menghalang penjajah daripada terus mengeskploitasi
pemikiran rakyat serta ekonomi demi mengaut keuntungan sepenuhnya. Penjajahan
secara rasmi pada tahun 1881 merupakan tindakan tegas oleh pihak penjajah agar
segala aktiviti ekonomi Sabah dapat dijana semaksimanya. SBUB di bawah pimpinan
Alfred Den dengan Varon Overback merupakan dua tokoh penting penjajah yang
memajak Sabah daripada kesultanan Sulu. Pemajakan secara rasmi telah berlaku
pada tahun 1881, dan sebelum itu penentangan orang tempatan terhadap penjajah yang
bermula sekitar 1775 dalam tempoh 106 tahun barulah hasrat serta cita-cita
pihak kolonial berjaya mendapatkan Sabah sepenuhnya.
Penentangan oleh Sharif Uthman
sekitar 1830an di Teluk Marudu terhadap Syarikat Hindia Timur Inggeris
merupakan penentangan terbesar di Sabah. Beliau bersama pengikutnya seramai
lebih kurang 2,000 orang yang terdiri daripaada orang Bajau dan Iranun telah
mencabar SHTI di perairan Teluk Marudu dengan menyediakan kubu bagi menghadapi
serangan askar penjajah. Walau pun beliau dan pengikutnya tewas, namun semangat
juang mereka yang tinggi telah meletakkan pihak penjajah dalam keadaan
tertekan. Sharif Uthman telah terkorban dalam peperangan ini dan kubu mereka
musnah akibat serangan bertalu-talu dengan kekuatan pihak penjajah serta
kelengkapan yang mengatasi peralatan perang Sharif Uthman.
Setelah itu, pihak penjajah
terus menerima tentangan hebat dari para pejuang seterusnya seperti Paduka Mat
Salleh sekitar tahun 1897 hingga 1900. Tentangan yang dibuat oleh Paduka Mat
Salleh memakan masa lebih kurang 3 tahun dan serangan demi serangan dilakukan
terhadap kedudukan SBUB yang berpusat di Inanam, Api-Api, Pulau Gaya, Sandakan dan
Ambong. SBUB juga terpaksa menghadapi tentangan berterusan daripada para pengikut Mat Salleh iaitu Mat Sator dan Datu Mamuda yang menyerang Kudat pada April 1900, serta Kamunta yang menyerang Tempasuk dan Menggatal pada Mei 1900.
Selepas tahun 1915, SBUB
berasa selesa apabila penentangan secara fizikal terhenti sehinggalah Jepun menduduki
Sabah sekitar tahun 1942. Namun begitu muncul juga beberapa persatuan yang
aktif dan memberi kesedaran kepada masyarakat seperti Persatuan Melayu Tawau
(PMT) yang berasaskan kepada gerakan politik Islam, lahir Cawangan Persatuan
Persaudaraan Sahabat Pena Malaya (PASPAM) pada tahun 1939 di Jesselton, Tawau
serta Labuan dan juga kemunculan Persatuan Barisan Pemuda (BARIP) pada tahun
1939 di Jesselton. Gerakan ini dipimpin oleh tokoh-tokoh yang berpendidikan dan
mereka ini telah mendapat pendedahan daripada para pejuang di Semenanjung Tanah
Melayu serta Indonesia.
Kesedaran semakin memuncuk
apabila Jepun menyerang segala kedudukan penjajah di Asia Tenggara pada tahun
1941. Walaupun Jepun hadir dengan sikap tegas serta dianggap zalim, namun
semangat ‘Asia untuk Asia’ telah membantu memberi kesedaran kepada golongan
berpendidikan. Kesannya selepas Jepun kalah dalam Perang Dunia Kedua pada tahun
1945, pertubuhan sebelum Jepun telah bergerak semula dan juga muncul beberapa
persatuan dan pertubuhan baru yang bertindak sebagai badan pendesak agar
kemerdekaan diberikan kepada Sabah. Antara pertubuhan itu ialah Parti
Kebangsaan Melayu Labuan (PMKL) ditubuhkan pada Ogos 1946, UNKO, Ogos 1961, PASOK,
Parti Demokrat, BUNAP, KONGRES, Oktober 1961 dan USNO, 24 Disember 1961.
Parti-parti politik ini telah
melancarkan gerakan secara bersepadu untuk menuntut kemerdekaan Sabah, di mana
USNO diketuai oleh Datu Mustapha Datu Harun, UNKO dipimpin oleh Donald Stephen,
PASOK diterajui oleh G. Sundang dan beberapa pertubuhan lain mendesak supaya
Sabah dibebaskan sepenuhnya dari cengkaman penjajahan. Semua persatuan ini
mempunyai matlamat yang sama untuk menuntut kemerdekaan walau pun bergerak
dalam persatuan masing-masing. Oleh kerana tekanan yang kuat, maka pihak
kerajaan British menimbang tuntutan ini dan bersedia untuk memberi kemerdekaan
kepada Sabah dan akhirnya Sabah merdeka pada 31 Ogos 1963.
Menurut beberapa sumber,
kemerdekaan Sabah juga ini dipercepatkan apabila Tunku Abdul Rahman Putra
al-Haj mencadangkan satu kerjasama
ekonomi dan politik serantau bagi mengekang pengaruh komunis dan antara yang
terlibat ialah Semenanjung Tanah Melayu, Sabah, Sarawak, Brunei dan Singapura.
Cadangan ini telah dikemukakan padda 27 Mei 1961 semasa persidangan Persatuan
Wartawan di Hotel Adelphi Singapura. Selepas itu ditubuhakan Jawatankuasa
Perundingan Perpaduan Malaysia pada 21 Julai 1961 dan diketuai oleh Donald
Stephen.
Setelah kemerdekaan dicapai,
maka pungutan suara yang dipantau oleh PBB di Sabah, Sarawak dan Singapura
mendapati majority rakyat menyokong penubuhan Malaysia dan tarikh 16 Septembar
1963 adalah hari pembentukan Malaysia, di mana Sabah, Sarawak, Singapura dan
Semenanjung Tanah Melayu bergabung menjadi satu negara. Maka diisytiharkan
bahawa Hari Kemerdekaan Malaysia akan disambut setiap 31 Ogos, walau pun Hari
Malaysia atau tarikh pembentukan Malaysia ialah 16 September 1963, sebagai tanda
kerjasama, perpaduan, kekuatan dan perkongsian kuasa dan wilayah. Sabah dan
Sarawak diberi keistimewaan dengan 20 perkara yang melindungi hak-hak rakyat
Sabah yang lambat merdeka 6 tahun berbanding Semenanjung Tanah Melayu.
Kini 50 tahun sudah berlalu
Sabah merdeka dalam usia setengah abad lamanya. Rakyat yang terlibat mengundi
dalam pilihan raya pertama Sabah mungkin masih ada yang hidup lagi, begitu juga
generasi yang lahir sebelum merdeka masih menghirup udara segar kemerdekaan
ini. Namun udara kemederkaan ini amat berbeza sekali diawal Sabah merdeka.
Generasi yang lahir dalam zaman merdeka ini adalah generasi dominan, mereka mentafsir
kemerdekaan jauh bezanya dengan tafsiran generasi sebelum mereka.
Generasi awal menuntut
kemerdekaan untuk kebebasan secara fizikal dari kuasa penjajah tanpa memikirkan
kebebasan jiwa merdeka. Kemerdekaan menyeluruh cuba diterapkan dan
dilaksanakan, namun kebebasan sepenuhnya sukar untuk dicapai. Agenda utama untuk
membangunkan Sabah Merdeka tertumpu kepada fizikal mengindahkan bandar-bandar
utama tetapi terabainya keperluan asas rakyat luar bandar. Masa 50 tahun adalah
tempoh yang panjang bagi merealisasikan hasrat dan aspirasi rakyat yang sudah
merdeka.
Memacu ekonomi dalam konteks
merdeka, rakyat masih ketinggalan dan pencapaian serta penguasaan ekonomi
sekitar 22% sahaja. Kelesuan mengangkat ekonomi bumiputra merupakan agenda
‘Lebai Pak Malang’ yang penuh dengan mimpi dan angan-angan. Mendidik rakyat
sebagai usahawan ulung dan unggul tidak menjadi misi utama, bahkan rakyat
diajar menjadi pengemis ekonomi dengan teori ‘Jutawan Segera’. Keadaan ini berlaku kerana cara berfikir yang
masih terikat terhadap legasi penjajah secara berterusan walaupun penjajah
sudah meninggalkan bumi Sabah ini 50 tahun yang lalu.
No comments:
Post a Comment