SEJARAH

SEJARAH

Tuesday, March 9, 2021

RESOLUSI : Seminar Memperingati Tokoh II "Pandangan Hidup Islam dan Implikasinya Terhadap Semangat Patriotisme" .

Seminar Memperingati Tokoh dianjurkan atas kesedaran bahawa meletakkan seseorang pada kedudukannya yang tepat dan wajar adalah tuntutan keadilan dan tanggungjawab  insan beradab. Iqbal pernah berkata bahawa ‘bangsa yang berjiwa besar ialah bangsa yang tahu menghargai pemimpin dan perjuangannya.’ Menurut Syair Arab pula, bangsa yang tahu menilai sejarah punya usia berlipat kali ganda. Dalam menilai sumbangan seseorang tokoh, yang perlu dikenang dan diiktiraf ialah jasa dan sumbangannya yang bermakna, yang luhur lagi agung yang telah mencorakkan perjalanan sejarah, bukan pada cacat cela peribadi atau kelemahan tokoh.

 Atas semangat ini, Seminar Memperingati Tokoh 1 Tun Datu Mustapha dan Sumbangannya Dalam Perkembangan Dakwah  Islamiyyah diadakan pada13 September 2003. Tun Datu Mustapha adalah nama besar dalam sejarah Sabah dan Malaysia. Tun Datu Mustapha adalah tokoh pejuang kemerdekaan Sabah, peletak asas pembangunan negeri serta penentu hala tuju negeri Sabah. Sumbangannya amat besar bukan sahaja dalam pembangunan negeri Sabah, bahkan di peringkat antarabangsa. Visi dan misi perjuangannya jelas terpancar dalam semua program pembangunan spiritual, mental dan fizikal. Salah satu sumbangan Tun Datu Mustapha yang cukup menyerlah dan penting sekali ialah dalam gerakan dakwah. Gerakan dakwah yang berkembang begitu pesat dalam masa yang relatif singkat adalah manifestasi iltizam tinggi Tun Datu Mustapha terhadap perjuangan Islam.

Kini tiba giliran memperingati empat tokoh pejuang lain yang berjasa besar dengan menghubungkaitkan perjuangan mereka dengan pengaruh pandangan alam Islam. Mereka adalah penyambung mata rantai perjuangan Islam, sejak kedatangan Islam ke Sabah selewat-lewatnya pada tahun 1408M membawa kepada perjuangan ulama’ dan pendakwah seperti Tuanku Said Muhammad Shahbudin, Hj Yaakub Haji Ali. Imam Suhaili Haji Yaakub dan Haji Zaini Palembang, berlanjutan hingga ke Tun Datu Mustapha Datu Harun. Dalam konteks lebih luas, perjuangan tokoh-tokoh ini terangkai dalam gerakan dakwah dan perjuangan Islam di Alam Melayu dan Dunia Islam.

Adalah dengan penuh kesedaran bahawa Islam telah bertapak seawal tahun 1408 lagi iaitu sejak 600 tahun yang lalu. Kelangsungan Islam ini merupakan hempas pulas dan keringat perjuangan generasi dan tokoh-tokoh pejuang silam. Seminar ini dengan penuh kesederhanaan berusaha untuk meletakkan tokoh-tokoh ini pada kedudukannya yang tepat dan wajar agar tuntutan keadilan dan tanggungjawab insan beradab kita martabatkan.

Seminar ini berkeyakinan bahawa sumbangan yang bermakna, yang luhur lagi agung yang telah mencorakkan perjalanan sejarah berkenaan perlu dirakamkan secara adil dan bermakna.

Menyedari hakikat ini maka kami yang berkumpul di Dewan Bahasa dan Pustaka Negeri Sabah, Kota Kinabalu untuk Seminar Memperingati Tokoh pada 9 September 2006  yang terdiri dari pelbagai lapisan masyarakat dari seluruh pelusuk negeri Sabah mewakili pelbagai agensi dan pertubuhan seramai lebih kurang 500 peserta dengan ini bersetuju dengan resolusi berikut:

1.         Menggesa pihak kerajaan memasukkan komponen memperingati tokoh dalam setiap kali sambutan bulan kemerdekaan sama ada pada peringkat kebangsaan, negeri mahu pun pada peringkat daerah.

 2.        Menggesa Kerajaan Negeri Sabah memberi penekanan yang bersungguh-sungguh terhadap usaha-usaha penyelidikan tentang peranan dan sumbangan pelbagai tokoh supaya lebih sistematik dan bersepadu.

3.         Menggesa Kerajaan Negeri Sabah mewartakan lebih banyak lagi tapak bersejarah supaya menjadi tapak kajian kepada ahli akademik dan secara tidak langsung memberikan kesedaran kepada orang awam dan para pelancung.

4.         Menggesa pihak kerajaan bekerjasama dengan institusi-institusi yang berkaitan untuk membetulkan persepsi catatan sejarah yang berasaskan pandangan alam pihak penjajah kepada versi yang berasaskan pandangan alam Islam.

 5.        Meminta kerajaan menubuhkan Pusat Kajian Islam Sabah (seperti IKIM) agar satu        pengkajian yang sistematik untuk mengenalpasti tokoh dan sumbangannya di setiap  pelusuk negeri bagi melahirkan masyarakat yang celik sejarah dan menghargai  perjuangan dan sumbangan tokoh yang terdahulu.

 6.             Menyeru seluruh masyarakat Islam mengambil peluang, ruang dan kesempatan untuk terlibat secara bersungguh-sungguh untuk menyuburkan pandangan alam Islam yang benar seperti yang ditunjukkan oleh tokoh terdahulu.

7.        Menyeru seluruh masyarakat Islam perlu memberi perhatian penting kepada institusi keluarga masing-masing dengan menjadikan tokoh-tokoh terdahulu sebagai “role model” secara kolektif dan komprehensif serta berpaksikan aqidah yang benar agar generasi baru dapat dibangunkan. 

8.               Menggesa semua pihak yang terlibat dalam sektor pendidikan di semua peringkat pengajian agar berusaha untuk merubah paradigma dan menyuburkan pandangan alam Islam dalam menyampai dan mengolah pendidikan sejarah. Contohnya pengkajian tokoh setempat dalam subjek sejarah di Sekolah Menengah.  

9.         Mengangkat tokoh-tokoh pejuang yang dibincangkan dalam seminar memperingati tokoh II serta mengetengahkannya ke dalam kesedaran masyarakat umum.

  

Dipersetujui bersama oleh

En. Muddin Beting
Yang Dipertua ABIM Sabah


En. Zubaidi Abas
Pengarah
Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah


Tuan Haji Matusin Haji Awang Binting
Pegawai
Kementerian Belia dan Sukan Sabah


9 September 2006/16 Sya'ban 1427H

No comments:

Post a Comment

LinkWithin